Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam patahkan cubaan seludup rokok putih, kretek RM2.6 juta

PELABUHAN KLANG, 23 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II Selangor mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 23 juta batang rokok putih dan kretek bernilai RM2.6 juta di Pelabuhan Utara di sini, semalam.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Zon Tengah, Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata nilai cukai rampasan rokok yang dimuatkan dalam dua kontena itu dianggarkan mencecah RM15.4 juta.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket penyeludupan itu dipercayai membawa masuk rokok berkenaan dari Vietnam dengan mengikrarkan kontena tersebut sebagai “consolidated cargo” bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun turut ditahan semasa pemeriksaan kontena terbabit yang dijalankan kira-kira pukul 5.30 petang, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

“Kita dalam proses untuk memohon reman terhadap lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut. Pada sama sama, kita sedang menjejaki seorang wanita tempatan berumur 38 tahun kerana dipercayai terlibat dalam penyediaan dokumen kontena itu.

Pemilik kontena terbabit juga sedang dikenal pasti dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan sama ada ejen kastam turut terlibat dalam cubaan penyeludupan berkenaan,” katanya.

Abdul Wahabi berkata rampasan rokok tersebut diklasifikasikan sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga/ Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(e) Akta Eksais 1976.

– BERNAMA