Categories
AGENDA NASIONAL

Nilai ambil alih empat konsesi lebuh raya bertol belum muktamad

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Sejumlah RM6.2 bilion yang ditawarkan kerajaan bagi mengambil alih empat konsesi lebuh raya bertol di Lembah Klang bukan nilai muktamad, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan proses sewajarnya sebelum memuktamadkan nilai sebenar.

“Jika proses wajar itu mendapati nilai berkenaan terlalu rendah atau terlalu tinggi, sesuatu perlu dilakukan. Nilai terbabit bukan muktamad,” katanya kepada media selepas perasmian Islamic Finance Innofest 2019, anjuran Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), di sini hari ini.

Pada majlis itu, Amiruddin turut melancarkan laporan bertajuk “Harnessing Value- based Intermediation: The Role of Development Financial Institutions”.

Beliau berkata, keutamaan kerajaan Pakatan Harapan adalah memastikan hasrat dalam manifesto untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan tol terlaksana.

“Pada asasnya, kita harap ia akan memberikan kesan positif kepada pengguna jalan raya dan tidak menambah beban kewangan kepada kerajaan,” katanya.

Pada Jun tahun ini, Kementerian Kewangan mengemukakan tawaran rasmi untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang, iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Tawaran pengambilalihan itu dibuat kepada Gamuda Bhd, selaku syarikat pemegang konsesi keempat-empat lebuh raya berkenaan.

Semalam dilaporkan bahawa pengambilalihan yang dicadangkan oleh kerajaan ditunda bagi semakan harga.

-BERNAMA

Rafizi: Menteri buktikan BN tidak faham GST

Pakatan Rakyat dukacita dengan hujah Timbalan Menteri Kewangan yang hanya membuktikan beliau tidak memahami Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Donald Lim Kelirukan Rakyat Tentang RMM

SHAH ALAM,25 OKT : Kerajaan Selangor menempelak kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai bahawa kerajaan negeri tidak membina rumah mampu milik (RMM).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, tuduhan yang dilemparkan itu tidak berdasarkan fakta dan mengelirukan.

Mengikut jawapan Iskandar di dalam Dewan Negeri Selangor pada bulan Mac 2012, bagi tempoh April 2008 sehingga Mac 2012, sebanyak 23,637 unit rumah mampu milik dibina oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ujarnya, Kerajaan Selangor telah menggalakkan pemaju membina RMM di kawasan-kawasan yang tidak sesuai untuk dibina Rumah Kos Rendah atau di mana tidak ada permintaan untuk Rumah Kos Rendah.

“Rakyat sedia maklum akan projek-projek perumahan Rumah Mampu Milik yang dibina di Negeri Selangor sama ada oleh Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Kerajaan Negeri atau pemaju-pemaju swasta.

“Beberapa siri lawatan telah turut saya lakukan untuk projek-projek tersebut malah harga  jualan Rumah Mampu Milik di Selangor adalah di antara RM 85,000 hingga RM 150,000 iaitu jauh lebih murah dari projek Rumah Mampu Milik Kerajaan Persekutuan, PRIMA yang dijual sehingga RM300,000,” kata Iskandar dalam satu kenyataan media.

Baru-baru ini, dilaporkan Donald telah mendakwa bahawa tiada RMM dibina di Selangor.

Iskandar berkata, beliau akan mengumumkan senarai projek-projek RMM yang sedang dibina dan yang telah diluluskan pada 1 November 2012 untuk memberi peluang kepada Donald untuk menarik balik dakwaan beliau.

“Jika beliau gagal maka beliau tidak ada pilihan lain selain dari meletakkan jawatan,” tegas Iskandar.

Iskandar juga berkata untuk jangka masa 2011 hingga 2021, PKNS merancang untuk membina lebih daripada 11,000 unit RMM di seluruh Selangor yang mana 16 tapak yang terletak di Seksyen 3 Bangi telahpun dimulakan pembinaanya.