Categories
AGENDA NASIONAL

Penerima Bantuan Sara Hidup boleh dapat khairat kematian RM1,000

KOTA KINABALU, 2 JULAI: Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berhak mendapat bantuan khairat kematian sebanyak RM1,000, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata tuntutan boleh dibuat melalui pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, Abdul Rahim berkata penerima BSH juga secara automatik mendapat MySalam, iaitu skim perlindungan sosial kesihatan bagi meringankan beban perubatan ditanggung sekiranya dikenal pasti mempunyai antara 45 jenis penyakit kritikal.

”Antara faedah perlindungan ialah RM8,000 akan dibayar kepada mereka yang didiagnosis oleh hospital dan pusat perubatan bertauliah bagi 45 jenis penyakit kritikal.

Mereka juga berhak dilindungi apabila dimasukkan ke hospital RM50 sehari bagi tempoh 14 hari sebagai meringankan beban kewangan semasa sakit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata penerima BSH di luar bandar dan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak perlu mendapat maklumat mengenai pelbagai lagi faedah sampingan daripada kerajaan Persekutuan yang boleh dimanfaatkan bagi meringankan beban.

Beliau berkata masih ramai penduduk layak di kawasan berkenaan belum menerima bantuan BSH terutama bagi mereka yang tidak memiliki akaun bank.

Justeru, Abdul Rahim berkata Kementerian Kewangan akan melaksanakan beberapa kaedah baharu bagi menyampaikan bantuan tunai kepada penduduk di kawasan terbabit, selain program turun padang dilakukan oleh Jabatan Perbendaharaan dan LHDN.

Ini termasuk menambah kiosk mesin juruwang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional serta melantik Pos Malaysia Berhad sebagai ejen BSN sebagai kemudahan penduduk luar bandar, katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Fasa pertama Bantuan Sara Hidup 2019 dibayar 28 Januari

PUTRAJAYA 26 DIS: Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah akan dibayar pada 28 Januari, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, atas keprihatinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bantuan itu dijangka akan memanfaatkan sehingga 4.1 juta isi rumah melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 Bilion.

“Bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Guan Eng berkata, bagi pelaksanaan BSH 2019 fasa pertama itu, kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data dan kaedah lama bagi membolehkan bayaran dibuat segera sebelum Februari 2019, walaupun berkemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak.

Menurutnya, proses pemutihan bagi mengeluarkan nama penerima tidak layak yang bukan daripada golongan berpendapatan rendah (B40) memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan.

Guan Eng berkata, setelah pangkalan data dikemaskini, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

“Proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH 2019 fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan program BSH secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah,” katanya.

Menurut Guan Eng, kriteria pembayaran dan kaedah baharu akan diumumkan dalam jangka masa yang terdekat.

Katanya, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, Kerajaan meneruskan program BSH untuk menjamin kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membantu golongan B40 meringankan kos sara hidup mereka.

SUMBER: BERNAMA