Categories
SELANGOR

Tujuh juta kunjungi GM Klang setahun

KLANG, 1 DIS: GM Klang memberi impak besar dalam sektor pelancongan di Selangor khususnya Klang berikutan kemampuan pusat pemborong terbesar itu menjadi salah satu tarikan pelancongan di daerah itu.

Pengarah Urusannya, Datuk Lim Seng Kok berkata, sehingga kini GM Klang berjaya menarik kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara, kira-kira enam hingga tujuh juta setahun.

“Tahun ini adalah ulang tahun ke-10 GM Klang dan kita berasa bangga serta bertuah kerana mendapat sokongan hebat dari pelbagai pihak.

“Ramai yang datang dari seluruh negara dan luar seperti Singapura, Brunei, Filipina, Indonesia serta Thailand,” katanya.

Pengunjung yang hadir pada Majlis Malam Kemuncak Gempak Karnival di GM Klang pada 30 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada media pada program Gempakarnival Sempena Ulang Tahun ke-10 GM Klang di sini, malam tadi.

Seng Kok berkata, selain mengunjungi GM Klang, orang ramai turut mengambil kesempatan untuk bermalam dan melawat tempat menarik lain di daerah itu.

Katanya, kejayaan ini diraih dengan adanya sokongan padu Tourism Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Kita bekerjasama bukan sahaja dengan MPK tetapi juga Tourism Selangor untuk memperkenalkan Klang kepada semua pelanggan GM Klang dan ini juga sebab kita sediakan ruang bergambar menarik berlatar belakang tulisan ‘Saya Sayang Klang’,” katanya.

Categories
SELANGOR

GM Klang mahu jadikan Klang hub komersial Asia

KLANG, 1 DIS: Pusat pemborong, GM Klang bertekad menjadikan Klang sebagai hub komersial Asia sekali gus membuka peluang kepada pengusaha industri kecil dan sederhana tempatan mengeksport produk masing-masing ke rantau ini.

Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata, rancangan jangka panjang itu boleh direalisasikan berikutan status Klang sebagai pelabuhan ke-12 terbesar dunia.

“Harapan saya Klang bukan sahaja sebagai pelabuhan besar tetapi hub komersial kerana ramai peniaga antarabangsa akan datang ke GM Klang untuk mencari produk masing-masing.

“Selain pelabuhan, Klang juga memiliki kemudahan logistik lain yang baik seperti gudang, perindustrian dan pengangkutan,” katanya.

Pengarah Urusan GM Klang, Dato’ Lim Seng Kok. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada media pada program Gempakarnival Sempena Ulang Tahun ke-10 GM Klang di sini, malam tadi.

Seng Kok berkata, pihaknya yakin usaha itu dapat membangunkan ramai usahawan terutama golongan muda tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.

Selain sektor pemborong, peluang anak muda terlibat dalam sektor peruncitan juga terbuka luas apabila GM Klang menyediakan pelbagai produk pada harga borong.

“Saya hendak menggalakkan lebih ramai anak muda untuk berkecimpung dalam perniagaan, tambahan pula peluang pekerjaan ketika ini juga kurang,” katanya.