Categories
SELANGOR

Lelaki warga Indonesia hilang selepas bot terbalik di Kuala Selangor

SHAH ALAM, 8 OKT: Seorang lelaki warganegara Indonesia dikhuatiri hilang di laut selepas bot yang dinaikinya terbalik akibat dilambung ombak kira-kira 13.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor, pada Rabu lepas (6 Okt).

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata pihaknya yang menerima laporan kejadian itu semalam, menggerakkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dikenali sebagai Sutri, 21.

“Mangsa bersama tekong dan seorang lagi kru bot jatuh ke laut apabila bot yang dinaiki dilambung ombak sebelum terbalik di lokasi kejadian, tekong dan kru bot tersebut berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa masih gagal ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata operasi bagi hari kedua yang dikoordinasikan Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru disambung pada 7 pagi tadi membabitkan bot Maritim Pengawal 26 dan aset udara Maritim dengan dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Operasi hari ini meliputi keluasan 143.4 batu nautika persegi dengan tumpuan di kawasan perairan Kuala Selangor. Cuaca di lokasi cerah dengan kelajuan angin sekitar 10 hingga 20 kilometer sejam,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menubuhkan Pengkalan Hadapan Carilamat di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor.

Pihak Maritim Malaysia juga meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

– BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Bot terbalik: Seorang maut, seorang selamat

PELABUHAN KLANG, 4 JAN: Seorang mati lemas manakala seorang terselamat apabila bot fiber yang mereka naiki terbalik akibat angin kencang dan laut bergelora berhampiran Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kpt Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.15 petang dan terus menghantar pasukan mencari serta menyelamat.

“Kami menemui seorang mangsa yang terselamat, Amir Hamzah Mohd Jani, 55, berpaut pada sebuah tong minyak manakala rakannya yang dikenali sebagai Syed Noor Masadi, 51, ditemui mati lemas pada jarak kira-kira 0.8 batu nautika dari Perepat, Kapar, dekat sini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, mayat Syed Noor dan rakannya yang selamat, Amir Hamzah, dibawa ke jeti Pulau Indah untuk tindakan selanjutnya

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Sungai Sembilang, Jeram, dekat sini, keluar memancing di laut, kira-kira jam 3 pagi, semalam, katanya.

Mohammad Rosli berkata, pihak APMM mengingatkan supaya komuniti laut sentiasa mengambil berat soal keselamatan ketika di laut terutama aspek pemakaian jaket keselamatan.

“Penggunaan jaket keselamatan sangat perlu tanpa menganggapnya sebagai satu beban kerana pemakaian jaket itu boleh menyelamatkan nyawa sementara menunggu ketibaan bot penyelamat,” katanya.