Categories
NASIONAL

Kroni Umno-MCA Kuasai AES?

KUALA LUMPUR, 5 NOV :  Adun Teja, Chang Lih Kang mencabar Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha menafikan dakwaan wujudnya unsur kronisme dalam pemberian tender pemasangan kamera Sistem Kamera Automatik (AES) kepada Beta Tegap Sdn Bhd.

Pada satu sidang media di Lobi Parlimen. Chang mendakwa tender pemasangan AES dikuasai kroni Umno.

Menurutnya, Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) yang juga pemegang saham terbesar Beta Tegap Sdn Bhd, Rozana Redzuan mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno Johor.

Katanya, Rozana merupakan anak sulung Tan Sri Redzuan Salim dan Puan Sri Atikah Abdullah, dua tokoh pemimpin Umno di Johor.

“Tan Sri Redzuan merupakan bekas Adun Peserai dan Ketua Umno Bahagian Parit Sulong manakala Puan Sri Atikah pernah menjadi Adun Sri Medan selama dua penggal, Timbalan Ketua Wanita Bahagian Umno Johor, dan Exco Wanita Pusat.

“Selain itu, Rozana juga merupakan sepupu kepada Adun Machap, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman,” katanya yang turut ditemani Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Beta Tegap merupakan salah satu daripada dua syarikat swasta utama yang mendapat kelayakan tender pemasangan kamera AES daripada Kementerian Pengangkutan selain ATES Sdn Bhd.

Sebelum ini, William mendakwa pemegang saham kedua terbesar dalam Beta Tegap, Dr Andreas Teoh mempunyai kaitan dengan MCA apabila beliau turut memiliki kontrak dengan Kementerian Kesihatan pada 2005 melalui syarikat Mediharta Sdn Bhd.

Namun, dakwaan itu disanggah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang juga pada ketika itu memegang portfolio Menteri Kesihatan.

Categories
SELANGOR

AES Dipulang Kepada Kerajaan Selepas Lima Tahun, Siapa Untung, Soal Guan Eng

KUALA LUMPUR, 29 OKT – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa Sistem Kamera Automatik (AES) akan dikembalikan kepada Kerajaan Pusat selepas lima tahun.

Guan Eng mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha yang disiarkan akhbar berbahasa Cina, Sin Chiew hari ini.

“Kalau ada kebaikan selepas lima tahun dipulangkan kepada Kerajaan Pusat, saya nak tanya kamera 1Malaysia (AES) dipulangkan?

“Saya tidak nampak kebaikan. Dia nak pulangkan semula kerana sudah mengaut keuntungan yang cukup.

“Saya tidak tahu dia (Cho Ha) nampak apa kebaikan kepada kerajaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Tambah Guan Eng, kerajaan perlu mengkaji semula kadar kelajuan sedia ada yang disifatkan tidak praktikal.

Berdasarkan statistik, 831 buah kamera yang akan dipasang diseluruh Malaysia dengan 331 buah kamera tersebut diletakkan di negeri Pakatan Rakyat (PR).

Tambahnya lagi, semua negeri yang ditadbir PR mengambil langkah menangguhkan pemasangan AES bagi memperincikan segala maklumat penting mengenai perkara ini.

Beliau turut membangkitkan mengenai surat saman yang sehingga kini belum dikirimkan kepada pengguna jalan raya.

“Bila surat saman akan dikirmkan kepada pengguna yang ditangkap (kamera AES)?

“Saya nak tahu bila? Apakah selepas PRU-13 ia akan dihantar?” soalnya lagi.

Sistem AES dipasang di seluruh negara, melibatkan syarikat ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd dengan jumlah pelaburan bernilai RM717 juta.