Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Najib dibenar jumpa pakar mata

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihentikan pada jam 11.30 pagi bagi membolehkan bekas perdana menteri itu berjumpa doktor pakar berhubung masalah matanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib supaya perbicaraan yang masuk hari kesembilan dihentikan lebih awal pada prosiding pagi yang biasanya akan tamat pada jam 1 tengah hari.

Hakim Sequerah mengarahkan perbicaraan bersambung semula pada jam 2 petang.

Terdahulu Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa masalah sakit mata yang dihadapi anak guamnya mungkin disebabkan keadaan jerebu ketika ini.

“Saya memohon mahkamah membenarkan anak guam saya berjumpa doktor untuk pemeriksaan susulan matanya. Simptomnya sama ketika beliau mengalami konjunktivitis. Saya syak ia disebabkan jerebu.

“Beliau perlu menghadiri temu janji di klinik mata kira-kira jam 11 pagi ini,” katanya.

Muhammad Shafee berkata selain mata berair, anak guamnya turut berdepan masalah hidung berair dan beliau perlu berjumpa doktor bagi mengelakkannya menjadi lebih teruk.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan agar pemeriksaan balas terhadap saksi kesembilan dilakukan tanpa kehadiran Najib tetapi Muhammad Shafee menjawab bahawa kehadiran anak guamnya diperlukan semasa prosiding mahkamah seperti di negara-negara Komanwel tidak ada peraturan di mana kehadiran tertuduh boleh diketepikan.

Mahkamah kemudian meneruskan dengan mendengar keterangan daripada bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang disoal balas Muhammad Shafee.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

-BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Kejatuhan Ringgit lebih teruk zaman Najib

OLEH WONG CHEN

Saya mengambil maklum dengan dakwaan Bekas Menteri Kewangan yang juga Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa nilai matawang ringgit masih sama walaupun beliau sudah digugurkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Dakwaan itu terlalu awal dan subjektif kerana kejatuhan nilai matawang ringgit berbanding dengan matawang Amerika kini berlaku ekoran tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memotong cukai korporat secara drastik bersamaan dengan ketegangan perang dagangan dengan negara China.

Kedua dasar ekonomi ini telah melihat pelaburan pulang ke Amerika Syarikat dan terus membuat matawang Amerika lebih kukuh dan tinggi.

Berbanding dengan matawang Amerika, kebanyakkan matawang dunia lain mengikut trend menurun, termasuk Malaysia.

Maka, dakwaan Najib berhubung kejatuhan nilai mawatang ringgit dengan pentadbiran kerajaan hari ini adalah tidak tepat.

Beliau kena ingat zaman pentadbiran beliau, ramai pelabur antarabangsa dan juga domestik lari keluar dari Malaysia kerana tidak yakin dengan pentadbiran beliau, sampai kadar matawang kita jatuh dari RM3.50 ke RM4.50/USD$ 1.

Punca utamanya kehilangan keyakinan adalah kerana 1MDB. Itu adalah fakta yang Najib kena lihat dan imbau zaman pemerintahan beliau dulu.

Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) hari ini sedang berusaha untuk memulihkan ekonomi negara dan mengembalikan kedudukan kewangan pada landasan yang betul.

Kerajaan PAKATAN perlu meningkatkan kerja membasmi rasuah dan mengamalkan tadbir urus yang cekap dan amanah.

Hanya melalui ini kita akan boleh mengatasi apa-apa masalah ekonomi.

Saya percaya Lim Guan Eng sedang merangka Belanjawan 2019 untuk sesi parlimen yang akan diadakan pada 2 November 2018 dan akan memberi perhatian dan menarik keyakinan pelabur ke Malaysia dalam masa dua tahun ke hadapan ini.

Apabila pelaburan di Malaysia meningkat, Ringgit juga akan menjadi lebih kukuh.

* Wong Chen adalah Ahli Parlimen Subang dan Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan KEADILAN