Categories
AGENDA NASIONAL

Wujudkan jawatankuasa khas santuni kanak-kanak di masjid – Mujahid

PUTRAJAYA, 9 DIS: Masjid disaran mewujudkan jawatankuasa khas untuk menyantuni kanak-kanak dengan pendekatan berhemah ketika mereka berada di rumah ibadah tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Saranan itu rententan insiden penularan surat seorang kanak-kanak mengenai pengasingan saf, juga selaras dengan konsep RAHMAH Masjid agar mesra dengan kanak-kanak dalam mengimarahkan masjid, katanya.

Surat Nadzrul Zafran Shahrul Azly yang viral. Foto: Viral Facebook

Mujahid hari ini menerima kunjungan kanak-kanak itu Nadzrul Zafran Shahrul Azly, 10, yang menarik perhatian ramai selepas surat yang dihantarnya kepada imam dan jawatankuasa surau dua tahun lepas bertanyakan kenapa beliau diasingkan saf dengan orang dewasa, tular di media sosial, di sini.

Bercakap kepada media sempena kunjungan itu, Mujahid berkata larangan kanak-kanak tidak boleh berada di saf hadapan telah menjadi ‘budaya’ di kebanyakan masjid dan surau di negara ini namun perkara itu tidak dinyatakan oleh agama Islam, malah Nabi Muhammad SAW sendiri mesra kepada kanak-kanak dan bersolat bersama mereka.

Selain amalan menghormati jemaah yang lebih tua, tidak berlaku kesalahan untuk kanak-kanak bersolat di saf hadapan bersama orang-orang dewasa selagi kanak-kanak tersebut boleh mengawal diri dan tidak mengganggu jemaah lain, katanya.

“Saya cadangkan tiap-tiap masjid melayan kanak-kanak daripada sebelum mereka solat sehingga selepas solat dengan cara yang difikirkan sesuai oleh jawatankuasa itu seperti memberikan mereka coklat, makanan atau minuman selepas mereka bersembahyang,” katanya.

Sementara itu, Nadzrul Zafran ketika mengimbas kembali idea menulis surat itu berkata ia tercetus selepas terkilan dengan tindakan jawatankuasa masjid di kawasan Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang mengarahkannya untuk ke saf belakang ketika beliau sudah bersedia untuk menunaikan solat terawih, dua tahun lepas.

“Saya telah siap berdiri di sisi ayah untuk memulakan solat sebelum pengerusi membuat pengumuman meminta kanak-kanak untuk ke saf belakang tanpa alasan yang kukuh.

“Saya sangat terkilan kerana saya sudah bersunat dan menjaga tingkah lalu ketika di rumah Allah, lalu semasa di rumah saya menulis surat bagi bertanyakan perkara itu dan menyerahkannya kepada imam keesokan harinya,” kata pelajar Sekolah Kebangsaan La Salle, Brickfields itu.

Nadzrul Zafran yang bercita-cita menjadi pensyarah di Universiti Madinah berkata beliau menulis surat tersebut dengan niat yang baik supaya masjid tidak menjadi ‘mimpi buruk’ kepada kanak-kanak berikutan tindakan pengurusan yang tidak mesra.

Selain Mujahid, tindakan Nadzrul Zafran yang menyuarakan hak kanak-kanak itu turut mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang membalas dan memberi penjelasan berhubung kedudukan saf kanak-kanak di dalam masjid dan surau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tujuh negeri mungkin belum sedia tetap had umur kahwin – Mujahid

BUTTERWORTH, 20 NOV: Tujuh negeri yang belum bersetuju untuk meminda enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan kepada 18 tahun berkemungkinan masih belum bersedia berbuat demikian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata walaupun sebelum ini pihaknya mengadakan perbincangan dengan semua Majlis Agama Negeri untuk menyakinkan mereka mengenai keperluan mengehadkan perkahwinan bawah umur, namun beberapa negeri didapati belum mahu melaksanakannya.

“Kami akan terus berusaha memberi penjelasan kepada tujuh negeri terbabit termasuk membincangkannya dalam siri pertemuan pada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam tahun depan. Ada beberapa platform yang boleh digunakan untuk kita berhubung dengan negeri-negeri berkenaan.

“Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam mengadakan pertemuan tiga kali setahun dengan dihadiri ketua menteri, menteri besar, Exco agama dan Yang Dipertua Majlis Agama. Majlis ini dipengerusikan perdana menteri dan saya selaku timbalan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai sekretariat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan 10 Siri Buku Rahmah, di sini hari ini.

Ditanya sama ada terdapat campur tangan politik di sesetengah negeri yang mempengaruhi kepada persetujuan itu, Mujahid berkata pihaknya tidak tahu mengenainya, namun mengakui lebih mudah berbincang dengan negeri yang sama pentadbirannya dengan Kerajaan Persekutuan berbanding ditadbir pembangkang.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada persidangan Dewan Rakyat berkata kementeriannya dalam peringkat akhir menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.

Dr Wan Azizah turut memaklumkan setakat ini, hanya lima negeri yang telah bersetuju untuk meminda Enakmen atau Ordinan Undang-undang dan had umur minimum perkahwinan.

Negeri tersebut adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak, manakala Selangor telah meminda enakmen itu dan Wilayah Persekutuan sedang dalam proses pindaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mujahid kecewa kejadian pelajar maahad tahfiz meninggal dunia

PUTRAJAYA, 8 NOV: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan insiden kematian pelajar lelaki sebuah maahad tahfiz di Lanchang, Temerloh yang dikesan mempunyai lebam pada badan.

Dalam ucapan takziahnya kepada keluarga mangsa dalam satu kenyataan hari ini, Mujahid berkata : “Saya rasa sungguh sedih apabila anak yang baru berusia tujuh tahun, baru hendak mengenal dunia menjadi mangsa.”

Beliau dalam pada itu percaya pada kecekapan polis untuk menyiasat kes berkenaan dan berharap hasil siasatan dapat mengetahui punca kematian itu.

Menurut laporan, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di pusat tahfiz tidak berdaftar di Lanchang itu, meninggal dunia dengan kesan lebam pada tubuhnya, semalam.

Susulan itu, tiga remaja berusia 13 tahun yang juga pelajar di pusat tahfiz itu ditahan bagi membantu siasatan kematian mangsa.

Sementara itu, Mujahid menasihatkan ibu bapa agar menghantar anak mereka ke pusat tahfiz atau sekolah pondok yang berdaftar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jakim tidak pernah lantik perunding untuk sijil halal

PUTRAJAYA, 5 NOV: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah melantik perunding bagi mewakili jabatan itu untuk menguruskan permohonan sijil halal Jakim, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Justeru itu, beliau tidak menolak kemungkinan dakwaan rasuah dalam permohonan sijil halal Jakim dilakukan oleh pihak yang menyamar sebagai perunding.

“Ada banyak kes orang datang kepada saya kata mereka dah minta (sijil) setahun tetapi masih belum dapat. Saya tanya kepada siapa dia minta, dia kata minta dengan orang Jakim.

“Bila kita periksa, orang itu perunding yang hanya mahu keuntungan dan dia tidak ikut prosedur yang betul,” katanya kepada pemberita pada perbincangan Meja Bulat Dan Kelas Induk Tentang Inklusi Halal di sini hari ini. Majlis itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mujahid berkata permohonan sijil halal tidak dilakukan secara bersemuka, sebaliknya borang dilengkapkan secara dalam talian dengan mengemukakan butiran yang dikehendaki.

“Kemudian kami akan proses dan kalau ada masalah baru panggil pemohon,” katanya.

Bagaimanapun, Mujahid berkata Jakim akan mengambil tindakan tegas jika terbukti terdapat pegawainya sendiri yang menerima rasuah bagi meluluskan permohonan tersebut.

Satu artikel bertajuk Krisis Halal Malaysia diterbitkan oleh laman web Asia Sentinel pada 10 Oktober lepas mendakwa kakitangan Jakim mempunyai isu seperti tidak cekap dan masalah integriti dalam urusan proses sijil halal Malaysia.

Artikel berkenaan antara lain mendakwa pegawai Jakim meminta bayaran bagi mendaftarkan premis memproses daging, tidak membantu dan sombong.

Mujahid yang mengulas mengenai artikel itu berkata ia hanya satu dakwaan untuk merosakkan imej Jakim kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh terhadap tuduhan tersebut.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mekanisme tuntut nafkah dibawa ke Kabinet bulan depan

TELUK INTAN, 26 JAN: Mekanisme untuk mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian akan dibawa ke Kabinet, bulan hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, perkara itu kini berada pada peringkat akhir setelah pihaknya mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kewangan, Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum dijangka dilaksanakan, pada tahun ini.

“Ini kerana mahkamah yang menumpukan soal tuntutan nafkah (isteri) dan anak juga ada kuasa ‘bail live’, bermakna kuasa penguat kuasaan kepada keputusan mahkamah yang dibuat tetapi tidak dilaksanakan.

“(Sebagai contoh), (suami) boleh pergi ke bank beri surat tunjuk sebab atau boleh teliti harta yang dia ada supaya bekas suami dapat membayar tuntutan nafkah kepada bekas isteri dan anak seperti diperintahkan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Islam Rahmatan Lil Alamin di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Katanya, mekanisme itu bagi membolehkan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah menggunakan kaedah seperti menuntut nafkah daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan akaun bank suami untuk membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan setelah diputuskan Mahkamah Syariah.

“Kebanyakan wanita tiada tempat mengadu dari segi penguat kuasaan, jadi kita melihat keperluan penguat kuasaan kepada wanita yang tidak diberikan keadilan dari sudut nafkah yang sudah diputuskan Mahkamah Syariah,” katanya.

Sebelum ini, Mujahid berkata, tindakan lebih tegas sedang dipertimbang kerajaan termasuk cadangan mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami yang culas memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian.

Katanya, langkah itu bertujuan membela kaum wanita yang selama ini ditindas sesetengah suami yang tidak melaksanakan tangggungjawab membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan.

*Sumber: BERNAMA