Categories
AGENDA NASIONAL

Nilai ambil alih empat konsesi lebuh raya bertol belum muktamad

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Sejumlah RM6.2 bilion yang ditawarkan kerajaan bagi mengambil alih empat konsesi lebuh raya bertol di Lembah Klang bukan nilai muktamad, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan proses sewajarnya sebelum memuktamadkan nilai sebenar.

“Jika proses wajar itu mendapati nilai berkenaan terlalu rendah atau terlalu tinggi, sesuatu perlu dilakukan. Nilai terbabit bukan muktamad,” katanya kepada media selepas perasmian Islamic Finance Innofest 2019, anjuran Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), di sini hari ini.

Pada majlis itu, Amiruddin turut melancarkan laporan bertajuk “Harnessing Value- based Intermediation: The Role of Development Financial Institutions”.

Beliau berkata, keutamaan kerajaan Pakatan Harapan adalah memastikan hasrat dalam manifesto untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan tol terlaksana.

“Pada asasnya, kita harap ia akan memberikan kesan positif kepada pengguna jalan raya dan tidak menambah beban kewangan kepada kerajaan,” katanya.

Pada Jun tahun ini, Kementerian Kewangan mengemukakan tawaran rasmi untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang, iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Tawaran pengambilalihan itu dibuat kepada Gamuda Bhd, selaku syarikat pemegang konsesi keempat-empat lebuh raya berkenaan.

Semalam dilaporkan bahawa pengambilalihan yang dicadangkan oleh kerajaan ditunda bagi semakan harga.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kutipan SST 2019 diunjur RM22 bilion

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Kerajaan mengunjurkan kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), yang diperkenalkan semula pada 1 September 2018, berjumlah RM22 bilion bagi keseluruhan tahun 2019, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Selain menjadi sumber pendapatan negara, beliau berkata, pengenalan semula sistem percukaian SST bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) itu telah banyak membantu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

“Ia melalui penjimatan daripada cukai tidak langsung semasa SST berbanding yang perlu dibayar oleh mereka sewaktu pengenaan cukai GST.

“Pengenalan semula SST secara amnya tidak menyebabkan berlaku kenaikan pada harga barang dan perkhidmatan. Sebagai contoh Indeks Harga Pengguna (IHP) tidak menunjukkan peningkatan ketara,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Jawab Lisan di persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang ingin tahu anggaran pendapatan kerajaan di bawah sistem percukaian SST dan sama ada sistem percukaian itu berkesan dalam mengurangkan kos sara hidup.

Amiruddin berkata, skop pengenaan cukai jualan dan perkhidmatan di bawah sistem SST adalah lebih kecil berbanding di bawah sistem GST di mana pelbagai jenis barang dan keperluan asas pengguna seperti barang makanan asas tidak dikenakan cukai jualan.

Mengenai cukai perkhidmatan, beliau berkata cukai hanya dikenakan ke atas beberapa jenis perkhidmatan tertentu sahaja.

Menjawab soalan tambahan Mojuntin mengenai bagaimana kerajaan menangani ‘shortfall’ lebih RM20 bilion berbanding pendapatan cukai semasa GST dilaksanakan berjumlah RM44 bilion, Amiruddin mengakui bahawa ‘short fall’ memang berlaku, namun memberi komitmen bahawa kerajaan akan berusaha mengecilkan nilai ‘shortfall’ tersebut.

“Dalam usaha memastikan kerja-kerja pembangunan dan belanja mengurus negara dapat diteruskan, kerajaan optimis apabila ekonomi diuruskan secara lebih baik sehingga dapat meyakinkan pelabur masuk serta mewujudkan peluang perniagaan maka jumlah kutipan cukai-cukai berkenaan akan bertambah,” katanya. – BERNAMA