Categories
NASIONAL

Banjir di Perlis : Enam keluarga masih berada di PPS

PADANG BESAR, 29 NOV : Seramai 16 mangsa daripada enam keluarga kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Beseri setakat jam 8 pagi tadi.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis melaporkan, mangsa berkenaan adalah dari Kampung Padang Malau dan Kampung Padang Malau Dalam.

Jumlah mangsa banjir juga kekal seramai 16 orang.

Selain itu, APM berkata, pihaknya akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan meminta orang ramai untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya rumah mereka dinaiki air.

Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Banjir di Perlis semakin pulih tinggal lapan pusat pemindahan

KANGAR 26 SEPT: Banjir di Perlis beransur pulih apabila cuma tinggal lapan pusat pemindahan iaitu lima di Parlimen Kangar dan tiga di Parlimen Arau masih beroperasi manakala enam pusat pemindahan di Parlimen Padang Besar telah ditutup.

Berdasarkan kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perlis yang dikeluarkan di sini hari ini, sehingga jam 9 pagi ini terdapat 1,011 mangsa daripada 286 keluarga berada di pusat-pusat pemindahan.

Di Kangar, 398 mangsa daripada 117 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong ; SK Panggau (223 mangsa daripada 54 keluarga); SK Sri Perlis (129 mangsa daripada 40 keluarga) ; Dewan Orang Ramai Kota Keran (68 mangsa daripada 20 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Pengkalan Asam (43 mangsa daripada 11 keluarga).

Bagi Parlimen Arau pula mereka ditempatkan di Dewan Orang Ramai Padang Petani (50 mangsa daripada 18 keluarga); SK Kampung Serdang (13 mangsa daripada 3 keluarga); dan SK Long Boh (87 mangsa daripada 23 keluarga).

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Murid terjejas banjir dibenar berbaju biasa ke sekolah

KANGAR, 24 SEPT: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis memberi kelonggaran kepada pelajar yang terjejas ekoran banjir untuk berpakaian biasa ke sekolah.

JPN dalam kenyataan hari ini turut menasihatkan ibu bapa di kawasan terbabit banjir supaya memastikan anak mereka hadir ke sekolah.

“Begitu juga dengan alat tulis atau buku yang rosak, mereka tidak perlu bimbang sebaliknya apa yang perlu, pelajar berkenaan hadir ke sekolah seperti biasa esok,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menasihatkan orang ramai terutamanya kanak-kanak supaya tidak bermain di tebing lima batang sungai ekoran air deras.

Sungai berkenaan ialah Sungai Korok, Sungai Abi, Sungai Santan, terusan Lencongan Utara dan Sungai Perlis.

JPS memaklumkan hujan lebat yang turun di negeri itu menyebabkan paras air di Empangan Timah Tasoh di Beseri, dekat sini malam tadi meningkat kepada 29.91 meter iaitu pada paras bahaya.

Ekoran itu, JPS terpaksa melepaskan air dari empangan terbabit untuk menurunkan paras air di dalamnya ke paras normal, menyebabkan aliran air deras masuk di kelima sungai berkenaan.

“Justeru, ibu bapa dinasihatkan mengawasi anak-anak mereka supaya tidak bermain di tebing sungai terbabit bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

*Sumber: BERNAMA