Categories
SELANGOR

MBPJ : 10 bas percuma mulai April

Naeem Raffi

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan meneruskan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk di wilayah itu mulai April depan.

Datin Paduka Alinah AhmadDatuk Bandar Datin Paduka Alinah Ahmad berkata program tanggungjawab sosial itu adalah jalinan kerjasama MBPJ bersama syarikat pengendali pengangkutan awam, Rapid KL.

“Penyediaan bas percuma ini adalah satu lagi inisiatif MBPJ mengatasi masalah kesesakan jalan raya di Petaling Jaya.

“Sebanyak 10 buah bas akan disediakan untuk kemudahan penduduk ke destinasi seperti sekolah, jabatan kerajaan, pasar, stesen LRT dan hospital,” jelasnya kepada Selangor Kini.

Alinah berkata, perkhidmatan terbabit membabitkan Jalan Yong Shook Lin, Jalan Sultan, Jalan Templer, Jalan Penchala, Jalan Semangat, Jalan Gasing, Jalan Othman serta sekitar Pusat Bandar Seksyen 52.

“Justeru, MBPJ berharap semua penduduk Petaling Jaya dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan ini.

“Inisiatif ini juga sebagai langkah untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam khususnya di kawasan Pusat Bandar,” katanya.bas 1

Pelaksanaan perkhidmatan bas percuma itu sejajar dengan fokus MBPJ membangun sektor infrastruktur pengangkutan awam dan pengurusan lalu lintas yang efisyen serta berintegrasi bagi memastikan kemudahan juga keselesaan penduduk sekitar.

Selain itu, MBPJ sudah menyediakan jaringan laluan basikal dengan jarak lima kilometer (km) meliputi seluruh kawasan majlis yang dibina sebagai tambahan daripada 5.6 km sedia ada.

Empat buah kemudahan ‘park and ride’ yang menawarkan 1,911 petak letak kereta di stesyen Transit Aliran Ringan (LRT) sedia ada juga akan dibina.

Categories
SELANGOR

MBPJ buka bilik gerakan hadapi krisis air

Naeem Raffi

SHAH ALAM – Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) telah menyediakan pelan tindakan krisis air dengan membuka Bilik Gerakan 24 jam sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan air di wilayah itu.

datin-alinahDatuk Bandar Datin Paduka Alinah Ahmad berkata keputusan tersebut diambil selepas Kerajaan Negeri mengumumkan catuan bekalan air secara berperingkat mulai 25 Februari lalu.

“MBPJ mempunyai tiga lori tangki air dan 18 unit tangki statik yang akan digunakan sepanjang tempoh krisis ini.

“Pelan tindakan ini dimulakan dengan mondus operandi seperti membekalkan air menggunakan lori tangki secara berjadual, menempatkan tangki statik di kawasan kritikal dan menjalankan rondaan pemantauan air di lokasi tangki yang ditempatkan,” jelasnya kepada Selangor Kini.

Alinah menambah pegawai-pegawai dari jabatan-jabatan terlibat ditugaskan bergilir-gilir dalam tempoh 24 jam bagi memastikan proses agihan air berjalan dengan lancar.

Selain itu, MBPJ juga mengeluarkan surat pemberitahuan kepada pengusaha-pengusaha perniagaan cuci kereta bagi mengurangkan waktu operasi sebagai langkah mengatasi masalah krisis air.

“Semua pengguna domestik dan komersial juga dinasihatkan agar berjimat menggunakan air.” katanya.

Bagi warga Petaling Jaya yang ingin mengemukakan permintaan bantuan bekalan air, boleh berbuat demikian dengan menghubungi Bilik Gerakan di talian Hotline 03-7954 2020.