Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP lancar garis panduan bencana pastikan bekalan cukup

PUTRAJAYA, 27 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Garis Panduan Pengurusan Bencana Bagi Kelestarian Bekalan Barangan Keperluan, sebagai persediaan menghadapi bencana banjir susulan bermulanya fasa Monsun Timur Laut bulan ini hingga akhir Mac 2021.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini berkata, antara tindakan di bawah garis panduan itu termasuklah mengaktifkan pusat kawalan operasi bencana, melalui pusat arahan penguatkuasaan di negeri-negeri terlibat.

Beliau berkata pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan dipergiatkan ke atas semua rantaian pengedaran barangan makanan, sama ada di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

KPDNHEP juga, katanya membenarkan penambahan had simpanan barang kawalan dan barangan keperluan asas sehingga 30 peratus kepada pemborong dan peruncit terpilih, di kawasan-kawasan berisiko banjir.

Nanta turut menegaskan KPDNHEP akan bertindak ke atas mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan melakukan kesalahan seperti menyeleweng, menyembunyikan, enggan menjual, mengenakan syarat jualan atau apa-apa kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, tindakan juga akan diambil ke atas mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, seperti melakukan pencatutan atau menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan sepanjang bencana banjir.

Beliau berkata individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, manakala hukuman bagi badan korporat pula adalah denda tidak lebih RM2 juta.

“Bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 pula, individu atau bukan pertubuhan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, manakala pertubuhan boleh didenda tidak lebih RM500,000,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa bah di Kelantan menurun, Terengganu meningkat

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Keadaan banjir di Kelatan semakin reda dengan jumlah mangsa menunjukkan penurunan namun di Terengganu, jumlah mangsa meningkat sedikit.

Di KELANTAN, jumlah mangsa terus menurun kepada 11,436 orang melibatkan 4,442 buah keluarga sehingga pukul 8 pagi ini berbanding 12,269 mangsa (4,684 keluarga) petang semalam.

Aplikasi InfoBencanaJKM menunjukkan empat jajahan yang masih terkesan banjir dan mangsa ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Pasir Mas 8,117 (3,288 keluarga), Tumpat (3,183 mangsa; 1,120 keluarga), Pasir Puteh (80 mangsa; 15 keluarga) dan Kuala Krai (56 mangsa; 19 keluarga).

Sementara itu, laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas ialah 10.06 meter manakala Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pada 3.10 meter, masih melepasi paras bahaya.

Bagaimanapun, cuaca di Kelantan baik pagi ini, tiada jalan utama ditutup manakala jumlah mangsa yang terkorban meningkat kepada tiga orang selepas seorang bapa tunggal, Zulkapli Yaakub, 51, meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik di Kampung Tasik Permai, Pasir Mas semalam.

Dalam kejadian pada 12.15 tengah hari semalam, mangsa maut dipercayai terkena renjatan selepas terpegang kabel penyokong tiang elektrik ketika mahu mengambil buah nona dan rebah ke dalam air banjir pada paras 0.5 meter.

Di TERENGGANU, mangsa banjir yang ditempatkan di lapan PPS bertambah kepada 1,047 orang daripada 269 keluarga pagi ini berbanding 899 orang (235 keluarga) malam tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan (JKM) melaporkan mangsa banjir di Kuala Nerus kini adalah seramai 616 orang (161 keluarga), Setiu (37 orang; lapan keluarga) dan Kuala Terengganu (394 orang; 100 keluarga).

Cuaca diramal cerah sepanjang hari dengan hujan hanya di beberapa tempat di Terengganu.

Di JOHOR, keadaan banjir belum berubah dengan jumlah mangsa yang berada di PPS di Parit Sulong, Batu Pahat kekal 21 orang, sejak malam tadi sehingga 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon berkata 16 orang mangsa daripada tiga keluarga dari Kampung Parit Betong dan lima orang daripada satu keluarga merupakan penduduk Kampung Parit Abdul Rahman, Parit Sulong.

Mangsa masih berada di PPS Sekolah Agama Seri Comel yang dibuka sejak Isnin lepas kerana kawasan kediaman masing-masing masih digenangi ‘banjir termenung’, katanya.

Banjir termenung berlaku apabila air tidak dapat mengalir keluar dengan baik ke sistem saliran dan ini menyebabkan air terus bertakung untuk satu tempoh yang lama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agensi terlibat bersedia berdepan banjir

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Agensi yang terlibat dengan bencana banjir sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi itu sekiranya ia berlaku ketika perubahan angin monsun yang dijangka berterusan hingga awal November nanti.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Zakaria Shaaban berkata, pihaknya akan memastikan semua agensi Persekutuan berkaitan pengurusan bencana bersiap sedia semasa Monsun Timur Laut (MTL).

“Nadma telah dan akan terus mengadakan siri latihan kepada komuniti melibatkan program Community Based Disaster Management (CBDM). Penganjuran Program Kesiapsiagaan Nasional akan dilancarkan pada bulan Oktober (program tahunan) bagi meningkatkan lagi tahap kesedaran kesiapsiagaan semua pihak terutamanya masyarakat.

“Pemulihan dan penambahbaikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu 5,482 PPS yang boleh menampung lebih 1.6 juta mangsa adalah antara persiapan dari aspek kebajikan kepada mangsa yang akan berpindah,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, bagi memastikan pengurusan banjir diselaras dengan berkesan dan lancar.

Dalam pada itu, Zakaria menjelaskan, bagi memperkukuhkan pengurusan bencana negara, Nadma turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan urusan bantuan di lokasi bencana diselaras.

“Nadma juga akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan inisiatif baharu dalam meningkatkan sistem amaran banjir menerusi penyampaian khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada komuniti yang berisiko tinggi berdepan banjir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab berkata, pihaknya sudah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan ketika fenomena perubahan angin monsun.

“Yang pertama sekali, mesyuarat di peringkat pertahanan awam (APM) dalaman mereka dah mula, lepas tu di peringkat negeri dan daerah, sebab kita adalah sekretariat pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah.

“Jadi, yang ini (hasil mesyuarat) mereka akan maklumkan kepada DO (pegawai daerah) dan SS (setiausaha kerajaan negeri) untuk menggerakkan jentera dan bersedialah… agensi uruskan bencana ni akan bersama-sama dengan kita,” katanya.

Pada 22 September lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Amer Yusof memaklumkan seramai 14,000 anggota JBPM akan diletakkan di seluruh negara sebagai persediaan untuk menghadapi banjir termasuk di luar jangka.

Menurutnya, JBPM sudah mempunyai jawatankuasa khas berhubung fenomena perubahan angin monsun yang turut membabitkan peringkat kebangsaan, negeri dan daerah di seluruh negara.

Pada masa sama, Amer berkata, jika berlaku banjir besar di sesebuah negeri pihaknya akan mengarahkan negeri berjiran membantu termasuk dari segi logistik dan anggota.

MET Malaysia pada 21 September lepas mengeluarkan kenyataan antara lain perubahan angin monsun dijangka bermula 24 September sehingga awal November depan yang boleh mengakibatkan angin kencang, hujan lebat yang berpotensi berlaku banjir di negeri Pantai Barat Semenanjung, Pantai Barat Sabah serta Barat dan Tengah, Sarawak.

– BERNAMA