Categories
AGENDA NASIONAL

Festival Ramadan dalam talian tarik perhatian pengunjung luar Selangor

SHAH ALAM, 29 APRIL: Festival Ramadan Selangor (Festira) secara dalam talian menerusi http://BazaarLokal.com menarik perhatian penduduk luar Selangor.

Pemangku pengurus pusat Kompleks PKNS Shah Alam & SACC Mall, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) berkata kaedah penjualan secara maya memudahkan penduduk negeri lain membeli serta mendapatkan barangan keperluan di festival itu.

“Kebanyakan yang sertai BazaarLokal.com adalah pengunjung setia Festira. Namun, memandangkan perintah larangan rentas negeri dikuatkuasakan, mereka tidak dapat berkunjung.

“Jadi, menerusi BazaarLokal.com mereka masih boleh membeli keperluan mereka dan secara tidak langsung ia membantu peniaga,” kata Syahril Mohd Rashid kepada SelangorKini.

Menurutnya, peniaga di BazaarLokal.com mendapat pengalaman serta ilmu baharu sepanjang menyertai festival berkenaan.

“Menerusi kerjasama Lazada serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen), kita bantu peniaga mengenai strategi pemasaran sekali gus membantu mereka meraih pendapatan,” katanya.

Selain BazaarLokal.com, festival secara fizikal turut dianjurkan di Kompleks PKNS Shah Alam dan Bangi serta SACC Mall sejak 26 Mac lalu hingga 12 Mei depan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

500 peniaga sertai festival Ramadan termasuk jualan dalam talian

SHAH ALAM, 2 APRIL: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menganjurkan Festival Ramadan Selangor (Festira) termasuk jualan dalam talian sejak 26 Mac hingga 12 Mei.

Dato’ Menteri Besar berkata seramai 500 peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam dan Bangi serta SACC Mall menyertai program itu yang turut dijalankan secara fizikal.

“Semua peniaga boleh menjual dan mempamer produk serta jualan mereka menerusi dua medium iaitu di lot gerai dan BazaarLokal.com. Langkah ini sebagai inisiatif membendung penularan Covid-19.

“Dengan adanya festival ini, ia memudahkan orang awam membuat persiapan menyambut puasa dan Aidilfitri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan BazaarLokal.com dan Festira 2021 di SACC Mall hari ini.

Menurutnya, jumlah peniaga Festira akan ditambah sekiranya mendapat permintaan dari kalangan peniaga.

“Mereka yang berdaftar akan mendapat rebat pembayaran sewa. Kita galakkan peniaga sertai program ini kerana mahu mereka terdedah dengan transformasi digital.

“Untuk jangka panjang, BazaarLokal.com akan digabungkan dengan platform sedia ada untuk pasaran lebih besar,” katanya.