Categories
PBT SELANGOR

Naik taraf Bulatan Bestari siap Februari

SHAH ALAM, 18 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjangkakan kerja menaik taraf Bulatan Bestari Seksyen 2 siap sepenuhnya hujung Februari ini, kata Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya.

Shahrin Ahmad berkata bagi fasa pertama ia dijadual siap 20 Januari ini dan laluan akan dibuka buat sementara pada 21 Januari.

Bagaimanapun, katanya bagi memastikan kerja-kerja itu siap sepenuhnya laluan di bulatan itu akan ditutup semula pada 30 Januari.

“Penutupan itu bagi kerja fasa kedua. Dalam tempoh itu, orang ramai masih boleh menggunakan Bulatan Bestari dengan mengikuti papan tanda arah lencongan,” kata Shahrin dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, MBSA turut menyediakan pelan penyuraian trafik untuk memastikan kelancaran kenderaan yang menggunakan laluan tersebut.

Katanya, pengguna dari Seksyen 7 yang melalui Persiaran Institusi, Seksyen 3 (melalui Persiaran Raja Muda), Seksyen 2 (melalui Persiaran Masjid) dan Seksyen 16 (melalui Persiaran Raja Muda) masih boleh menggunakan Bulatan Bestari dengan mengikuti lencongan ditetapkan.

“MBSA meminta pengguna berhati-hati dan mematuhi had pemanduan yang ditetapkan demi keselamatan ketika melalui laluan itu,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Kelemahan kontraktor jadi punca projek naik taraf bulatan Bestari lewat siap

SHAH ALAM, 6 JAN: Kelemahan pengurusan kontraktor antara punca projek menaik taraf jalan di sekitar Bulatan Bestari, Seksyen 2 di sini gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kata Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik.

Mohd Najwan Halimi berkata, akibat kelewatan projek itu, kawasan Seksyen 2,3 dan 7 hingga ke 16 mengalami kesesakan terutama waktu puncak.

“Saya sendiri turut menggunakan laluan sekitar bulatan ini setiap hari dan amat terkesan dengan pelbagai kesulitan yang timbul akibat daripada kelewatan projek terbabit.

“Ini termasuk kelemahan dari aspek keselamatan di pihak kontraktor sehingga mengakibatkan beberapa insiden kemalangan membabitkan orang awam yang berlaku beberapa minggu lalu,” katanya dalam status dimuat naik di Facebook, hari ini

Terdahulu, beliau bersama Datuk Bandar, Dato’ Haris Kasim dan Timbalan Datuk Bandar, Mohd Rashid Ruslan serta pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam turun meninjau ke kawasan sekitar bulatan berkenaan.

Katanya, tindakan sewajarnya sudah diambil pihak berkuasa tempatan itu terhadap kontraktor dan berharap projek terbabit dapat disiapkan dengan segera.

“Diharapkan kelewatan penyampaian membabitkan projek seumpama ini di bandaraya Shah Alam tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

SelangorKini sebelum ini melaporkan, sebahagian laluan Bulatan Bestari ditutup sementara untuk memberi laluan kerja penyelenggaraan yang sepatutnya siap kelmarin.

Bagaimanapun, penutupan sebahagian jalan itu mendapat rungutan orang awam kerana didakwa terlalu lama dan mengundang pelbagai masalah termasuk kesesakan dan kemalangan.