Categories
AGENDA NASIONAL

Blues Gang adakan konsert dalam talian sempena ulang tahun ke-48

SHAH ALAM, 1 FEB: Kumpulan blues dan rock era 1970-an Blues Gang akan mengadakan persembahan secara dalam talian pada 8 Februari ini sempena ulang tahun ke-48 penubuhannya.

Pengurus projek Mohd Nasir Abdul Rashid berkata konsert Blues Valley Jam itu bermula 4 petang hingga 11 malam menampilkan beberapa artis jemputan antaranya Pitahati, Lord Lokman, Sons of Adam, Andy Flop Poppy, Zip Zieller, Rukun Serigala dan The Nabil Nazmi.

“Konsert ini bertemakan alam sekitar kerana mahu masyarakat lebih menyayangi alam semulajadi.

“Tiket dijual pada harga RM22 dan boleh dibeli di laman sesawang www.bluesgang.ubertickets.my ,” katanya kepada SelangorKini.

Tahun lalu Blues Gang melancarkan set kotak buku bergambar mengandungi biografi setebal 200 muka surat dan t-shirt rasmi sempena sambutan ke-48 penglibatan mereka dalam industri seni.

Kumpulan tersohor itu dianggotai Ito Mohd (penyanyi), Julian Mokhtar (gitar utama), Ghani Abu Talib (gitar kedua/keyboard) dan Shaik Karim (dram) manakala seorang lagi ahli Jim Mandasamy yang juga pemain bass meninggal dunia pada 2018.