Categories
SELANGOR

Pemaju diarah bayar ganti rugi 10 kali ganda nilai pokok

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Pemaju perumahan di Bukit Cherakah, Mukim Bukit Raja dikehendaki membayar ganti rugi 10 kali ganda bagi setiap batang pokok yang dimusnahkan selepas didapati menceroboh kawasan Hutan Simpanan Kekal di Bukit Cherakah Tambahan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri juga akan mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat pemaju perumahan terbabit.

“Arahan berhenti kerja sudah pun dikeluarkan dan kita juga akan menilai berapa batang pokok yang terbabit di mana kita akan minta ganti rugi 10 kali ganda dan kerosakan lain juga akan dinilai.

“Kita akan ambil tindakan dan mengikut undang-undang, hukuman penjara maksima lima tahun dan denda RM500,000 boleh dikenakan,” katanya kepada media ketika melawat tapak pembinaan projek perumahan terbabit di Bukit Cherakah Tambahan di sini, hari ini.

Katanya, pemaju terbabit adalah pemilik tanah ke atas tanah seluas 45.47 hektar yang akan dibangunkan dengan pembangunan bercampur tetapi didapati menceroboh ke atas hutan simpan kekal seluas 11.19 hektar untuk dijadikan cerun.

Loy Sian berkata, beliau akan mengadakan satu mesyuarat khas dengan semua pihak bertanggungjawab pagi esok bagi membincangkan tindakan seterusnya terhadap pemaju terbabit.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, beliau tidak menolak pembangunan tetapi hendaklah mengikut syarat ditetapkan.

“Kita tiada masalah dengan pembangunan kalau tanah ini dimiliki pemaju dengan sah dan pembangunan mengikuti prosedur tetapi kita kesal dengan pencerobohan kerana ini adalah hutan simpan kekal,” katanya.

Katanya, beliau mendapat maklumat berhubung pencerobohan ini apabila beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk mengadukan hal ini beberapa hari lalu.