Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Kekal istiqamah amalan terpuji di bulan Syawal – mufti WP

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Memasuki bulan Syawal, umat Islam di negara ini diseru agar terus beristiqamah terutamanya dalam menghadapi ujian wabak Covid-19 yang membataskan masyarakat menyambut perayaan Aidilfitri semeriah seperti kelaziman sebelum ini.

Aidilfitri merupakan hari kemenangan dan kegembiraan dalam pembersihan jiwa yang dikurniakan Allah kepada umat Islam kerana dapat menempuh ujian sebulan berpuasa serta berjaya melaksanakan ibadah lain secara istiqamah di bulan Ramadan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah, berkata masyarakat perlu akur dengan situasi sekarang dan mematuhi arahan kerajaan terutamanya dalam tatacara operasi piawai(SOP) semasa sambutan Aidilfitri kali ini kerana ia merupakan langkah pencegahan bagi membendung penularan Covid-19.

“Ini bertepatan dengan kaedah iaitu mencegah keburukan itu lebih diutamakan daripada mencapai kebaikan. Aidilfitri merupakan salah satu syiar bagi seluruh umat Islam setelah sebulan menghadapi tarbiah bulan Ramadan.

“Tidak dinafikan bahawa penularan Covid-19 merupakan suatu musibah besar buat umat Islam. Namun, seperti yang kita ketahui bahawa antara hikmah di sebalik setiap musibah yang berlaku itu adalah supaya kita kembali kepada Allah SWT,” katanya kepada Bernama.

Masyarakat serta ekonomi di negara ini terkesan akibat Covid-19 yang menyerang seluruh dunia sejak hujung tahun lepas sehingga kerajaan terpaksa melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian virus itu di negara ini.

Kemudian kerajaan telah perkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan melonggarkan sedikit perkara bagi memulihkan ekonomi namun masih ada SOP ketat yang perlu dipatuhi bagi memastikan matlamat memutuskan rantaian pandemik itu tercapai.

Luqman berkata meskipun beberapa ibadah tertentu seperti solat Jumaat, solat berjemaah, solat Tarawih, dan solat Hari Raya terhalang untuk dilakukan di masjid dan surau namun ia tidak menghalang untuk umat Islam melakukannya secara berjemaah di rumah.

“Solat sunat Aidilfitri, ia dituntut untuk dilakukan secara berjemaah di tanah lapang atau di masjid serta dihadiri oleh orang ramai bagi menzahirkan syiar Islam. Solat sunat Aidilfitri juga adalah sah sekiranya dilakukan di rumah atau di tempat lain sama ada secara berjemaah atau berseorangan,” katanya.

Beliau berkata dalam situasi sekarang ini, solat berjemaah di rumah atau secara individu dapat mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

“Selaku rakyat Malaysia, kita seharusnya menunaikan tanggungjawab dengan mematuhi perintah yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dalam meneruskan kelaziman baharu supaya dapat menghindari jangkitan wabak ini.

“Pada ketika inilah ketua keluarga memainkan peranan untuk mendidik dan mewujudkan suasana yang baik di dalam rumah seperti melaksanakan solat berjemaah, bertadarus al-Quran, melaksanakan qiyamulail bersama dan lain-lain lagi. Ini juga adalah merupakan cara untuk menarik rahmat Allah SWT masuk ke dalam rumah kita,” katanya.

Beliau tidak menafikan apa yang berlaku ini sememangnya satu perkara yang tidak dijangka dan menyeru sebagai seorang Muslim, masyarakat perlu menganggap bahawa perkara ini adalah satu ujian daripada Allah SWT.

Mengenai menziarahi kubur, Luqman menjelaskan amalan itu adalah dituntut dalam Islam dan hukumnya adalah sunat mengikut pendapat yang sahih, namun, berikutan PKPB secara tidak langsung ia memberi kesan terhadap keharusan amalan menziarahi kubur yang kebiasaannya diamalkan sebahagian masyarakat sebelum ini.

Sebagai alternatif, Luqman mencadangkan beberapa perkara untuk umat Islam iaitu digalakkan memperbanyakkan doa kepada si mati dengan memohon keampunan kepada mereka.

Selain itu perbanyakkan bacaan Al-Quran sepanjang keberadaan di rumah dan meniatkan pahala bacaannya untuk si mati serta bersedekah dan membuat amal kebajikan serta meniatkan pahalanya untuk ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sambut Syawal penuh kesederhanaan – Mufti

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Umat Islam disaran tidak berlebih-lebihan dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari lagi, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, konsep menyambut Syawal sepatutnya bergantung kepada kemampuan diri masing-masing, dan secara sederhana.

“Setiap individu seharusnya mengukur baju di badan sendiri. Perbezaan pekerjaan masing-masing mendorong kepada perbelanjaan menyediakan pakaian, makanan dan minuman kepada tetamu mengikut kemampuan namun jangan sampai melakukan pembaziran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada masa sama, Zulkifli menasihatkan umat Islam supaya memandu secara berhemah di jalan raya terutama ketika pulang ke kampung halaman.

“Pastikan peraturan jalan raya dipatuhi kerana setiap pengguna mempunyai tujuan yang sama agar selamat tiba ke destinasi dituju. Gunakan kebijaksanaan anda, pandulah secara berhemah dan sentiasa ingat bahawa ketika bermusafir kita tetap perlu menjaga solat dan bergantung hanya kepada Allah,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai kemudahan seperti surau disediakan di kawasan rehat dan rawat bagi memudahkan umat Islam beribadat walau di mana mereka berada.

– BERNAMA

 

 

 

Categories
NASIONAL

Rasuah punca manusia bertambah jahat – Mufti

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 MEI: Rasuah diantara faktor utama menjadikan seseorang manusia itu bertambah jahat, kata Mufti Wilayah Persekutuan.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, amalan rasuah juga bakal melahirkan masyarakat yang mementingkan diri sendiri serta menghancurkan keadilan sesebuah negara.

Katanya, pengurusan pentadbiran juga akan menjadi lambat dan kucar kacir.

“Selain menyebabkan meningkatnya kos pengurusan, kesan buruk rasuah juga menyebabkan hasil kerja yang kurang baik.

“Ia juga akan menyebabkan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang dalam negara,” tulisnya di laman instagram peribadinya, hari ini.

Zulkifli berkata, firman Allah SWT “janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) diantara kamu dengan jalan yang salah.

“Dan jangan pula menghulur harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya),”.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli mengingatkan semua pihak supaya bertekad menghindari diri dari sebarang bentuk rasuah serta membina jati diri dengan integriti dan keamanahan yang unggul.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Wan Azizah lakukan kunjungan istisyari, minta pandangan mufti

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengadakan kunjungan istisyari (konsultasi) buat kali pertama kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Wan Azizah menerusi satu hantaran dalam laman Facebook berkata kunjungan yang berlangsung di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Kompleks Islam Putrajaya itu bertujuan untuk mendapatkan beberapa pandangan hukum serta nasihat berhubung beberapa isu mutakhir di bawah portfolionya.

“Kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan sentiasa mengutamakan pandangan Islam dalam isu-isu pentadbiran negara dan menyanjung tinggi institusi Mufti dan ulama.

“Semoga siri pertama Kunjungan Istisyari ini akan disusuli dengan kunjungan-kunjungan seterusnya,” katanya, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di samping memuat naik beberapa keping gambar bersempena kunjungannya itu.

SUMBER: BERNAMA