Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Lebih 2,000 penganut Kristian kurang mampu dibantu sambut Krismas

SHAH ALAM, 21 DIS: Sejumlah RM240,000 diperuntukkan bagi membantu penganut Kristian yang kurang berkemampuan menyambut Krismas.

Dato’ Menteri Besar berkata jumlah berkenaan membolehkan lebih 2,000 penerima menyediakan barangan keperluan bagi meraikan perayaan Jumaat ini.

“Bantuan diserahkan kepada tiga badan induk Christian Federation of Malaysia (CFM) dan masing-masing menerima RM80,000.

“Mereka bertanggungjawab mengagihkan sumbangan kepada golongan sasaran dan memerlukan selain diberi kepada gereja untuk hari kebesaran pada 25 Disember,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui di Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Perayaan Hari Krismas Peringkat Negeri Selangor 2020 di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Exco Kerajaan Negeri Hee Loy Sian (dua, kanan) dan Uskup Agung, Julian Leow Beng Kim (dua, kiri) bersama wakil gereja selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kebajikan Sempena Perayaan Krismas Peringkat Negeri Selangor 2020 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 21 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan menjadikan bantuan sumbangan sebagai budaya yang membantu golongan memerlukan.

“Perayaan Deepavali juga kita peruntukkan sejumlah dana dan agihan kepada penerima menerusi program Jom Shopping,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Morib rai 60 keluarga miskin sempena Krismas

SHAH ALAM, 14 DIS: Seramai 60 keluarga berpendapatan rendah sekitar Morib menerima sumbangan makanan dan cenderahati sempena sambutan Krismas yang bakal tiba.

Wakil rakyatnya Hasnul Baharuddin berkata bantuan secara tahunan bagi meraikan golongan memerlukan dan memperkukuh silaturahim antara satu sama lain.

“Kami tahu sepanjang musim ini, sesetengah keluarga menghargai bantuan untuk meringankan beban mereka. Sejajar konsep ‘Morib Together’, kami menggalak lebih ramai rakyat dan agensi membantu masyarakat yang memerlukan,” tulisnya di Facebook semalam.

Beliau berkata inisiatif berterusan itu juga mewujudkan ekosistem sokongan lebih baik kepada golongan terkesan akibat Covid-19.

Serahan bantuan turut disertai beberapa majlis perwakilan penduduk dan wakil Bethel Evangelical Church Malaysia Banting.