Categories
SELANGOR

Rodziah : Setiap kanak-kanak adalah anak kita

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 12 DIS : Kerajaan negeri sentiasa komited untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang risiko, ancaman dan ketidakselamatan supaya mereka dapat membesar dengan sempurna.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata setiap individu, jabatan dan agensi kerajaan, ketua masyarakat, badan bukan kerajaan serta anggota masyarakat harus memainkan peranan masing-masing untuk melindungi kanak-kanak daripada gangguan fizikal, emosi, spiritual juga mental.

rodziah pc green 20 jul 01Katanya, kanak-kanak perlu diberikan perhatian sepenuhnya kerana mereka adalah aset paling berharga dan mudah terpedaya dengan pelbagai elemen yang boleh mencemar sahsiah, keselamatan serta masa depan.

“Dengan itu, tanggungjawab sebagai ibu bapa untuk melindungi kanak-kanak terletak kepada setiap insan yang bergaul dan berinteraksi dengan mereka.

“Dengan cara ini, kanak-kanak tidak akan dianiaya, dieksploitasi, diganasi atau diperdaya oleh anasir yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat,” kata Rodziah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup Seminar Perlindungan Kanak-Kanak yang diadakan di Hotel De Palma, di sini, pada 9 Disember lalu.

Rodziah turut berkesempatan melancarkan buku elektronik yang bertajuk ‘Setiap Kanak-Kanak Adalah Anak Kita’ yang diterbitkan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Kebajikan Negeri Selangor khusus sebagai panduan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dalam usaha melindungi kanak-kanak.

“Ahli yang Berhormat juga diseru untuk mengambil berat isu dan kebajikan kanak-kanak. Kedudukan dan kekuasaan yang ada pada kita wajar untuk menjamin bahawa tiada sebarang eksploitasi, penderaan dan keganasan terhadap kanak-kanak, khususnya di negeri Selangor,” katanya.

Selain ADUN, Rodziah turut mempelawa sesiapa sahaja yang berminat untuk menimba pengetahuan dan panduan yang terkandung dalam buku berkenaan dan ia boleh dimuat turun di laman sesawang pusatmediawanitaselangor.wordpress.com secara percuma.

-NFN-