Categories
SELANGOR

“Sudahlah tidak dapat tanah, kini dihalau pula”

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 1 APRIL: Bekas pekerja Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak, Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Bukit Tagar yang rata-ratanya sudah lanjut usia tertekan apabila dipaksa berpindah keluar dari rumah didiami sejak berpuluh tahun.

Lebih menyedihkan apabila pemilik ladang terbabit, Tagar Properties Sdn Bhd tidak mengendahkan janji pemilik terdahulu untuk memberi tanah 4,000 kaki persegi sebagai tapak kediaman kepada pekerja yang berkhidmat selama 10 tahun.

20160331_160532Asnah Kantan, 69, berkata beliau mula mendiami ladang terbabit sebelum merdeka semasa Allahyarham bapanya masih berkerja di Ladang Sungai Tinggi dan kemudiannya berpindah ke Ladang Bukit Tagar.

“Bila umur saya 31 tahun saya pula berkerja di ladang ini sehinggalah saya bersara pada umur 55 tahun.

“Hati saya risau, tiada tempat hendak duduk. Kalau mereka tawarkan pampasan RM5,000 sekalipun, berapa lama tahan nak sewa rumah dengan wang sebanyak itu. Apa yang penting sekarang adalah rumah yang boleh diduduki,” katanya kepada SelangorKini.

Setiausaha Jawatankuasa Penduduk, Sundram Ramasamy pula berkata, kebanyakan peduduk yang diusir adalah warga emas yang tidak berupaya bekerja.

“Tagar Properties mensyaratkan sesiapa yang tinggal di tanah ini perlu berkerja dengan mereka sedangkan kebanyakan penduduk adalah warga tua yang sudah tidak mampu berkerja lagi.

20160331_144526“Mereka patut fikir, bagaimana ada yang berumur lebih 50 dan 60 hendak kerja potong buah lagi macam dulu? Berpuluh tahun keringat dicurahkan bagi memastikan syarikat mendapat keuntungan, tetapi ini balasan yang diberikan,” katanya.

Penderitaan itu bukan sahaja ditanggung penduduk biasa, malah Ketua MIC Ladang Mary, Sewadurai S. Ramachandran,53, juga mengadu nasib sama apabila dipaksa mengosongkan rumah yang didiaminya sekarang.

“Saya adalah generasi ketiga tinggal di sini. Tindakan ini tidak patut.

“Mereka juga berjanji hendak bagi anak kami berkerja di ladang ini walaupun mempunyai kelulusan tinggi tetapi mereka tidak beri apa-apa kecuali kerja potong buah dengan kutip biji,” katanya.

Terdahulu, seramai 57 bekas pekerja ladang di kawasan terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Kuala Selangor.

-AA-

Categories
SELANGOR

Wujud dasar bantu bekas pekerja ladang miliki rumah

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri diharap mewujudkan dasar membantu bekas pekerja ladang tidak berkemampuan memiliki kediaman.

Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Bahru), berkata saranan itu bersandarkan kepada nasib 84 bekas pekerja ladang di Kuala Kubu Bahru dan Permatang yang kehilangan tempat berteduh apabila pemilik ladang baru tidak membenarkan mereka terus menghuni rumah pekerja.

Lee Kee Hiong“Antara pekerja ladang itu dari Ladang Bukit Tagar, Ladang Minyak dan Ladang Sungai Tinggi. Bekas pekerja ladang amat risau kerana mereka tidak mempunyai rumah di luar ladang.

“Usia mereka melebihi 55 tahun selepas bekerja di ladang berpuluh-puluh tahun,” katanya dalam perbahasan Belanjawan Selangor 2016.

Belanjawan Selangor 2016 mengariskan sejumlah RM1.5 juta untuk kebajikan pekerja dan bekas pekerja ladang bagi mencorak kehidupan masa hadapan mereka.

“RM1 juta daripada jumlah peruntukan itu digunakan untuk meneruskan Program bantuan Rumah Kerajaan Prihatin,” kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2016 pada 30 Oktober lalu.

-nR-