Categories
SELANGOR

14 negara meriahkan Festival Antarabangsa Petaling Jaya 2014

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 29 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menganjurkan Festival Antarabangsa Petaling Jaya bertemakan Kesenian Rakyat selaras dengan hasrat menjadikan Petaling Jaya sebagai destinasi pelancongan bandar berkonsepkan ‘Shopping, Health and Education'(SHE).

Program yang turut mendapat kerjasama Majlis Antarabangsa Festival dan Pertubuhan Kesenian Rakyat (CIOFF) itu bertujuan mempromosi Petaling Jaya, Selangor dan Malaysia amnya sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, berdaya huni, memiliki ciri persekitaran baik, di samping aktiviti menarik.

03Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata tema kesenian rakyat diangkat selaras dengan elemen dan hala tuju utama Petaling Jaya Sejahtera 2030 iaitu budaya dan komuniti, masyarakat harmoni, selamat dan prihatin.

Beliau berkata, 14 buah negara akan terbabit untuk memeriahkan festival berkenaan yang akan dilancarkan secara besar-besaran di Jalan Yong Shook Lin, Pusat Bandar Seksyen 52, di sini, pada 20 Jun ini.

“Antara negara yang akan mengambil bahagian adalah Jepun, Korea Selatan, Mesir, Senegal, Kenya, Filipina, Thailand, Sri Lanka, Bangladesh, Indonesia, Nigeria, Iran, Ghana dan India.

“Manakala, penyertaan dalam negara pula membabitkan Selangor, Melaka, Sarawak, Kelantan, Perak dan Negeri Sembilan.

“Penganjuran festival ini juga bersempena dengan sambutan ulang tahun kelapan bandar raya Petaling Jaya serta Tahun Melawat Malaysia 2014,” katanya pada Mesyuarat Penuh Majlis di ibu pejabat MBPJ, dekat sini, hari ini.

05Alinah berkata, festival itu turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran dan jualan kraf, demonstrasi makanan tradisional, persembahan kesenian rakyat dalam dan luar negara serta sukan rakyat yang merangkumi penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata, pengunjung juga berpeluang mendapatkan pakej pelancongan istimewa ke destinasi pilihan di Travel Fair oleh MATTA Fair Selangor sepanjang karnival berlangsung.

“Menariknya, sambutan kali ini turut mendapat kolaborasi yang baik daripada badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pengurusan kompleks membeli belah antaranya Paradigm Mall, Damansara Performing Arts Centre, The Curve dan Sunway Pyramid sebagai penaja lokasi bagi segmen ‘pocket show’.

“Saya berbesar hati menjemput seluruh penduduk Petaling Jaya dan rakyat Malaysia amnya hadir memeriahkan festival ini untuk menyaksikan keunikan pelbagai budaya dan kesenian insan sejagat di Petaling Jaya,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBPJ tambah 50 penguatkuasa keselamatan atasi jenayah

MBPJ Iklan haram 01PETALING JAYA 26 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menambah anggota penguatkuasa dalam pasukan rondaan keselamatan bersama polis bermula tahun depan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Alinah Ahmad, berkata ia membantu tugas rondaan itu diperluas ke kawasan bandar raya itu supaya tahap keselamatan penduduk dapat dipertingkat.

“Buat masa ini hanya ada lapan anggota iaitu empat penguatkuasa dan empat anggota polis tetapi tahun depan, MBPJ akan tambah 50 penguatkuasa lagi.

“Dengan itu, tugas rondaan dapat dijalankan di lebih banyak kawasan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pasukan Rondaan Keselamatan MBPJ bersama polis di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed.

Program bermula 30 Julai lalu adalah jalinan kerjasama kedua-dua pihak selaras dengan pendekatan “Local Agenda 21” dan Program Bandar Selamat.

Rondaan dijalankan empat kali seminggu membabitkan dua kumpulan setiap sesi dengan lapan anggota terdiri dari penguatkuasa MBPJ dan polis.

Ia memfokuskan kawasan ‘hot spot’ meliputi perumahan, komersial dan tumpuan awam iaitu perhentian bas dan taman rekreasi.

– FZL