Categories
SELANGOR

Kerajaan Pusat digesa naik taraf Lebuhraya Besraya bagi atasi kesesakan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SERDANG, 14 MAC : Kementerian Kerja Raya digesa supaya menyediakan pelan cadangan untuk menaik taraf Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) yang menghubungkan Kuala Lumpur ke persimpangan Universiti Putra Malaysia (UPM) ekoran kesesakan luar biasa yang dialami pengguna.

Exco Pembangunan Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah, berkata pengguna yang menggunakan lebuh raya sepanjang 16 kilometer (km) itu terpaksa berdepan kesesakan hampir setiap hari terutama pada waktu puncak iaitu pukul lima petang sehingga lapan malam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan berkata, kebanyakan pengguna yang ingin menuju ke arah Balakong dan Seri Kembangan juga terpaksa menggunakan laluan itu kerana tidak mempunyai alternatif lain.

ean yong hian wah“Lebuhraya Besraya ke arah Balakong memang terlalu sesak dan banyak rungutan dikemukakan penduduk, justeru saya menyeru kepada Kementerian Kerja Raya supaya mengadakan satu cadangan untuk menaik taraf lebuh raya ini.

“Pengguna tidak mempunyai alternatif lain terutama untuk ke arah Balakong. Mungkin pihak kerajaan boleh pertimbangkan langkah sesuai untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Pada masa sama, Ean Yong turut menggesa kerajaan supaya menaik taraf stesen komuter Serdang ekoran keadaannya yang terlalu kecil dan tidak mampu menampung bilangan penumpang yang ramai.

Katanya, proses naik taraf itu termasuk jejambat atau laluan pejalan kaki yang tidak berbumbung sepenuhnya perlu dibaiki, selain meletakkan lampu untuk keselamatan pengguna terutama pada waktu malam.

“Banyak kemudahan perlu dibaiki di stesen ini kerana ia tidak mampu menampung bilangan pengguna yang terlalu ramai terutama di kalangan pelajar dan pekerja yang menggunakan perkhidmatan awam untuk balik ke rumah atau ke tempat kerja,” katanya.

-NFN-