Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand catat jangkitan tempatan pertama selepas sebulan

BANGKOK, 17 OKT: Thailand mencatatkan kes jangkitan tempatan pertama Covid-19 selepas sebulan yang membabitkan sepasang suami isteri warga Myanmar yang menetap di Mae Sot.

Kedua-dua kes adalah antara 10 jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di Thailand dalam tempoh 24 jam.

Pusat Pentadbiran bagi Situasi Covid-19 (CCSA) berkata pasangan itu, yang terdiri daripada seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun dan isterinya, 53, tinggal di Mae Sot dalam wilayah Tak.

“Pasangan itu tidak menunjukkan gejala Covid-19. Mereka tidak pernah meninggalkan Mae Sot atau melakukan perjalanan ke Myanmar baru-baru ini.

“Mereka dikesan dijangkiti virus itu semasa pengesanan kontak aktif di Mae Sot selepas kes Covid-19 melonjak di Myanmar,” menurut kenyataan CCSA hari ini.

Setakat ini, Thailand telah merekodkan sejumlah 3,679 kes Covid-19 dengan 59 kematian.

Sepanjang tempoh 24 jam lepas, selain dua jangkitan tempatan itu, lapan adalah kes import membabitkan tujuh lelaki warga Thailand dan seorang warga asing yang kembali dari luar negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

11 kontak rapat pesakit Malaysia bebas Covid-19

BANGKOK, 20 OGOS: Sebelas individu yang mempunyai kontak rapat dengan seorang lelaki Malaysia yang diuji positif Covid-19 selepas pulang ke Kuala Lumpur dari Bangkok telah disahkan negatif virus itu.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Suwannachai Wattanayingcharoenchai berkata, pegawai kesihatan berjaya mengesan dan melakukan pemeriksaan terhadap kontak rapat lelaki berusia 46 tahun itu, iaitu 10 individu di Bangkok dan seorang di Chiang Mai (wanita Thailand berusia 36 tahun yang dibawa dari Bangkok ke Chiang Mai pada 17 Ogos)

“Sehingga kini, tidak ada bukti di mana dia dijangkiti virus itu.

“Jabatan Kawalan Penyakit akan bekerjasama dengan rakan sejawat di Malaysia bagi mendapatkan maklumat berhubung kes tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Lelaki itu tinggal di Bangkok dan kembali ke Malaysia pada 5 Ogos. Dia diuji negatif dalam ujian Covid-19 yang pertama dan positif dalam ujian kedua pada 15 Ogos.

Sehingga kini, Thailand merekodkan lebih 86 hari tanpa jangkitan tempatan.

Sementara itu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dalam satu kenyataan berkata seorang wanita Thailand berusia 37 tahun yang kembali dari India merupakan satu-satunya pesakit baharu Covid-19 di negara itu, sepanjang tempoh 24 jam.

Menurut CCSA, pesakit berkenaan berada dalam penerbangan yang sama dengan 18 kes sebelum ini yang disahkan positif sebaik tiba di negara itu pada 8 Ogos.

Setakat ini, Thailand merekodkan jumlah keseluruhan 3,378 kes dengan 58 kematian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Enam tentera Thai kembali dari AS positif Covid-19

BANGKOK, 24 JULAI: Thailand mencatat 10 kes baharu Covid-19, termasuk enam anggota tenteranya yang pulang dari menjalani latihan ketenteraan di Hawaii, Amerika Syarikat dalam tempoh 24 jam lepas,

Hari ini merupakan hari ke-60 tanpa jangkitan tempatan di Thailand dengan jumlah keseluruhan kes ialah 3,279.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata semua kes baharu melibatkan warga Thai yang sedang menjalani kuarantin wajib di kemudahan kerajaan selepas kembali dari luar negara.

Empat lagi kes adalah mereka yang kembali dari Sudan, Pakistan, Jerman dan Belanda.

“Sejumlah 342 mereka yang kembali dari luar negara dan dikuarantin 14 hari di kemudahan disediakan kerajaan didapati positif dalam saringan Covid-19 sejak 3 April,” kata beliau dalam taklimat harian Covid-19 hari ini.

Setakat ini, sejumlah 3,279 kes Covid-19 dengan 58 kematian dilaporkan di Thailand.

Sejumlah 3,107 pesakit sudah pulih dan pulang ke rumah sementara 114 masih lagi berada di wad.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand ketatkan peraturan kemasukan warga asing

BANGKOK, 15 JULAI: Thailand akan mengetatkan lagi peraturan bagi warga asing yang ingin memasuki negara itu, selepas dua kes import jangkitan Covid-19 yang dikesan membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan kemunculan gelombang baru jangkitan.

Kebimbangan mulai terasa selepas seorang petugas tentera Mesir berumur 45 tahun dan seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun yang merupakan anggota keluarga diplomat Sudan, disahkan positif Covid-19 minggu lepas.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Keadaan Covid-19 Thailand (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata semua diplomat dan anggota keluarga mereka yang sebelum ini dibenarkan menjalani tempoh kuarantin kendiri selama 14 hari di kediaman masing-masing, kini dikehendaki menjalani tempoh kuarantin di kemudahan yang disediakan kerajaan atau kuarantin alternatif (bayaran sendiri di hotel).

“CCSA mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden itu. Banyak perkara yang kita terlepas pandang. Ini adalah pengajaran yang penting,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini semalam.

Sementara itu Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha yang juga ketua CCSA berkata insiden itu tidak seharusnya berlaku dan beliau memohon maaf kepada orang ramai.

“Saya mohon maaf kepada orang ramai. Perkara ini tidak seharusnya berlaku, siasatan menyeluruh akan dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet di sini semalam.

Kelmarin CCSA berkata seorang daripada 31 petugas tentera yang dalam penerbangan pulang dari Chengdu China yang singgah di wilayah Rayong pada 8 Julai, disahkan positif Covid-19.

Mereka dikatakan telah dibenarkan meninggalkan kawasan kemudahan kuarantin dan berkeliaran sekitar pusat beli-belah di kawasan itu, sehingga mengakibatkan kini ratusan penduduk tempatan yang berada di kawasan berkenaan di Rayong dikehendaki menjalani kuarantin di rumah.

Selain itu hotel di Rayong tempat penginapan para petugas itu juga ditutup selama dua minggu, dan sekurang-kurangnya 10 sekolah di wilayah Rayong ditutup mulai semalam sehingga 17 Julai.

Sementara itu Thailand melaporkan tujuh kes baharu Covid-19, semuanya melibatkan warga Thailand yang baru pulang dari luar negara, dengan sifar kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kini menjangkau 3,227 kes dengan 58 kematian.

Enam daripada tujuh kes itu melibatkan pelajar lelaki Thailand yang baru pulang dari Mesir, dan satu melibatkan seorang wanita yang baru pulang dari Amerika Syarikat.

Semalam genap 50 hari berturut-turut menyaksikan tiada penularan jangkitan tempatan di Thailand.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand cadang benar masuk pelawat asing mulai 1 Julai

BANGKOK, 25 JUN: Thailand bercadang untuk membuka semula sempadan negaranya kepada pelawat asing termasuk pelabur, eksekutif perniagaan dan pelancong perubatan bermula 1 Julai, selepas sebulan tanpa adanya sebarang jangkitan Covid-19 tempatan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweeslip Wissanuyothin berkata, warga asing yang akan dibenarkan untuk memasuki negara itu dengan menjalani kuarantin 14 hari secara wajib itu, termasuklah eksekutif perniagaaan, pelabur, profesional, pekerja mahir, penduduk tetap dan warga asing yang mempunyai keluarga tinggal di Thailand, serta guru dan pelajar antarabangsa.

Bagaimanapun beliau berkata, peniaga jangka pendek dan tetamu kerajaan serta pelancong di bawah rancangan ‘travel bubbles’, adalah antara mereka yang dibenarkan untuk masuk ke negara itu tanpa perlu menjalani kuarantin 14 hari, namun pihak berkuasa sedang mencari cara lain untuk memantau mereka.

“Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha akan mempengerusikan mesyuarat CCSA pada Isnin untuk memuktamadkan keputusan itu,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini semalam.

Setakat ini Thaweeslip berkata, terdapat 700 eksekutif perniagaan dan pelabur, telah mendaftar untuk memasuki negara itu; pekerja mahir (15,400); penduduk tetap dan warga asing yang keluarga di Thailand (2,000); serta guru dan pelajar asing (2,000).

Beliau berkata, kira-kira 30,000 pelancong perubatan dan kesihatan telah berdaftar untuk masuk ke negara itu di wilayah Bangkok, Phuket, Chiang Mai dan Hatyai.

Dengan situasi Covid-19 di Thailand terus lebih baik Thaweeslip berkata, semua venue perniagaan termasuk pust hiburan – pub, bar dan karaoke, akan memulakan operasi mereka bermula 1 Julai.

Di bawah fasa terakhir pelonggaran, semua sekolah, kafe internet dan kedai permainan, juga akan dibenarkan untuk dibuka dengan peraturan kesihatan yang ketat.

Thailand semalam melaporkan satu kes baru jangkitan Covid-19 dan tiada kematian untuk tempoh 24 jam, menjadikan 30 hari berturut-turut tanpa sebarang jangkitan tempatan.

Kes positif semalam melibatkan warga Thailand berusia 31 tahun yang pulang daripada Filipina pada 17 Jun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Dua rakyat Malaysia antara 53 kes baharu Covid-19 di Thailand

BANGKOK, 26 APRIL: Thailand mengesahkan 53 kes baharu Covid-19 termasuk 42 di Pusat Tahanan Imigresen Sadao di wilayah selatan Songkhla dan satu lagi kematian, menjadikan jumlah kes sebanyak 2,907 dan 51 kematian.

Daripada 42 kes itu, dua adalah rakyat Malaysia, 34 dari Myanmar, Vietnam (tiga) serta masing-masing satu dari Yemen, Kemboja dan India. Kesemua yang ditahan atas kesalahan berkaitan imigresen.

Pemangku Ketua Polis Imigresen Sadao Kol Jen Mana Naktung berkata pada masa ini terdapat 115 pendatang termasuk kanak-kanak di pusat tahanan itu.

“Kami menjalankan pencarian kes aktif di pusat tahanan ini. Kesemua tahanan menjalani ujian Covid-19. Pada masa ini, 42 kes diuji positif.

“Kami masih menunggu keputusan ujian tahanan yang lain,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi dari sini semalam.

Pusat pemeriksaan Imigresen Sadao diarahkan tutup dari 22 hingga 29 April selepas sekurang-kurangnya empat anggotnya diuji positif Covid-19.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CSSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata pasukan perubatan telah memberikan rawatan kepada kesemua 42 pesakit di Pusat Tahanan Imigresen Sadao.

Sementara itu, beliau berkata seorang lelaki warga Thailand berusia 48 tahun yang dijangkiti virus itu bersama empat lagi ahli keluarganya adalah kematian terbaharu yang dilaporkan.

Sehingga kini, beliau berkata, sebanyak 2,907 kes Covid-19 dilaporkan dengan 2,547 kes telah pulih dan dibenar keluarhospital manakala 309 lagi masih berada di hospital. Kematian akibat Covid-19 kini mencecah 51 orang.

“Pihak berkuasa akan terus menjalankan pencarian kes aktif di kawasan sasaran termasuk komuniti pendatang dan pusat tahanan imigresen,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini semalam.

Thaweesilp berkata Thailand menambah lima negara jiran – Indonesia, Malaysia, Laos, Kemboja, Myanmar – dalam senarai Zon Jangkitan Penyakit pada 23 April untuk menguruskan secara berkesan pergerakan orang ramai dan membawa mereka ke kemudahan kuarantin ketika wabak Covid-19 ini.

Enam lagi negara dan wilayah dalam senarai itu ialah Korea Selatan, China, Macau, Hong Kong, Itali dan Iran.

– BERNAMA