Categories
AGENDA NASIONAL

Pihak berkuasa agama bincang sebelum fatwa ajaran sesat

PUTRAJAYA, 2 FEB: Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) akan bermuzakarah bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri sebelum memfatwakan sesuatu ajaran itu sebagai sesat atau sebaliknya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Katanya, untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, ia perlu dilakukan dengan amat berhati-hati bagi memastikan tindakan atau keputusan yang diambil kelak tidak dianggap gopoh atau kekurangan maklumat.

“Kita tidaklah nak menyatakan sesuatu (ajaran) itu dengan sepantas itu melainkan perkara yang telah disepakati,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peduli Musaadah 2.0 dan Misi Bantuan Pasca Banjir di sini hari ini, yang turut dihadiri Yang Dipertua Yadim Nasrudin Hassan.

Mengulas sama ada Islam Melayu yang didakwa dibawa oleh ‘Ibu Yati’ atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias sudah difatwakan sebagai sesat, Zulkifli berkata pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada pihak berkuasa agama dari negeri yang terbabit dengan ajaran itu.

“Saya cukup berhemah dan berhati-hati dalam masalah ini kerana mengambil pandangan Imam Malik selama mana dapat takwil (penjelasan), cuba takwil yang baik-baik dahulu, melainkan perkara itu memang perkara yang jelas atau perkara itu sudah dikeluarkan satu fatwa atau warta, maka itu barulah kita katakan tidak dibenarkan,” katanya.

Sebelum ini, Nasrudin dilaporkan menasihatkan agar orang ramai tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang didakwa dibawa individu dikenali sebagai “Ibu Yati”, yang turut didakwanya menggunakan lafaz syahadah yang pelik.

Sementara itu, Nasrudin berkata pihaknya tidak akan mengemukakan permohonan maaf kepada Ibu Yati susulan laporan polis yang dibuat wanita itu yang memberi Nasrudin tempoh tujuh hari untuk mengemukakan permohonan maaf kepadanya atas dakwaan yang dibuat Yadim.

Malah, Nasrudin berpendapat Yadim tidak perlu membuat laporan polis kerana dimaklumkan terdapat lebih 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Islam yang diamalkan pada masa sekarang merupakan Islam yang sebenarnya yang diwahyukan Allah melalui al-Quran dan al-Sunah. Islam itu adalah universal. Tiada istilah Islam Arab mahupun Islam Melayu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hukum ambil vaksin Covid-19 harus – Dr Zulkifli

PUTRAJAYA, 23 DIS: Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Dis lepas mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata ketetapan itu juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam agar patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan dalam menangani penularan pandemik Covid-19 menerusi penggunaan vaksin,” katanya.

Zulkifli berkata penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak.

Katanya ini terbukti, kaedah pencegahan melalui pemvaksinan dapat dilihat dalam enam keputusan yang mengharuskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia daripada tahun 1988 hingga 2013.

Enam keputusan berkenaan ialah berkaitan pelalian Rubela; imunisasi hepatitis B; imunisasi campak, tuberculosis , batuk kokol, difteria, tetanus dan polio; pelalian vaksin meningococcal meningitis; vaksin Human Papillomavirus (HPV); dan vaksin Meningitis Menveo, katanya.

Di peringkat antarabangsa, katanya institusi-institusi fatwa dunia turut memfatwakan keharusan penggunaan vaksin, antaranya institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif; Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu; dan Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah Amerika Syarikat.

Justeru, dalam isu pengambilan vaksin Covid-19, ia adalah ketetapan yang ditetapkan oleh kerajaan, katanya.

“Ini kerana, kerajaan dituntut memutuskan sesuatu keputusan yang paling mendatangkan maslahah kepada keseluruhan rakyat, setelah menimbang tara faktor-faktor yang pelbagai serta setelah mendapatkan pandangan-pandangan daripada pihak-pihak yang berkepakaran dan juga berautoriti,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rasuah punca manusia bertambah jahat – Mufti

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 MEI: Rasuah diantara faktor utama menjadikan seseorang manusia itu bertambah jahat, kata Mufti Wilayah Persekutuan.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, amalan rasuah juga bakal melahirkan masyarakat yang mementingkan diri sendiri serta menghancurkan keadilan sesebuah negara.

Katanya, pengurusan pentadbiran juga akan menjadi lambat dan kucar kacir.

“Selain menyebabkan meningkatnya kos pengurusan, kesan buruk rasuah juga menyebabkan hasil kerja yang kurang baik.

“Ia juga akan menyebabkan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang dalam negara,” tulisnya di laman instagram peribadinya, hari ini.

Zulkifli berkata, firman Allah SWT “janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) diantara kamu dengan jalan yang salah.

“Dan jangan pula menghulur harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya),”.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli mengingatkan semua pihak supaya bertekad menghindari diri dari sebarang bentuk rasuah serta membina jati diri dengan integriti dan keamanahan yang unggul.