Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan rayuan BPN diketahui pertengahan Jun – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Keputusan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan dikeluarkan pada pertengahan Jun ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Tarikh terperinci akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya menerusi perkongsian Laporan Kelapan Pencapaian Prihatin – Laksana, di laman Facebook beliau, hari ini.

Secara keseluruhannya, daripada 10.6 juta penerima BPN yang diluluskan, seramai 10.04 juta penerima telah dibayar dengan jumlah bayaran sebanyak RM10.78 bilion atau 96.7 peratus sehingga 5 Jun, 2020.

Selebihnya, Tengku Zafrul berkata penerima boleh menuntut di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Disember 2020.

Bagi program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sehingga 5 Jun, sebanyak 4.1 juta permohonan telah diluluskan, iaitu peningkatan daripada 4 juta sebelum ini.

“Jumlah pembayaran ini melibatkan RM1.94 bilion sebulan,” katanya.

Sementara itu, bagi inisiatif pengurangan caruman KWSP oleh pekerja daripada 11 peratus kepada tujuh peratus, sehingga 5 Jun, lebih 5.7 juta pekerja memilih untuk meneruskan pengurangan caruman mereka.

Beliau berkata jumlah pengurangan caruman yang telah diterima ahli KWSP sehingga ini adalah sebanyak RM1.87 bilion manakala jumlah pencarum yang memilih untuk mengekalkan caruman pada kadar 11 peratus kini sebanyak 1.85 juta (berbanding 1.7 juta sebelum ini).

Bagi bayaran khas RM600 secara one-off (sekali) yang akan diberikan kepada pemandu pelancong, Tengku Zafrul berkata sehingga 5 Jun masih terdapat pembayaran tertangguh untuk 1,868 daripada 8,323 pemandu pelancong disebabkan maklumat bank yang tidak tepat.

“Mereka yang layak tetapi masih belum mendapat bayaran boleh menuntut pembayaran secara tunai di kaunter BSN mulai 15 Jun, 2020,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rayuan BPN dibuka mulai esok sehingga 31 Mei – LHDN

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Pemohon yang gagal menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebelum ini boleh membuat rayuan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mulai 11 Mei atau 12 Mei (berdasarkan hari bekerja negeri) sehingga 31 Mei 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata Kementerian Kewangan dan LHDN telah bersetuju memberi peluang kepada pemohon untuk membuat rayuan dengan mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan untuk dipertimbangkan.

Menurutnya rayuan tersebut boleh dihantar ke e-mel [email protected] atau hadir ke mana-mana pejabat LHDN.

“Untuk makluman, data yang digunakan oleh LHDN dalam memproses setiap permohonan adalah berdasarkan maklumat terkini pangkalan data percukaian selain maklumat pemohon BSH (Bantuan Sara Hidup) sebelum ini.

“LHDN turut melaksanakan semakan silang dengan data agensi-agensi yang dilantik oleh LHDN bagi memastikan bantuan ini sampai kepada golongan sasar.

“Sehubungan itu, data yang ada hanya merangkumi maklumat sehingga tahun 2019. Ekoran itu, kami difahamkan ada data yang belum dikemaskini dan tidak mengambil kira keadaan semasa termasuk krisis Covid-19,” katanya dalam sesi temu bual dengan stesen televisyen RTM.

Sabin berkata antara kategori pemohon yang boleh mengemukakan rayuan kepada LHDN adalah mereka yang telah ditolak kerana gaji melebihi RM4,000 atau RM8,000 serta pemohon yang pendapatannya terjejas atau telah diberhentikan kerja sehingga Mac 2020.

Selain itu, pasangan pemohon yang sudah meninggal dunia, bercerai atau baharu berkahwin dan mereka yang makan gaji juga boleh membuat rayuan BPN.

Beliau turut mengingatkan pemohon yang menghantar rayuan menerusi e-mel untuk mengemukakan dokumen sokongan berserta surat pengesahan yang boleh dimuat turun dari laman sesawang https:\\bpn.hasil.gov.my.

“Keputusan ke atas rayuan yang dikemukakan oleh pemohon akan dibuat berdasarkan maklumat dan pengesahan yang disertakan oleh pemohon serta semakan silang data yang ada,” katanya.

Pada masa sama, LHDN turut meminta kerjasama orang ramai yang hadir ke premis agensi itu untuk mematuhi penjarakan sosial serta arahan dikeluarkan oleh kerajaan.

-BERNAMA