Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Karyawan perlu ada minda niaga untuk bangunkan industri kreatif

SHAH ALAM, 8 SEPT: Pengkarya seni mesti mempunyai dua corak pemikiran untuk berjaya lebih jauh dalam industri kreatif, kata Datuk Hans Isaac.

Bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berkata memberi tumpuan kepada sesuatu perkara sahaja iaitu bidang kreatif tanpa memikirkan soal perniagaan tidak akan membawa mereka ke mana-mana.

“Mesti ada dua corak pemikiran iaitu perniagaan dan kreatif. Pemikiran bahawa kreatif adalah segala-galanya pada saya salah kerana ia tidak boleh membawa kamu berjaya 100 peratus.

“Contohnya saya arahkan sebuah filem dulu, saya nak konsep tertentu tetapi tak dapat buat kerana penerbit eksekutif kata tak ada duit, jadi saya pakai gaji sendiri untuk dapatkan konsep itu. Saya hilang sesuatu untuk dapatkan apa yang saya mahukan,” katanya ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini semalam.

Mengulas soal keperluan Lembaga Penapis Filem (LPF), beliau berkata biarpun tidak setuju sepenuhnya namun badan tersebut masih relevan untuk menghormati unsur berkaitan perbezaan agama dan budaya.

Namun tegasnya, mesti ada pemahaman antara pengarah filem dan individu dalam LFP itu sendiri dari segi pemotongan sesuatu babak atau adegan.

“Jika berada dalam LPF, saya akan buat dua jenis potongan iaitu satu untuk tayangan dalam negara dan satu luar negara. Pada saya mesti ada penjenamaan yang baik, kerana ini turut melibatkan ekonomi dan pelancongan,” katanya.

“Kita mesti contohi Korea Selatan yang kini berjaya menang anugerah Oscar tetapi nak menang bukan main cakap sahaja, kena ada pembangunan menyeluruh dan asas kukuh.”

Categories
AGENDA NASIONAL

Hans Isaac saran dana kreatif disalur secara bergilir

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri diminta mengenal pasti persatuan kreatif yang memerlukan bantuan bagi mengelak pemberian disalurkan kepada agensi sama, kata Datuk Hans Isaac.

Bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu berkata dana sepatutnya diberi secara bergilir memandangkan masih banyak persatuan belum mendapat sumbangan.

“Sebenarnya dana ini adalah permulaan membantu syarikat membangunkan syarikat mereka pada masa hadapan, tetapi ramai yang gunakannya sebagai pendapatan setiap tahun,” katanya dalam Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

“Perniagaan utama pergi kepada dana, ini adalah satu benda yang tidak membangunkan industri kreatif, kalau saya dapat dana, tahun depan berilah kepada orang lain, baru kita berkembang.”

Mengikut pengalaman singkatnya selama 13 bulan, kebanyakan persatuan tidak berfungsi dan berpecah-pecah kerana pelbagai masalah.

Tambah Hans, walau dikecam ramai, namun beliau berjaya mencatat 26 pencapaian terutama mengukuhkan kewangan dan sudah berusaha membantu penggiat industri.

Categories
NASIONAL SENI

FINAS bakal perkenal KWSP, PERKESO untuk penggiat seni

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi melindungi kebajikan penggiat seni bebas.

Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, skim itu bukan sahaja bakal menjamin masa depan pelakon tetapi juga kru produksi termasuk jurumekap, ‘runner’, pemandu serta penjaga busana.

“FINAS sudah ada kertas kerjanya. Perbincangan untuk mekanisme pelaksanaan caruman akan dibuat bersama kedua-dua badan terbabit. Syarat dan kaedahnya akan diberikan oleh mereka bagi mengaplikasi sistem itu dalam industri seni.

“FINAS juga akan bertemu dengan pihak pengurusan stesen televisyen dan syarikat produksi karyawan bebas ini bekerja. Ada banyak proses yang perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaan itu dapat dijayakan,” katanya kepada pemberita sempena hari pertamanya memasuki pejabat, di FINAS hari ini.

Hans Isaac, berkata sudah tiba masanya untuk industri seni diiktiraf sebagai profesional, justeru dengan adanya kedua-dua skim terbabit, pengiktirafan itu akan dapat direalisasikan.

Katanya, pengenalan skim terbabit adalah satu daripada 15 manifesto yang dirangkanya bersama Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang baru sebulan memegang jawatan itu.

KUALA LUMPUR, 11 April — Pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Pelakon, penerbit dan pengarah filem, Datuk Gerald Hans Isaac (kanan) pada sidang media di Finas hari ini.
Perlantikan itu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 8 April lalu.
Turut kelihatan, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan 14 lagi manifesto, dengan berkata, “Saya tidak mahu hanya berjanji, saya mahu jayakan sesuatu pelan itu dahulu, pastikan ia dilaksanakan dan apabila dapat keputusannya nanti, baru saya umumkan.”

Pada masa sama, Hans Isaac memberi jaminan beliau tidak akan bersikap berat sebelah dan memihak kepada kroni atau rakannya dalam memberikan sebarang dana atau geran daripada FINAS untuk produksi filem dan televisyen.

“Jika sesuatu permohonan itu membabitkan konflik kepentingan, saya akan tinggalkan mesyuarat dan biarkan lembaga pengarah membuat keputusan. Jika mereka mendapat geran daripada FINAS berdasarkan merit, tiada siapa boleh persoalkan,” katanya.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang ragu dan skeptikal dengan pelantikannya Ahmad Idham, supaya memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan hasil kerja.

“Bagaimanapun, saya menerima maklum balas positif, hebat dan mengagumkan daripada pemain industri berhubung pelantikan saya sebagai pengerusi,” katanya.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengumumkan pelakon, pengarah dan penerbit itu dilantik sebagai pengerusi FINAS bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa Isnin lalu bagi menggantikan Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas Pemangku Pengerusi sejak lebih empat bulan lalu. -BERNAMA