Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada lagi lesen import baharu rokok mulai 1 Januari – Kastam

PUTRAJAYA, 30 DIS: Tiada lagi pengeluaran Lesen Import Rokok oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi pemohonan baharu mulai 1 Januari 2021, kata Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

Namun, beliau berkata pemegang lesen import rokok sedia ada masih boleh membuat pembaharuan lesen.

“Bagi tujuan memperketatkan pembaharuan Lesen Import Rokok, syarat tambahan pengimportan kuantiti minimum rokok yang telah ditetapkan dalam tempoh 12 bulan hendaklah dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya mulai 1 Januari 2021, semua aktiviti pemunggahan muatan rokok, produk tembakau, peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape serta cecair/gel tanpa nikotin yang digunakan dalam rokok elektronik hanya dibenarkan di lima pelabuhan.

Abdul Latif berkata pelabuhan terbabit ialah Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang, Selangor; Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor; Pelabuhan Sandakan, Sabah dan Pelabuhan Senari, Sarawak.

“Aktiviti pemunggahan hendaklah menggunakan kontena ISO dimuatkan secara kontena muatan penuh (FCL) sahaja dan aktiviti pecah pukal adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Abdul Latif berkata aktiviti transit untuk tujuan eksport melalui jalan darat adalah dibenarkan dengan syarat antaranya diimport melalui lima pelabuhan berkenaan, perjalanan dari pelabuhan pemunggahan yang telah ditetapkan terus ke destinasi terakhir di luar negara dan mematuhi peruntukan Akta Kastam 1967, Peraturan-Peraturan Kastam 2019 dan dasar jabatan yang sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata bermula 1 Januari ini juga aktiviti pemunggahan dan eksport semula rokok keluar negara, produk tembakau, peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape serta cecair/gel tanpa nikotin digunakan dalam rokok elektronik menggunakan bot-bot kecil termasuk bot kumpit adalah tidak dibenarkan.

Katanya pengenaan duti/cukai dengan kemudahan pulang balik ke atas produk terbabit bagi tujuan eksport semula keluar negara hanya dibenarkan di Zon Bebas (ZB) sahaja tertakluk kepada syarat-syarat yang sedang dikuatkuasakan oleh JKDM.

Katanya selaras dengan Seksyen 93, Akta Kastam 1967, pengeksportan semula ke luar negara hendaklah dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pembayaran duti/cukai, manakala tuntutan pulang balik boleh dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pengeksportan semula ke luar negara.

Abdul Latif berkata pengenaan cukai ke atas produk-produk itu di semua Pulau Bebas Cukai (PBC) iaitu Langkawi, Labuan, Tioman dan Pangkor dan Zon Bebas (Perniagaan Runcit) akan bermula 1 Januari 2021.

“Sehubungan itu kelayakan pengecualian duti kepada pelancong serta pelawat ke atas rokok dan produk tembakau tidak lagi terpakai mulai 1 Januari 2021,” katanya.

Zon Bebas (Perniagaan Runcit) yang terlibat di bawah Seksyen 6A, Akta Zon Bebas 1990 adalah kawasan Bebas Cukai Stulang Laut, Johor; Zon Perdagangan Bebas Rantau Panjang, Kelantan; kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor, Kelantan dan Zon Bebas Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Abdul Latif berkata baki rokok dan produk tembakau yang telah diimport ke dalam PBC dan Zon Bebas (Perniagaan Runcit) sebelum 1 Januari 2021 boleh disimpan, dimiliki, dijual dan dilupuskan di dalam PBC dan ZB (Perniagaan Runcit) yang sama.

Katanya baki rokok berlabel setem cukai merah (MDNP) dan produk tembakau yang masih belum dibayar duti atau cukai yang hendak dibawa keluar ke Kawasan Utama Kastam (KUK) perlulah dijelaskan terlebih dahulu bermula 1 Januari 2021.

Selain itu, katanya 1 April 2021 merupakan tarikh kuatkuasa pengenaan duti dan cukai ke atas rokok dan produk tembakau yang diimport dari luar negara atau yang dibeli dari Kedai Bebas Cukai oleh pelancong asing dan warganegara Malaysia melalui semua jenis mod pengangkutan apabila produk dibawa masuk ke KUK.

Pelaksanaan itu adalah selaras dengan pembentangan Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu melibatkan beberapa pengenalan dasar baharu berkaitan produk-produk terbabit berkuat kuasa 1 Januari 2021.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam bongkar stor simpan minuman keras seludup di Balakong

PUTRAJAYA, 2 DIS: Penahanan dua buah lori bermuatan minuman keras tidak bercukai oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 24 November lepas membawa kepada pembongkaran sindiket pengedaran minuman keras seludup yang menjadikan sebuah stor di Balakong, Selangor sebagai lokasi penyimpanan.

Dalam operasi bermula 3 petang itu, Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) JKDM dengan kerjasama Cawangan Narkotik JKDM telah menahan sebuah lori satu tan di kawasan Balakong kerana disyaki membawa minuman keras tidak berkastam

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata pemeriksaan terhadap lori berkenaan menemukan 1,920 botol minuman keras dianggarkan bernilai RM13,000 manakala duti serta cukai terlibat ialah RM14,000 yang membawa kepada penahanan pemandu dan kelindan lori untuk siasatan lanjut.

Kira-kira setengah jam kemudian, sebuah lagi lori satu tan ditahan berhampiran lokasi tersebut yang membawa kepada penemuan 3,528 botol minuman keras bernilai kira-kira RM8,000 dengan jumlah duti dan cukai terlibat sebanyak RM21,000, serta penahanan pemandu dan kelindan lori terlibat, katanya.

Hasil soal siasat, sebuah stor di kawasan itu diserbu pada 5 petang dan menemui 27,000 tin minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM79,000, dengan duti dan cukai terlibat dianggarkan bernilai RM346,000, katanya.

“Tiada tangkapan di stor ini. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik stor,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada hari sama juga, Abdul Latif berkata pihaknya menemukan 4,800 tin minuman keras yang dianggarkan bernilai RM10,000 dengan duti dan cukai terlibat berjumlah RM67,000, di bahagian belakang sebuah van yang ditinggalkan di kawasan Seri Kembangan pada 12 tengah hari.

Seorang lelaki yang mengaku sebagai pemilik van telah ditahan, katanya.

Abdul Latif berkata nilai kesemua minuman keras yang dirampas dalam operasi pada hari tersebut ialah RM110,000 manakala duti dan cukai terlibat berjumlah RM448,000.

“Tiga kenderaan dianggarkan RM150,000 telah disita dan kesemua lima lelaki yang ditahan telah dilepaskan dengan jaminan,” katanya menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Abdul Latif berkata pihaknya sedang memburu sindiket yang membawa masuk, mengeluarkan serta memasarkan rokok seludup dalam pek lima batang di negara ini dengan menyasarkan golongan remaja sebagai pelanggan.

Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket membungkus semula rokok dalam jumlah yang kecil bertujuan memudahkan mereka menjual kepada pelanggan, katanya.

“Kebiasaan dalam sekotak rokok ada 20 batang… mereka ini ‘pack’ semula dalam jumlah kecil untuk dijual dan setakat ini terdapat satu kes dikesan di Melaka namun jumlah rampasan tidak besar,” katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan kartel rokok seludup kini semakin agresif mengeluarkan serta memasarkan rokok dalam pek lima batang (Kiddie Pack) pada harga serendah bawah RM2 sekotak dengan menyasarkan golongan remaja dan B40.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kastam sita rokok putih seludup libatkan cukai RM4.3 juta

PUTRAJAYA, 7 OKT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 6.46 juta batang rokok putih pelbagai jenama bernilai lebih RM500,000 yang melibatkan cukai kira-kira RM 4.3 juta, di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada Khamis lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata rokok putih terbabit yang disyaki untuk pasaran tempatan, ditemukan hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang ditahan di pelabuhan itu.

“Siasatan awal mendapati kontena itu dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang, Selangor dan melalui dokumen-dokumen yang diperoleh, dagangan ini disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Timur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan oleh sindiket ialah dengan mengikrar dagangan sebagai 22 cartons of Message Box Cabinet dalam Bil Muatan, Notis Ketibaan dan Manifes Import (K4).

Kesemua rokok putih tidak berkastam itu dimuatkan di dalam 22 kotak kayu besar, katanya.

“Sebahagian daripada 22 kotak kayu turut diselitkan tong sampah plastik bagi tujuan memadatkan muatan di dalam kotak kayu dan pada masa yang sama untuk mengaburi pihak berkuasa agar tidak mengesyaki kotak kayu itu berisi rokok putih,” katanya.

Kes disiasat menurut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import, dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 kerana cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais, katanya.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata Johari yang menyeru orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88- 8855 atau pejabat kastam terdekat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam patahkan cubaan seludup rokok putih, kretek RM2.6 juta

PELABUHAN KLANG, 23 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II Selangor mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 23 juta batang rokok putih dan kretek bernilai RM2.6 juta di Pelabuhan Utara di sini, semalam.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Zon Tengah, Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata nilai cukai rampasan rokok yang dimuatkan dalam dua kontena itu dianggarkan mencecah RM15.4 juta.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket penyeludupan itu dipercayai membawa masuk rokok berkenaan dari Vietnam dengan mengikrarkan kontena tersebut sebagai “consolidated cargo” bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun turut ditahan semasa pemeriksaan kontena terbabit yang dijalankan kira-kira pukul 5.30 petang, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

“Kita dalam proses untuk memohon reman terhadap lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut. Pada sama sama, kita sedang menjejaki seorang wanita tempatan berumur 38 tahun kerana dipercayai terlibat dalam penyediaan dokumen kontena itu.

Pemilik kontena terbabit juga sedang dikenal pasti dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan sama ada ejen kastam turut terlibat dalam cubaan penyeludupan berkenaan,” katanya.

Abdul Wahabi berkata rampasan rokok tersebut diklasifikasikan sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga/ Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(e) Akta Eksais 1976.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam gagal cubaan seludup 456 juta batang rokok Januari-Jun tahun ini

PUTRAJAYA, 21 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 456.03 juta batang rokok bernilai RM37.33 juta dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sekali gus berjaya menutup ketirisan hasil membabitkan jumlah duti dan cukai sebanyak RM337.5 juta.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata sebanyak 804 kes, melibatkan rampasan rokok kretek dan rokok putih, ditumpaskan JKDM dalam tempoh enam bulan pertama itu, termasuk kira-kira 40 kes ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Modus operandi penyeludupan menggunakan kontena melalui pelabuhan utama dengan memalsukan dokumen dan pengikraran untuk mengelirukan pegawai penguat kuasa,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kenderaan Orang Kena Tuduh (OKT) jenis Maxus V80 2.5 liter Window Van di sini hari ini.

Menurut Abdul Latif, bekalan rokok tidak sah semasa PKP berkurangan di pasaran menyebabkan harga naik mencecah RM10 sekotak.

Dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lepas, katanya JKDM mematahkan cubaan menyeludup 236.2 juta batang rokok bernilai RM19.52 juta, membabitkan jumlah duti dan cukai sebanyak RM174.78 juta.

Mengenai penyeludupan dadah pula, Abdul Latif berkata JKDM menumpaskan 115 kes di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Abdul Latif berkata JKDM akan memohon penambahan alatan pengimbas daripada Kementerian Kewangan untuk diletakkan di semua pintu masuk pelabuhan dan lapangan terbang strategik bagi memperkukuhkan penguatkuasaan.

Menurutnya, JKDM akan menerima sebanyak 20 mesin pengimbas kargo bernilai RM235 juta yang telah diluluskan kerajaan pada akhir tahun ini untuk ditempatkan di pintu masuk pelabuhan dan lapangan terbang strategik.

“Mesin pengimbas canggih serta kaedah andaian yang tinggi harus diguna pakai pegawai kerana ada pelbagai modus operandi penyeludupan termasuk menggunakan badan, alatan elektronik, serta memasukkan serbuk dadah dalam peket minuman ‘3 dalam 1’ untuk mengelirukan penguat kuasa,” katanya.

Khidmat anjing pengesan juga penting dalam menumpaskan aktiviti penyeludupan dan kira-kira 40 ekor anjing pengesan milik JKDM kini ditempatkan di stesen sempadan seperti di Padang Besar, Bukit Kayu Hitam, pintu sempadan Johor Bahru dan KLIA, katanya.

Mengenai kenderaan OKT itu, Abdul Latif berkata 12 unit kenderaan berkenaan akan digunakan bahagian penguatkuasaan JKDM di peringkat ibu pejabat, zon dan negeri yang boleh memuatkan sehingga 13 orang, melibatkan maksimum 10 OKT dan tiga pegawai termasuk pemandu.

Beliau berkata penyediaan kenderaan itu, yang dilengkapi antaranya dengan jeriji besi dan kamera pegawasan, adalah bagi memastikan keselamatan kepada OKT, anggota pengiring serta pengendali kenderaan semasa pergerakan OKT.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam patahkan cubaan seludup barangan terlarang tanpa permit

PETALING JAYA, 21 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup masuk basikal elektrik (e-bike) yang dimuatkan dalam sebuah kontena berukuran 40 kaki di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata, pemeriksaan Bahagian Penguatkuasaan JKDM ke atas kontena yang diisytiharkan sebagai kenderaan elektrik import (K4) menemukan 75 unit basikal elektrik dianggarkan bernilai RM112,500 dengan anggaran cukai bernilai RM45,000.

“Dagangan basikal elektrik diklasifikasikan sebagai dagangan terlarang bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan tertakluk kepada permit daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JKDM di Kelana Jaya dekat sini.

Beliau berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pengimport dan pegawai kastam yang terlibat dalam cubaan menyeludup basikal elektrik tanpa permit itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(A) Akta Kastam 1967.

Dalam kes berasingan, JKDM mematahkan cubaan menyeludup minuman keras dalam sebuah kontena di pelabuhan berkenaan pada hari yang sama.

Katanya hasil pemeriksaan kontena berkenaan, yang diisytiharkan memuatkan pelbagai barangan campur termasuk pelitup muka pakai buang dan beg plastik, kastam menemukan sejumlah 16,200 liter minuman keras yang dipercayai tidak bercukai, bernilai RM76,500 dengan jumlah duti/cukai RM437,580.

Menurutnya, ejen penghantaran yang terlibat telah dikenal pasti dan tindakan sedang diambil bagi mengesan ejen berkenaan untuk membantu siasatan kes bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

Sementara itu, lapan warga asing termasuk tiga wanita berumur antara 21 hingga 45 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras.

Johari berkata pemeriksaan JKDM ke atas beberapa premis serta kedai runcit sekitar Selangor dalam Op Benteng 2020 menemukan pelbagai barangan larangan termasuk minuman keras dan rokok melibatkan sembilan kes rampasan.

Sejumlah 157,760 batang rokok dan 109.56 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM52,096.04 dengan anggaran duti RM113,553.19 serta dua kenderaan terdiri daripada Honda City dan Perodua Alza dianggarkan bernilai RM38,000 disita dalam operasi berkenaan.

“Kesemua mereka direman selama 14 hari,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam terima mesin pengimbas, bot pengejar sebelum Disember

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Sebanyak 30 mesin pengimbas serta 30 bot pengejar baharu akan diterima pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum Disember tahun ini, menurut Ketua Pengarah Kastam, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir.

Beliau berkata kemudahan itu akan digunakan bagi menambah baik penugasan serta keperluan JKDM di pintu-pintu masuk sempadan negara.

“Pihak JKDM kini sedang menunggu 30 mesin baharu untuk dihantar serta dipasang di sini. Di samping itu, mesin pengimbas sedia ada yang telah luput atau rosak akan digantikan.

“JKDM dalam masa sama turut akan menerima penghantaran 30 bot pengejar untuk ditempatkan di seluruh negara yang semestinya akan memantapkan lagi kemampuan JKDM melaksanakan tugas,” katanya kepada Bernama selepas hadir program Ruang Bicara, terbitan Bernama TV malam tadi.

Dalam pada itu, ditanya mengenai aktiviti penyeludupan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau berkata penyeludup tetap meneruskan aktiviti haram mereka walaupun dalam tempoh PKP.

“Sepanjang tahun ini sahaja lebih 200 kes penyeludupan rokok dan minuman keras berlaku. JKDM pernah merampas 40 kontena rokok tidak sah selain merampas dadah sebanyak 2.5 tan dalam tempoh PKP.

“Kalau mengikut data harian, setiap hari ada sahaja kes, dakwaan serta tangkapan dibuat. Jika nak katakan semasa PKP semakin teruk atau semakin baik tidak dapat dipastikan namun setakat ini bilangan kes tetap meningkat,” katanya.

Abdul Latif berkata JKDM bagaimanapun sentiasa melaksanakan operasi bersifat semasa secara berterusan bagi memastikan pembanterasan aktiviti penyeludupan dapat dilaksana.

“Ia bukti tenaga kerja JKDM sentiasa bersiap siaga dalam memastikan sempadan negara tidak dapat dibolosi dengan mudah walaupun dalam tempoh PKP,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam gempur makmal mini proses dadah, suami isteri ditahan

NILAI, 22 MEI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) semalam menggempur sebuah pangsapuri di Hulu Kelang, yang dijadikan sebagai makmal mini pemprosesan dadah.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam serbuan pada pukul 1.10 tengah hari oleh sepasukan anggota JKDM, pihaknya turut menahan sepasang suami isteri warga tempatan, yang kedua-duanya berumur 32 tahun.

“Dalam serbuan itu, kita turut menemui seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, disyaki anak kepada pasangan terbabit.

“Kita turut merampas sebuah kotak yang mengandungi lebih kurang 500 biji pil ekstacy mengandungi dadah MDMA, dengan berat kasar 300 gram, tumbuhan hidup disyaki pokok ganja setinggi lebih kurang dua meter dan ketulan mampat disyaki ganja dengan berat kasar lima gram dan serbuk kristal disyaki methamphetamine seberat tiga gram,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif methamphetamine dan telah direman selama enam hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut, manakala perihal anak suspek akan ditentukan oleh mahkamah.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM20,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana kesalahan mengedar dadah, Seksyen 6B ADB bagi kesalahan menanam pokok ganja dan Seksyen 15(1)(a) ADB bagi kesalahan memasukkan dadah dalam badan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan Abdul Latif berkata, pihaknya berjaya merampas sebuah bungkusan di sebuah premis syarikat penghantaran (kurier) di Seri Kembangan, Selangor, yang mengandungi dadah.

“Parcel berkenaan diikrarkan sebagai alat tulis dan dialamatkan ke New Zealand. Hasil pemeriksaan ke atas parcel berkenaan menjumpai balutan plastik lutsinar yang mengandungi serbuk kristal putih disyaki methamphetamine yang disorokkan di dalam marker pen pelbagai warna.

“Berat kasar keseluruhan adalah 600 gram dan nilai rampasan dianggarkan RM24,000 dan tiada tangkapan dibuat setakat ini dan kita sedang mengesan pengirim dan bagi individu yang menerima kiriman itu di sana, kita akan berkerjasama dengan penguatkuasa di negara berkenaan,” katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang awam agar terus memberikan kerjasama kepada JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan lain-lain seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JKDM Sarawak patahkan cubaan seludup keluar sarang burung

KUCHING, 29 DIS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar sarang burung yang telah diproses bernilai RM2.108 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), dua hari lepas.

Pengarah Kastam Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata hasil kolaborasi cawangan operasi darat ibu pejabat kastam Kuching bersama unit khas pemeriksaan penumpang LTAK telah menahan lapan kotak konsainan di Pusat Outbound Loading Bay Kargo.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan menggunakan mesin pengimbas ke atas lapan bagasi penumpang tersebut melalui penerbangan Air Asia AK9237 dan Malindo Air OD7605 yang menuju ke Kuala Lumpur dan transit menuju ke Hong Kong.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas bagasi penumpang, pasukan menjumpai sebanyak lapan karton bersamaan dengan 210.8 kilogram sarang burung yang telah diproses. Kesemua barang disita untuk siasatan lanjut, nilai rampasan RM2.108 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharifah Halimah berkata siasatan lanjut mendapati barangan tersebut tidak mempunyai dokumen Borang Kastam 2 (K2), permit Jabatan Veterinari Sarawak dan surat levi daripada Jabatan Perhutanan (Hidupan Liar Dilindungi).

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 atau denda tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, atau penjara tidak kurang enam bulan dan lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 79 peratus aduan diterima, warga JKDM berkaitan rasuah

PELABUHAN KLANG, 4 OKT: Hampir 79 peratus aduan yang diterima Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terhadap pegawai dan anggotanya adalah berkaitan rasuah, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Paddy Abd Halim.

Bagaimanapun, kata beliau, statistik berkenaan hanyalah berdasarkan kepada jumlah aduan yang diterima namun tidak semestinya ia menunjukkan warga jabatan itu memang banyak terlibat dengan gejala rasuah.

“Persepsi ini (JKDM terlibat dalam rasuah) tidak semestinya sahih tetapi aduan seumpamanya yang banyak kita terima. Namun, setiap aduan yang diterima, kita akan nilai dan dibawa ke lembaga tatatertib. Jika didapati bersalah, pegawai terlibat boleh dikenakan tindakan sehingga kepada dibuang kerja.

“Aduan diterima oleh cawangan integriti kita pula merekodkan 14 kes (berkaitan rasuah) sepanjang dua tahun lepas,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Kempen Kastam Perangi Perasuah di Pelabuhan Barat, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua warga JKDM dan orang awam bahawa jabatan berkenaan amat serius dalam menangani kegiatan rasuah dan meminta supaya perilaku itu dapat dihentikan segera.

“Cawangan integriti kita banyak buat program naziran…kalau tak insaf, tak tahu nak buat apa lagi. Insaflah siapa yang buat itu. Mana-mana kawan yang kenal (terlibat dengan rasuah), nasihatlah. Buat apa nak sokong, kita nak dapat gaji halal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan semua pihak termasuk warga JKDM agar melaporkan segera kepada agensi berwajib sekiranya mengetahui berlakunya kegiatan rasuah supaya ia dapat dibendung dengan tindakan lanjut.

Bercakap kepada media selepas itu, Paddy berkata, statistik jumlah aduan itu dijadikan satu penanda aras kepada jabatan berkenaan untuk memantau dan mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap warganya jika didapati melakukan perbuatan tersebut.

“Kita memang ambil tindakan (sekiranya dapat dibuktikan berlaku kegiatan rasuah dalam kalangan warga JKDM), bukan kita tidak peduli. Namun tindakan itu akan dinilai bahagian integriti jabatan dan akan melibatkan SPRM jika perlu,” katanya.

– BERNAMA