SHAH ALAM, 27 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sudah menghantar sembilan anggota bagi membantu proses pemindahan mangsa banjir di Terengganu.
Pengarah Bomba Selangor berkata pasukan bantuan itu turut dilengkapi dua bot dan sebuah lori lima tan, lapor Harian Metro.
“Anggota Bomba Selangor sudah bergerak pada jam 6 petang tadi ke Terengganu dan dijangka tiba jam 1 atau 2 pagi nanti,” kata Norazam Khamis ketika dihubungi hari ini.
Pada masa sama katanya, pihaknya turut mengambil langkah berjaga-jaga memandang keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini.
“Kami turut mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiapsiaga bagi operasi banjir kilat di Selangor.
“Terdapat 42 lokasi dalam pemantauan terutama di Hulu Langat, Sepang, Klang, Kuala Selangor dan Taman Sri Muda.
“Sebanyak 10 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terbabit dalam usaha ini antaranya BBP Shah Alam, BBP Sepang, BBP Banting, BBP Pelabuhan Klang, BBP Bestari Jaya,” katanya.