Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Cikgu Seman kongsi pengalaman didik Sultan Muhammad V

SHAH ALAM, 10 APR: Seorang guru berkongsi kisahnya mendidik Sultan Muhammad V ketika di bangku sekolah sempena istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong, di Balairung Seri, Istana Negara, pada 24 April ini.

Beliau adalah Seman@Kamarulzaman Hassan, iaitu bekas guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail I, Kota Bharu, yang menceritakan Sultan Muhammad V tidak diberikan layanan istimewa demi untuk mendidik baginda.

Seman, 72, berkata, beliau pernah menegah pengawal keselamatan yang cuba membantu baginda untuk mengangkat meja dan kerusi.

“Saya menegah pengawal itu kerana ia satu bentuk didikan kepada baginda. Alhamdulillah, baginda dapat menuruti arahan yang saya keluarkan,” katanya lapor BERNAMA ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Lembah Sireh, Kota Bharu.

agongSultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan, pada 12 Disember 2016.

Beliau juga mendedahkan, bonda Sultan Muhammad V, Tengku Anis, membawa rotan ketika berjumpa dengan guru besar ketika pertama kali menghantar anakandanya itu ke sekolah.

Seman berkata, Tengku Anis berpesan kepada guru besar untuk merotan anakandanya jika melanggar arahan pihak sekolah.

“Saya juga sering menyelitkan nasihat dalam bentuk agama ketika mendidik baginda dan rakannya kerana anggap mereka sama seperti anak sendiri,” katanya yang mengajar selama sembilan tahun di SK Sultan Ismail I, pada 1976 hingga 1985.

Seman yang kini lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar berkata, baginda masih mengingatinya walaupun sudah lama tidak bersua muka dan ia terjadi ketika banjir, pada 2014.

“Ketika itu, kebetulan baginda sedang meninjau keadaan banjir sekitar Kota Bharu dan terserempak dengan anak saya yang bekerja sebagai anggota bomba.

“Baginda bertanyakan khabar saya. Pada sebelah malamnya, sebuah pacuan empat roda datang ke rumah dan menyerahkan bantuan makanan yang dikirimkan baginda,” katanya.

-NFN-