Categories
SELANGOR

Hampir 500,000 syarikat berstatus aktif bakal dibanci

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 24 APRIL: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenal pasti sejumlah 497,733 syarikat perniagaan berstatus aktif melalui pengemaskinian hampir 800,000 senarai pertubuhan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kesemua syarikat berkenaan akan dibanci pada tahun ini meliputi aktiviti kenderaan bermotor, perdagangan borong dan runcit.

Katanya, setiap entiti itu akan melaporkan maklumat terperinci syarikat bagi tahun rujukan 2017 dan 2018.

“Langkah ini penting kerana ia berupaya mengenal pasti indikator baharu dan punca pertumbuhan ekonomi utama bagi subsektor Perdagangan Borong dan Runcit (WRC),

“Data agregat daripada pelaporan ini akan menjana statistik perdagangan borong dan runcit yang merangkumi liputan menyeluruh serta maklumat berkualiti lebih terperinci sehingga peringkat daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Ekonomi Selangor dan Majlis ‘Kick Off’ Banci Pemerdangangan Selangor & Runcit 2019 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, DOSM bakal memperkenalkan e-Census berkaitan kaedah pengumpulan data bagi WRC 2019, selain menggunakan pendekatan konvensional lain iaitu temuduga, pos dan e-mel.

Katanya, borang soal selidik WRC 2019 juga sudah dikemaskini dengan memasukkan ‘variable’ baharu bagi memenuhi keperluan ‘stakeholder’ seperti maklumat pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

“Statistik itu bakal digunakan sebagai landasan dan rujukan kepada penyusunan di peringkat jabatan bagi mengeluarkan statistik suku tahun dan tahunan.

“Kita juga mahu melihat prestasi semasa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pasca GST”, katanya.

Terdahulu, DOSM menerima hampir 1,000 kunjungan daripada pelbagai agensi dalam dan luar negara terutama daripada negara sedang membangun seperti Vietnam, Cambodia dan Azerbaijan.

Untuk maklumat lanjut boleh layari www.dosm.gov.my.

Categories
NASIONAL

DOSM seru semua pihak bekal maklumat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 NOV: Semua pihak diseru bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (Department of Statistics Malaysia-DOSM) bagi membekalkan maklumat dan data diperlukan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, survei dijalankan DOSM penting bagi membantu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membentuk dasar seterusnya melaksanakan pelan tindakan sewajarnya.

Katanya, hasil survei turut membantu agensi kerajaan, swasta, ahli perniagaan mahupun persatuan penduduk membuat perancangan dengan lebih baik.

“Saya juga mohon masyarakat memberi kerjasama sepenuhnya kepada DOSM melaksanakan survei rutin jabatan.

“Aktiviti Persediaan Bancian Penduduk dan Perumahan ini masih berterusan, bermula 2017 hingga 2019, bagi memperolehi data penduduk setempat seperti nama, bilangan ahli isi rumah, pekerjaan serta julat pendapatan isi rumah,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Sesi Literasi Statistik Bersama Komuniti DOSM Selangor 2017, di sini, hari ini.

Sesi berkenaan merupakan susulan daripada sambutan Hari Statistik Negara (HSN) bertemakan ‘Data Berkualiti. Kehidupan Sejahtera’, pada 20 Oktober lalu.

Mohd Uzir berkata, HSN disambut bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan statistik sebagai input atau ilmu pengetahuan dalam membentuk dan merumuskan dasar bagi kesejahteraan hidup.

“Semoga rakyat dapat penerangan mengenai tanggungjawab dan kepentingan mereka menyalurkan maklumat kepada DOSM secara berterusan,” katanya.