Categories
AGENDA NASIONAL

Tren komuter terkeluar landasan di Bangi, perjalanan tergendala

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Sebuah tren komuter yang membawa 70 penumpang terkeluar daripada landasan di KM421.168 berhampiran Stesen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) petang semalam.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu mengakibatkan perkhidmatan komuter mengalami kelewatan bagi perjalanan dari Stesen Batu Caves menuju ke Stesen Sungai Gadut, dan sebaliknya.

Menurut Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha, tiada kemalangan jiwa yang melibatkan kakitangan mahupun orang awam dalam insiden itu.

Beliau berkata roda koc terakhir dan koc kedua terakhir tren itu terkeluar dari landasan menyebabkan laluan tren komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) terhalang sepenuhnya.

“Perkhidmatan KTM Komuter dan ETS laluan Gemas ke Padang Besar dan sebaliknya yang melalui laluan tersebut akan mengalami kelewatan ekoran insiden itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan tren komuter dari Sungai Gadut/Pulau Sebang akan ditamatkan di Stesen Bangi manakala tren dari Stesen Batu Caves tamat di Stesen Kajang.

Sementara, prekhidmatan tren ETS akan ditamatkan di Stesen Batang Benar dan penumpang akan dipindahkan menaiki bas ke Stesen KL Sentral.

Bagi pengguna KTM komuter, KTMB memaklumkan pihaknya menyediakan bas perantara kepada penumpang terlibat dari Stesen Kajang ke Stesen Bangi dan sebaliknya, bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

KTMB juga sedang giat menjalankan kerja pengalihan gerabak ke lokasi lebih selamat dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu, menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-22671200 atau menerusi saluran media baharu KTMB.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerajaan Pusat digesa naik taraf Lebuhraya Besraya bagi atasi kesesakan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SERDANG, 14 MAC : Kementerian Kerja Raya digesa supaya menyediakan pelan cadangan untuk menaik taraf Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) yang menghubungkan Kuala Lumpur ke persimpangan Universiti Putra Malaysia (UPM) ekoran kesesakan luar biasa yang dialami pengguna.

Exco Pembangunan Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah, berkata pengguna yang menggunakan lebuh raya sepanjang 16 kilometer (km) itu terpaksa berdepan kesesakan hampir setiap hari terutama pada waktu puncak iaitu pukul lima petang sehingga lapan malam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan berkata, kebanyakan pengguna yang ingin menuju ke arah Balakong dan Seri Kembangan juga terpaksa menggunakan laluan itu kerana tidak mempunyai alternatif lain.

ean yong hian wah“Lebuhraya Besraya ke arah Balakong memang terlalu sesak dan banyak rungutan dikemukakan penduduk, justeru saya menyeru kepada Kementerian Kerja Raya supaya mengadakan satu cadangan untuk menaik taraf lebuh raya ini.

“Pengguna tidak mempunyai alternatif lain terutama untuk ke arah Balakong. Mungkin pihak kerajaan boleh pertimbangkan langkah sesuai untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Pada masa sama, Ean Yong turut menggesa kerajaan supaya menaik taraf stesen komuter Serdang ekoran keadaannya yang terlalu kecil dan tidak mampu menampung bilangan penumpang yang ramai.

Katanya, proses naik taraf itu termasuk jejambat atau laluan pejalan kaki yang tidak berbumbung sepenuhnya perlu dibaiki, selain meletakkan lampu untuk keselamatan pengguna terutama pada waktu malam.

“Banyak kemudahan perlu dibaiki di stesen ini kerana ia tidak mampu menampung bilangan pengguna yang terlalu ramai terutama di kalangan pelajar dan pekerja yang menggunakan perkhidmatan awam untuk balik ke rumah atau ke tempat kerja,” katanya.

-NFN-