Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

280 pelajar Malaysia dipindah akibat darurat jerebu di Riau

PUTRAJAYA, 24 SEPT: Seramai 280 pelajar Malaysia di Pekanbaru dan Jambi, Indonesia akan dipindahkan ekoran pengumuman darurat di Riau akibat jerebu, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Daripada jumlah tersebut, 160 pelajar akan dibawa pulang ke Malaysia manakala 120 akan dipindahkan ke Dewan Malaysia di Jakarta, Indonesia, kata NADMA dalam kenyataan hari ini.

NADMA, Wisma Putra dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi berkaitan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan operasi pemindahan dan membawa pulang 160 pelajar Malaysia di Pekanbaru dan Jambi, kata agensi itu.

Menurut Konsulat Malaysia di Pekanbaru dan Education Malaysia Indonesia, 280 pelajar yang perlu dipindahkan itu terdiri daripada 183 orang di Pekanbaru dan 97 di Jambi.

Menurut NADMA, Gabenor Riau, Syamsuar, telah mengisytiharkan darurat bermula 23 September hingga 31 Oktober dan akan dilanjutkan jika keadaan pencemaran udara tidak berubah.

Sehingga semalam, jarak penampakan di kawasan tersebut adalah 500 meter dengan bacaan Indeks Standard Pencemaran (PSI) 600.

Mengenai situasi jerebu di Malaysia, NADMA berkata secara amnya ia bertambah baik ekoran fasa peralihan monsun yang bermula hari ini dan akan berterusan sehingga awal November 2019.

“Fasa peralihan monsun ini bermakna angin barat daya yang sebelum ini bertiup dari negara jiran ke arah negara ini akan beransur-ansur berubah arah dan dengan itu keadaan jerebu akan beransur pulih,” katanya.

Setakat 8 pagi ini, menurut NADMA, 24 lokasi mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan 44 lokasi IPU tahap sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isytihar darurat jika IPU capai 500 – NADMA

PUTRAJAYA, 17 SEPT: Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dibuat di Sarawak pada atau selepas 19 September tertakluk kepada keadaan atmosfera, cuaca dan awan, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

NADMA yang memantau keadaan jerebu di Sarawak dan negeri-negeri lain juga dalam kenyataan hari ini berkata, Darurat Bencana Jerebu hanya dibuat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500.

Menurut Laporan Jabatan Alam Sekitar pada 8 pagi tadi, terdapat 29 kawasan mencatatkan kualiti udara tidak sihat, sangat tidak sihat (tiga) dan bahaya (satu), kata NADMA.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bahaya adalah di Sri Aman, Sarawak 359, manakala tiga stesen yang mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat adalah Port Dickson, Negeri Sembilan (207), Kuching, Sarawak (216) dan Johan Setia, Klang, Selangor (232).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Menurut NADMA, sejumlah 531 sekolah ditutup hari ini melibatkan 363,991 pelajar, iaitu di Selangor 145 sekolah, Sarawak (298), Negeri Sembilan (63) dan Putrajaya (25).

Menurut NADMA, darurat bencana jerebu pernah dilaksanakan di Kuching, Sarawak pada 19 September 1997 apabila bacaan IPU 650; pada 1 Ogos 2005 di Kuala Selangor apabila IPU 531 direkodkan di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang, Selangor; dan 23 Jun 2013 di daerah Muar dan Ledang, Johor apabila bacaan IPU melebihi 500.

NADMA turut menasihatkan rakyat khususnya di negeri dan kawasan yang bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat dan tidak sihat untuk sentiasa berada di kawasan tertutup dan mengurangkan aktiviti fizikal dan luar.

“Jika perlu berada di kawasan terbuka, topeng muka hendaklah sentiasa dipakai demi menjaga kesihatan mereka, minum air yang mencukupi dan tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu bertambah buruk,” katanya.

Khusus bagi kawasan Sri Aman yang IPU melebihi 300, pemandu diingatkan untuk memasang lampu kenderaan ketika memandu, katanya.

KUALA LUMPUR: Satu kawasan di Sarawak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya apabila Sri Aman merekodkan bacaan 367 setakat 9 pagi ini.

– BERNAMA