Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Syarikat telekomunikasi disaran sokong inisiatif kad SIM, tawar pakej murah

SHAH ALAM, 20 FEB: Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) berharap syarikat telekomunikasi menyokong inisiatif kad SIM Selangor dengan menawarkan pakej berpatutan.

Presidennya Datuk Dr Jacob George berkata penyedia perkhidmatan itu tidak boleh hanya mementingkan keuntungan, sebaliknya perlu menyeimbangkan tanggungjawab membantu pihak memerlukan.

“Syarikat telekomunikasi wajar bersama Kerajaan Negeri menyediakan internet terutama kepada penduduk luar bandar.

“Penularan Covid-19 menyebabkan hampir semua perkara termasuk pembelajaran perlu dibuat secara maya, jadi kita kena bantu luaskan jaringan komunikasi,” katanya kepada SelangorKini.

Mulai Mac, sebanyak 40,000 kad SIM akan diagih melalui program Rakan Digital yang dihad untuk pembelajaran dan perniagaan.

Kerajaan Negeri dalam proses perbicangan dengan syarikat telekomunikasi mengenai pakej internet sebelum proses agihan dilakukan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Inisiatif kad SIM Selangor jadi contoh kepada negeri lain

SHAH ALAM, 17 FEB: Pemberian sebanyak 40,000 kad SIM Selangor menjadi projek contoh kepada negeri lain cara menyediakan rangkaian internet kepada golongan kurang berkemampuan.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) berkata Kerajaan Negeri perlu melakukan kajian teliti untuk memastikan golongan itu berhak menerima manfaat tersebut.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) Datuk Dr Jacob George

“Cassa juga mencadangkan penubuhan jawatankuasa audit melibatkan agensi Kerajaan Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor untuk menilai kejayaan program ini.

“Sekiranya semua saranan ini dituruti, Cassa yakin program kad SIM akan menjadi contoh kejayaan kepada semua negeri untuk membantu rakyat terutama di pedalaman,” kata Datuk Dr Jacob George kepada SelangorKini hari ini.

Pada 24 Januari, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 40,000 kad SIM Selangor akan diagihkan kepada masyarakat luar bandar pada Mac depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya dalam proses perbicangan dengan syarikat telekomunikasi mengenai pakej internet sebelum proses agihan dilakukan.

Bantuan melalui program Rakan Digital itu dihadkan untuk pembelajaran dan perniagaan sahaja.