Categories
AGENDA NASIONAL

BNM tingkatkan akses pinjaman beli rumah, perniagaan

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Bank Negara Malaysia (BNM) meningkatkan akses kepada pembiayaan melalui Khidmat nasihat Pembiayaan (MyKNP) dan imSME untuk membantu pembeli rumah dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang tidak berjaya dalam permohonan pembiayaan mereka.

Dalam Laporan Tahunan 2019, BNM berkata sehingga Disember tahun lepas, sejumlah 249 PKS dan pembeli rumah dibantu melalui MyKNP manakala 1,800 PKS memperolehi pembiayaan berjumlah RM179 juta dibawah imSME.

MyKNP diperkenalkan pada Ogos 2019 bersama-sama dengan Perbadanan Jaminan Kredit Malaysia (CGC), AKPK dan industri kewangan untuk membantu calon peminjam memahami dengan lebih jelas faktor penyebab kegagalan permohonan pembiayaan mereka serta menerima khidmat nasihat mengenai cara meningkatkan peluang mendapat pembiayaan.

“Khidmat nasihat ini termasuk membantu calon peminjam mempelajari jenis dokumen sokongan diguna institusi kewangan untuk menilai kedudukan kredit individu atau perniagaan.

“Seseorang calon peminjam juga mungkin disaran membaiki kedudukan kewangan, misalnya cara menjana lebih banyak pendapatan atau menyusun semula hutang sedia ada dan komitmen lain sebelum membuat permohonan semula,” kata BNM.

Katanya, MyKNP juga boleh merujuk permohonan PKS yang tidak berjaya kepada saluran alternatif untuk memenuhi keperluan pembiayaan mereka.

Sementara itu, imSME pula ialah platform rujukan pembiayaan dalam talian dibangunkan oleh CGC yang memadankan PKS kepada produk pembiayaan sesuai mengikut profil perniagaan, skor kredit dan keperluan pembiayaan mereka.

BNM berkata sebanyak 25 institusi kewangan konvensional dan Islam kini menyediakan penyelesaian pembiayaan melalui platform ini.

Melalui platform ini, BNM berkata PKS boleh mengemukakan permohonan pembiayaan secara dalam talian kepada pelbagai institusi kewangan serentak dan menerima maklum balas daripada pemberi pinjaman dalam tempoh dua hari selepas permohonan dikemukakan.

“Platform ini mengurangkan masa dan perbelanjaan yang lazimnya perlu ditanggung oleh PKS untuk mendapatkan sebut harga daripada beberapa bank,” kata BNM.

BNM berkata PKS yang gagal dipadankan dengan institusi kewangan di imSME diberikan khidmat nasihat untuk meningkatkan daya maju kewangan mereka melalui program latihan pembinaan keupayaan bersasar dan boleh dirujuk kepada penyedia kewangan alternatif.

— BERNAMA