Categories
AGENDA NASIONAL

Sembilan kumpulan jayakan konsert 48 tahun Blues Gang

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Sebanyak sembilan kumpulan genre blues dan rock tampil membuat persembahan dalam  Blues Valley Jam sempena ulang tahun ke-48 Blues Gang di BSync Studio Seputeh di sini semalam.

Pengurus projek Mohd Nasir Abdul Rashid berkata kumpulan tersebut adalah Andy Flop Poppy, Sons of Adam, Zip Zieller, Pitahati, Lord Lokman, Rukun Serigala, Blues All Star, Bluez Bugs dan The Nabil Nazmi Trio.

“Konsert ini diadakan secara dalam talian sebagai meraikan 48 tahun penubuhan Blues Gang dan memberi peluang kepada pelapis baharu mempersembahkan hasil seni mereka.

“Ia terpaksa dianjurkan begini susulan tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 yang perlu dipatuhi. Insya-Allah jika berpeluang kita akan adakan secara fizikal satu hari nanti,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Pengurus projek konsert Blues Valley Jam, Mohd Nasir Abdul Rashid. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengulas sambutan konsert semalam, Mohd Nasir akui sambutan tidak semeriah berbanding sebelum pandemik tetapi beliau berpuas hati kerana dapat mengumpulkan beberapa penyanyi dan kumpulan genre ‘blues’.

“Penyanyi ini pun rata-rata rindu membuat persembahan dan kita bawa mereka pada konsert ini bagi meraikan 48 tahun kumpulan ‘otai’ (Blues Gang).

“Jika diikutkan ramai pelapis blues di negara ini tetapi susulan pandemik dan SOP yang perlu dipatuhi kita hanya dapat kumpulkan sebahagian artis sahaja, mungkin ada rezeki kita bawa lebih ramai lagi untuk persembahan lain,” katanya.

Tahun lalu Blues Gang melancarkan set kotak buku bergambar mengandungi biografi setebal 200 muka surat dan t-shirt rasmi sempena sambutan ke-48 penglibatan mereka dalam industri seni.

Kumpulan tersohor itu dianggotai Mohd Arif Kendut atau Ito (penyanyi), Julian Mokhtar (gitar utama), Ghani Abu Talib (gitar kedua/keyboard) dan Shaik Karim (dram) manakala seorang lagi ahli Jim Mandasamy yang juga pemain bass meninggal dunia pada 2018.

Categories
AGENDA NASIONAL

Blues Gang adakan konsert dalam talian sempena ulang tahun ke-48

SHAH ALAM, 1 FEB: Kumpulan blues dan rock era 1970-an Blues Gang akan mengadakan persembahan secara dalam talian pada 8 Februari ini sempena ulang tahun ke-48 penubuhannya.

Pengurus projek Mohd Nasir Abdul Rashid berkata konsert Blues Valley Jam itu bermula 4 petang hingga 11 malam menampilkan beberapa artis jemputan antaranya Pitahati, Lord Lokman, Sons of Adam, Andy Flop Poppy, Zip Zieller, Rukun Serigala dan The Nabil Nazmi.

“Konsert ini bertemakan alam sekitar kerana mahu masyarakat lebih menyayangi alam semulajadi.

“Tiket dijual pada harga RM22 dan boleh dibeli di laman sesawang www.bluesgang.ubertickets.my ,” katanya kepada SelangorKini.

Tahun lalu Blues Gang melancarkan set kotak buku bergambar mengandungi biografi setebal 200 muka surat dan t-shirt rasmi sempena sambutan ke-48 penglibatan mereka dalam industri seni.

Kumpulan tersohor itu dianggotai Ito Mohd (penyanyi), Julian Mokhtar (gitar utama), Ghani Abu Talib (gitar kedua/keyboard) dan Shaik Karim (dram) manakala seorang lagi ahli Jim Mandasamy yang juga pemain bass meninggal dunia pada 2018.