Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada salahnya Chin Tong bantu Karmaine – Guan Eng

GEORGE TOWN, 11 NOV: Tiada salahnya bagi Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong membantu calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai Karmaine Sardini untuk berkomunikasi dengan komuniti Cina dalam kawasan pilihan raya itu, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Kami semua berada dalam gabungan PAKATAN dan kami mahu membantu satu sama lain, jadi kami menawarkan bantuan itu, untuk menunjukkan bahawa kami (dianggotai) berbilang kaum. Saya tidak nampak di mana salahnya, kami saling membantu sebagai sebahagian daripada sebuah pasukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Teknikal Tahunan CATA ke-40 di sini hari ini.

Beliau menegaskan Chin Tong tidak diberikan jawatan rasmi, sebaliknya hanya untuk menyokong Karmaine.

Guan Eng berkata demikian ketika diminta mengulas tentang dakwaan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bahawa pelantikan Chin Tong mencerminkan ketidakupayaan calon PAKATAN untuk menjaga kebajikan masyarakat daripada pelbagai kaum.

Menteri Kewangan berkata memandangkan Chin Tong juga dari Johor, sememangnya bertepatan bagi beliau menawarkan diri untuk membantu Karmaine semasa kempen pilihan raya kecil itu.

“Kami berada dalam gabungan yang sama, jadi kami mahu membantu satu sama lain. Jika ada sesiapa yang menawar diri untuk membantu dalam kawasan pilihan raya saya, saya juga sedia menerimanya,” katanya, dan menambah, beliau akan turut membantu jika diperlukan.

PRK Tanjung Piai pada 16 November ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine (PAKATAN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Barisan Nasional), Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah) dan dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen Dr Ang Chuan Lock, serta ahli perniagaan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

-BERNAMA