Bas percuma akan diperkenalkan di Kajang, Ampang Jaya

Sambutan orang-ramai kepada perkhidmatan bas percuma Bas Selangorku semakin mengalakkan dengan lebih 53, 000 penumpang menggunakannya sejak dilancarkan 1 Julai lalu. Bas Selangorku akan diperkenalkan ke Kajang dan Ampang Jaya di masa hadapan.

Categories
SELANGOR

Kajian menyeluruh beri manfaat kepada rakyat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 JUL: Satu kajian menyeluruh perlu dilakukan Kerajaan Selangor dalam melaksanakan perkhidmatan pengangkutan awam di negeri itu.

Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi, berkata langkah itu penting bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan memberi manfaat jangka panjang kepada semua.

budiman zohdi“Mungkin kawasan yang lebih kritikal perlu diberikan perhatian begitu juga  lokasi yang langsung tiada perkhidmatan bas seperti luar bandar.

“Saya fikir bukan hanya bas sahaja tetapi banyak pengangkutan awam lain boleh dimanfaatkan. Kerajaan Selangor kena lakukan kajian lebih intensif untuk memperluaskan sistem itu,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada 1 Julai lalu, Kerajaan Selangor melancarkan perkhidmatan bas percuma, Bas Selangorku yang menelan peruntukan RM3.6 juta.

Perkhidmatan berkenaan dilaksanakan di kawasan seliaan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Perkhidmatan itu juga dijangka akan diperluas di dua PBT lain iaitu di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menjelang 2016.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Bas Selangorku mesra OKU, sedia Wifi percuma

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 JUL: Rakyat Selangor berpeluang menggunakan perkhidmatan bas secara percuma, Bas Selangorku bermula hari ini, dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, perkhidmatan bas itu juga singgah di semua stesen komuter, sekolah serta pejabat kerajaan.

IMG_3869Katanya, laluan bas itu berlainan dengan laluan bas komersial lain yang menjadikannya lebih praktikal dan efisyen untuk pengguna.

“Lebih menarik, kita juga dalam proses menyediakan perkhidmatan Wifi percuma selain bas bersifat mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Dengan kekerapan bas setiap 15 minit, diharap perkhidmatan ini dapat memudahkan dan meringankan beban rakyat,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bas Selangorku di perkarangan Stesen Komuter Shah Alam, di sini, hari ini.

Bas Selangorku disediakan di tiga pihak berkuasa tempatan iaitu di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Kajang (MPK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

IMG_3955MBSA dan MPSJ masing-masing disediakan empat bas sementara MPK dengan tiga bas.

Perkhidmatan Bas Selangorku di MBSA melibatkan laluan sejauh 10.5 kilometer (km) dan melalui 22 perhentian.

Sementara itu, laluan di MPSJ adalah sejauh 14.5 km dengan 19 perhentian, manakala MPK pula (8.5) km membabitkan 11 perhentian.

Perkhidmatan berkenaan dikendalikan Rapid Sdn Bhd dan setiap bas mampu memuatkan sehingga 60 orang pada satu masa.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Operasi Bas Selangorku bermula hari ini

Oleh: PEJABAT SUK SELANGOR

Pelancaran perkhidmatan ‘Bas Selangorku’ merupakan detik penting dalam usaha Kerajaan Negeri bagi merealisasikan hasrat untuk menyediakan perkhidmatan bas secara percuma kepada rakyat bagi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan rakyat Selangor. Ianya juga merupakan tanda komitmen Kerajaan Negeri dalam menangani isu-isu pengangkutan awam yang telah banyak dibangkitkan oleh pelbagai lapisan masyarakat, ditambah pula dengan pembangunan pesat dan peningkatan penduduk di negeri Selangor menjadikan hasrat ini perlu direalisasikan secepat mungkin.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap (STANCO) Pengangkutan Negeri Selangor telah merancang dan merangka kaedah bagi merealisasikan hasrat ini.

Pada masa kini, inisiatif penyediaan perkhidmatan bas secara percuma telah dilaksanakan di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Sambutan dan maklumbalas dari perkhidmatan yang disediakan ini amat menggalakkan terutama dari golongan pelajar, warga emas dan orang-orang awam.

Memandangkan sambutan yang diterima di MBPJ adalah amat menggalakkan, sebagai permulaan Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk memperluaskan konsep penyediaan perkhidmatan bas secara percuma ini ke tiga (3) PBT di Selangor iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan dikenali dengan nama ‘Bas Selangorku’.

Pelaksanaan perkhidmatan Bas Selangorku ini akan mula beroperasi pada 1 Julai 2015 mengikut laluan-laluan yang telah ditetapkan oleh setiap PBT dengan kekerapan perkhidmatan setiap 15 minit.

Perkhidmatan ini disediakan kepada semua lapisan rakyat setiap hari secara berjadual bermula pada jam 6.00 pagi dan berakhir pada jam 10.00 malam.

Kerajaan Negeri Selangor berharap agar, dengan adanya inisiatif penyediaan perkhidmatan Bas Selangorku kepada rakyat, penggunaan pengangkutan awam semakin meningkat selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memperkasa sektor pengangkutan awam di negeri Selangor.