Categories
SELANGOR

Umno sekali lagi tunjuk jaguh menjelang PRU14

 

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 JAN: Tuduhan wakil rakyat Umno kononnya Kerajaan Negeri tidak memberikan tanah bagi tujuan pembinaan sekolah di Bandar Tasik Puteri adalah tidak benar dan berniat jahat.

Exco Kerajaan Negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, sebaliknya lebih 10 tanah dirizabkan bagi tujuan itu di kawasan berkenaan lebih 10 tahun lalu.

Katanya, pada 10 Mac 2017, Kerajaan Negeri meluluskan secara dasar untuk membina Sekolah Menengah Bandar Tasik Puteri 2.

“Namun, saya menghormati pendirian hasil perbincangan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan yang setuju bahawa tanah dirizabkan tetapi tiada bajet pembangunan lagi diwartakan di bawah satu undang-undang.

“Mereka sepakat tanah berkenaan buat sementara diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus mendakwa Kerajaan Negeri tidak meluluskan pemberian tanah bagi pembinaan sekolah dan menyebabkan kesukaran kepada pelajar yang semakin meningkat.

Katanya, kawasan itu turut diduduki seorang Exco Negeri dan sepatutnya tidak memerlukan sebarang desakan atau demonstrasi untuk berbuat demikian.

Zaidy berkata, dakwaan lemah itu merupakan satu lagi usaha Umno menunjukkan kejaguhan dalam isu rakyat dan menjadi hero menjelang Pilhan Raya Umum ke 14.

“Dakyah ini lebih kepada cubaan menepis dan menuding jari sedangkan Kerajaan Persekutuan tiada peruntukan untuk membina sekolah.

“Perkara ini diketahui semua dan ia bukan di kawasan ini sahaja tetapi merangkumi sekolah lain di kawasan lain juga,” katanya.