Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dijangka terus meningkat berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Ringgit dijangka terus meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan didorong jaminan kerajaan untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi terpilih dibuka semula secara berperingkat, kata penganalisis.

Penganalisis Pasaran, FXTM, Han Tan berkata ringgit juga dijangka menguji paras 4.25 berbanding dolar AS sekiranya mata wang negara maju itu terus merekodkan prestasi sederhana atau wujudnya minat risiko yang lebih ketara dalam pasaran global.

“Bagaimanapun, penghindaran risiko yang meningkat secara mendadak boleh menyebabkan ringgit kembali semula di atas paras 4.35 berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pengeluaran perindustrian Malaysia bagi Februari 2020 diunjur mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun pada 0.9 peratus, namun jika data itu menunjukkan penguncupan, ia dijangka tidak menjejaskan sentimen terhadap aset Malaysia.

Sentimen risiko juga boleh dipengaruhi oleh angka laporan daripada ekonomi utama minggu depan, memandangkan pelabur turut mempertimbangkan tanda tidaktentuan ekonomi selain langkah sokongan diperkenalkan pihak penggubal dasar berikutan wabak Covid-19, katanya.

“Minat pelabur terhadap risiko akan diuji dengan data akan datang seperti laporan jualan runcit AS bagi Mac yang diunjurkan susut ketara selain angka pertumbuhan ekonomi China untuk suku pertama tahun ini yang mungkin menyaksikan penguncupan,” katanya.

Han berkata tandackemerosotan yang cepat di ekonomi terbesar dunia itu boleh meningkatkan penghindaran risiko dalam pasaran, khususnya jika langkah rangsangan ekonomi semasa susulan Covid-19 dianggap tidak mencukupi.

Sementara itu, peniaga berkata semua tumpuan kini terarah kepada hasil mesyuarat menteri-menteri tenaga G20 yang berlangsung secara maya pada Jumaat selepas langkah OPEC dan sekutunya, diketuai Rusia, untuk mengurangkan pengeluaran minyak bagi meningkatkan harga tidak dapat diteruskan ekoran Mexico menolak cadangan tersebut.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.3050/3150 pada Jumaat daripada 4.3520/3620 ketika Jumaat minggu lepas.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar perubatan mengenai wabak Covid-19, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh dua minggu lagi, iaitu dari 15 April hingga 28 April, 2020.

Beliau juga berkata kerajaan bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat sepanjang tempoh PKP.

Sebuah jawatankuasa khas kabinet yang dipengerusikan bersama menteri kanan merangkap menteri perdagangan antarabangsa dan industri serta menteri kanan merangkap menteri pertahanan akan diwujudkan untuk meneliti senarai sektor ekonomi yang terpilih tersebut, katanya menerusi satu perutusan khas.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, unit tempatan diniagakan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0417/0498 daripada 3.0319/0399 pada minggu sebelumnya, serta naik berbanding yen kepada 3.9696/9799 daripada 4.0118/0221.

Mata wang tempatan rendah berbanding euro kepada 4.7114/7236 daripada 4.7049/7175 pada Jumaat minggu lepas dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.3709/3851 daripada 5.3495/4631.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dijangka stabil berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Ringgit dijangka diniagakan stabil berbanding dolar AS pada minggu depan dalam jajaran antara 4.25 peratus dan 4.45 peratus, menurut Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan.

Beliau berkata pemacu utama bagi ringgit termasuklah prestasi dolar AS, reaksi pasaran minyak ke atas mesyuarat kumpulan pengeluar OPEC+ dan sentimen risiko lebih luas.

OPEC+ terdiri daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan 11 negara bukan anggota OPEC.

“Mesyuarat OPEC+ memberi tumpuan kepada pasaran minyak, di tengah-tengah harapan penurunan bekalan yang selaras akan dilaksanakan untuk membantu kestabilan harga pasaran.

“Pengeluar minyak utama perlu mengekang asas yang semakin merosot untuk meningkatkan kemampanan harga. Harga minyak lebih kukuh membawa lebih banyak sokongan kepada prestasi ringgit dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Han Tan berkata Covid-19 masih terus membadai pasaran global.

Walaupun China bersedia menghapuskan langkah kuarantin di Wuhan pada Rabu, ia dijangka memberikan sedikit kelegaan kepada pelabur global memandangkan pandemik itu terus menjejaskan ekonomi utama.

“Dengan kebimbangan di peringkat global mengenai kemelesetan yang kini diperakui oleh data ekonomi yang masuk, pengelakan risiko dijangka kekal dalam mod dominan di pasaran global, yang mengekalkan tekanan menurun bagi mata wang Asia,” kata beliau.

Sementara itu, Han Tan berkata pasaran mata wang dijangka menyaksikan turun naik berkurangan pada minggu depan berikutan Rizab Persekutuan AS membenarkan bank-bank pusat asing menukar US Treasury kepada dolar AS untuk sementara waktu, mulai Isnin.

Bagi minggu baru berakhir, prestasi ringgit berbanding dolar AS  dalam jajaran 4.30-4.38, berikutan pasaran mata wang yang terus memberi tindak balas ke atas kelemahan ekonomi akibat Covid-19.

Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS kepada 4.3520/3620 pada Jumaat daripada 4.3280/3350 pada minggu sebelum ini.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, prestasi mata wang tempatan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0319/0399 daripada 3.0175/0234 pada minggu sebelum ini dan turun kepada 4.0118/0221 daripada 3.9754/9829 berbanding yen Jepun.

Unit tempatan bagaimanapun meningkat berbanding euro kepada 4.7049/7175 daripada 4.7608/7702, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.3495/4631 daripada 5.2841/2943 sebelum ini.

-BERNAMA