Categories
AGENDA NASIONAL

29 lokasi di ibu kota dinaiki air, alami banjir kilat

SHAH ALAM, 8 MAC: Sebanyak 29 kawasan sekitar ibu kota dinaiki air berikutan hujan lebat petang semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata bagaimanapun banjir di 25 lokasi surut dalam tempoh 30 hingga 45 minit manakala empat lagi dianggar satu hingga tiga jam, lapor Harian Metro.

“Dua pusat pemindahan sementara (PPS) juga dibuka masing-masing di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Saraswati yang membabitkan 560 orang daripada 145 keluarga.

“Di Dewan Sultan Sulaiman pula, ia membabitkan mangsa banjir di Kampung Periuk, seramai 128 orang,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang memantau tiga insiden tanah runtuh dilapor masing-masing di Taman Gembira di Jalan Kuchai Lama; Seksyen 6, Wangsa Maju dan Jalan Hang Tuah 4, Salak Selatan dengan kerja susulan akan dilakukan dalam kadar segera.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir kilat: TNB tutup bekalan elektrik di beberapa pencawang

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menutup bekalan di beberapa pencawang elektrik di ibu negara susulan banjir kilat bagi memastikan keselamatan pengguna.

TNB menerusi hantaran di Facebook memaklumkan antara kawasan dan bangunan terjejas adalah Bukit Aman, Bukit Bintang, Jalan Kebun Bunga, Hospital Tang Lin, Pangsapuri Sri Jati serta beberapa hotel terkemuka.

“Usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat bergantung kepada akses dan keadaan setempat,” menurut hantaran itu.

Menurut TNB, penutupan bekalan elektrik akan dilakukan di pencawang yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat sekiranya situasi banjir semakin buruk, berisiko serta membahayakan pengguna.

Sementara itu dalam hantaran berlainan, TNB meminta orang ramai menghubungi talian 15454 jika melihat tiang elektrik tumbang atau wayar putus.

“Berhati-hati dengan persekitaran anda dan jaga keselamatan ketika berada di dalam kenderaan semasa banjir,” menurut hantaran itu.

– BERNAMA