Categories
PBT SELANGOR

Covid-19: Tiada Bazar Deepavali di Klang

SHAH ALAM, 10 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) membatalkan penganjuran Bazar Deepavali di Lorong Tingkat tahun ini susulan peningkatan kes Covid-19 di daerah berkenaan.

Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata langkah tersebut bagi membendung penularan wabak di kawasan itu yang kini diisytihar zon merah.

“Pandemik Covid-19 melanda dunia termasuk Klang yang mengancam kelangsungan dan kesejahteraan hidup masyarakat. Perkara yang perlu diberi perhatian ialah pembukaan tapak bazar perayaan Deepavali.

“Disebabkan kebelakangan ini kes di kawasan Klang semakin meningkat, MPK membuat keputusan untuk tidak menganjurkan bazar tersebut tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Ketika ini, sebanyak 97 kes Covid-19 sedang dirawat di daerah berkenaan.

Bermula semalam sehingga 23 Oktober, sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Categories
PBT SELANGOR

Sedia tapak Bazar Deepavali

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 SEPT: Permohonan Bazar Deepavali Majlis Perbandaran Klang (MPK) kini dibuka sehingga 15 September ini.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, MPK menyediakan tapak bazar bagi peniaga bermula pada 4 hingga 17 Oktober.

“Bagi peniaga yang berminat boleh membuat permohonan bermula 4 hingga 15 September ini.

“Manakala, proses undian akan dijalankan pada 26 September di Kompleks Sukan Pandamaran jam 10 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Norfiza berkata individu yang memohon mestilah warganegara Malaysia, mempunyai lesen perniagaan, penjaja, permit perniagaan sementara atau permit Deepavali 2016/2017.

“Peniaga juga perlu membuat bayaran keseluruhan permit semasa menghantar borang permohonan sejumlah RM720,” katanya.

Katanya, borang permohonan boleh diperolehi di Pusat Info (Lobi MPK) dan hendaklah dihantar oleh pemohon sendiri ke kaunter MPK sebelum tarikh tutup permohonan bagi mengelak sebarang kesulitan.

“MPK akan menyediakan bekalan elektrik dengan kos bayaran pemasangan sebanyak RM100.

“Peniaga juga dilarang sama sekali membuat sebarang penyambungan haram bagi bekalan elektrik serta tidak dibenarkan membuat apa-apa sambungan menggunakan plastik, kanvas atau lain-lain,” katanya.

=EZY=