Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO edar 2,000 beg guna semula untuk peserta Saringan Komuniti

KLANG, 2 JUN: Sebanyak 2,000 beg guna semula (Bagus) diedar pejabat EXCO hal ehwal pengguna kepada peserta Saringan Komuniti di Dewan Sukan Klang di sini semalam.

Mohd Zawawi Ahmad Muhgni berkata bahan tersebut diedar sebagai kaedah mendidik orang ramai tidak menggunakan beg plastik dalam urusan seharian.

“Perkara ini sebagai salah satu kempen mengalakkan penggunaan beg guna semula dalam kalangan rakyat Selangor,” katanya ketika ditemui pada program Saringan Komuniti percuma di Dewan Sukan Klang di sini semalam.

Bermula 1 Januari 2017, Selangor melaksanakan kempen Bebas Beg Plastik dan sebanyak RM6 juta dikutip daripada orang ramai menerusi caj 20 sen setakat ini.

Hasil kutipan itu digunakan untuk kempen kesedaran awam dan mendidik masyarakat dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik yang menjadi punca pencemaran alam sekitar.

Categories
EXCO SELANGOR

Tahap kesedaran rakyat guna beg sendiri ketika membeli-belah masih rendah

SHAH ALAM, 25 APRIL: Kerajaan Negeri akan melakukan kajian berhubung tingkah laku masyarakat terhadap penggunaan beg sendiri ketika berbelanja di pasar, pasar raya atau kedai.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pihaknya mendapati tahap kesedaran rakyat di negeri ini menggunakan beg sendiri agak rendah.

“Secara rambang, orang ramai masih sedia membayar caj 20 sen beg plastik dan seringkali tertinggal beg sendiri semasa membeli barang.

“Jadi, saya sedang berbincang dengan dua universiti tempatan untuk buat kajian mengenai tabiat pengguna mengapa mereka tidak membawa beg sendiri,” katanya.

EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyampaikan bakul makanan kepada Ketua kampung serta asnaf, fakir dan miskin ketika Program Agihan Beg Guna Semula dan Seorang Sekampit Beras di Bazar Ramadan Lorong Haji Said, Jalan Kebun, Shah Alam pada 24 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada program edaran beg guna semula (Bagus) dan kempen seorang sekampit beras di tapak pasar malam Kampung Jalan Kebun di sini semalam.

Dalam majlis itu, Zawawi yang juga wakil rakyat Sungai Kandis mengagihkan beras kepada asnaf termasuk beg Bagus dan bubur lambuk untuk peniaga bazar serta orang awam.

Bermula 1 Januari 2017, Selangor melaksanakan kempen Bebas Beg Plastik dan sebanyak RM6 juta dikutip daripada orang ramai menerusi caj 20 sen setakat ini.

Hasil kutipan itu digunakan untuk kempen kesedaran awam dan mendidik masyarakat dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik yang menjadi punca pencemaran alam sekitar.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Ganjaran istimewa bawa beg guna semula ketika membeli-belah

SHAH ALAM, 25 APRIL: Ganjaran istimewa bakal menanti individu yang membawa beg guna semula (Bagus) ketika membeli-belah di pasar, pasar raya atau kedai di negeri ini.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata insentif itu sebagai galakan kepada orang ramai untuk menyokong usaha mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Kita dapati ada sebahagian masyarakat hanya simpan beg ini di rumah dan tidak digunakan.

“Jadi, kita akan sediakan hadiah dan kejutan kepada pengguna yang betul-betul bawa beg ini setiap kali berbelanja,” katanya pada program edaran beg guna semula (Bagus) dan kempen seorang sekampit beras di tapak pasar malam Kampung Jalan Kebun di sini semalam.

EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyampaikan bakul makanan kepada Ketua kampung serta asnaf, fakir dan miskin ketika Program Agihan Beg Guna Semula dan Seorang Sekampit Beras di Bazar Ramadan Lorong Haji Said, Jalan Kebun, Shah Alam pada 24 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada 4 April, program Bagus dilancarkan sebagai kempen kesedaran mengurangkan penggunaan plastik sekali gus menggalakkan orang ramai memelihara kelestarian alam sekitar.

Program tersebut menyasar 10,000 beg guna semula diagih ke seluruh Selangor.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata sebanyak 2,000 beg Bagus sudah diedarkan kepada orang ramai di Kuala Selangor dan Klang.

Menurutnya, baki 8,000 lagi dijangka selesai dalam tempoh sebulan dengan pengagihan dibuat melalui pihak berkuasa tempatan dan ketua komuniti.

“Kita akan edar secepat mungkin memandangkan pengguna sangat aktif berbelanja sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

10,000 beg guna semula diagih, galak pulihara alam sekitar

SHAH ALAM, 5 APRIL: Sebanyak 10,000 beg guna semula (Bagus) diedarkan ke seluruh Selangor dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik, kata EXCO pengguna.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata langkah berkenaan merupakan kempen kesedaran mengurangkan penggunaan plastik sekali gus menggalakkan orang ramai menjaga kelestarian alam sekitar.

“Proses agihan bermula di Kuala Selangor hari ini (semalam), diikuti Klang sebelum ke daerah lain.

“Kita akan nilai sambutan kempen ini dan sekiranya mendapat maklum balas positif, jumlah Bagus akan ditambah,” katanya selepas melancarkan program Bagus di Tanjong Karang semalam.

Menurutnya, masyarakat disaran sentiasa membawa Bagus ketika keluar berbelanja supaya matlamat kempen tercapai.

“Beg plastik menjadi punca utama pencemaran alam sekitar terutama di kawasan parit dan sungai kerana menyebabkan masalah pengairan sumbat serta banjir kilat.

“Hidupan laut juga musnah kerana memakan plastik dan menyebabkan kita kekurangan sumber makanan. Jadi, kita kena pastikan matlamat kempen tercapai dan alam sekitar sentiasa dipelihara,” katanya.