Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba tunggu koordinasi KKM, Imigresen laksana sanitasi awam

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menunggu koordinasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen untuk melakukan sanitasi awam dan disinfeksi di depot-depot tahanan imigresen yang didapati berlaku peningkatan kes Covid-19.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata ia untuk memastikan kesemua depot tahanan terlibat membuat operasi pembersihan dan nyahcemar selepas berlaku peningkatan jumlah kes wabak berkenaan.

Beliau berkata kesemua depot tahanan imigresen, balai polis serta pusat fasiliti polis termasuk penjara telah disanitasi dan disinfeksi sejak Mac lepas sebelum berlakunya peningkatan jumlah kes Covid-19 di depot imigresen lain baru-baru ini.

“Selagi ada penghuni di dalam depot tahanan imigresen atau penjara, kami akan terus membuat sanitasi awam dan disinfeksi di sekitarnya.

“Sekiranya ada tempat yang telah dikosongkan kami akan buat disinfeksi di dalam iaitu menggunakan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) yang mempunyai kepakaran khas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Lawatan Kesiapsiagaan Operasi Lancar di Plaza Tol Sungai Besi, di sini hari ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan KKM telah mengesan tiga depot tahanan imigresen yang dikesan mempunyai kes positif Covid-19 iaitu depot Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata hampir 6,000 petugas JBPM yang terlibat dengan penugasan Op Covid-19 di seluruh negara layak menerima elaun khas sebanyak RM200.

Sementara itu, katanya kes kecemasan menurun sebanyak 40 peratus bersamaan 154 kes bagi tempoh sebulan berdasarkan statistik perbandingan kes sebelum dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lepas.

“Statistik kes kebakaran sebanyak 79 kes, penyelamatan sebanyak 71 kes dan tugas-tugas khas sebanyak empat kes,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba Malaysia siap siaga bantu kebakaran hutan Australia

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti 40 orang anggotanya untuk ditugaskan membantu memadam kebakaran hutan di Australia sekiranya diarah berbuat demikian.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata pemilihan anggota itu dibuat selepas mesyuarat penyelarasan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) semalam.

“Saya percaya kita cukup bersedia kerana pemilihan anggota yang akan pergi telah dibuat dan jenis logistik (peralatan) yang akan dibawa adalah logistik asas pemadaman kebakaran hutan yang dikenal pasti mungkin berkesan untuk (memadam) kebakaran di sana,”

Bagaimanapun, kita sedang menunggu indikasi daripada pihak Australia (sama ada) ‘boleh atau tak boleh’ untuk pergi, kalau ‘boleh’ (ia) akan melalui Jabatan Perdana Menteri dibantu Kementerian Luar untuk menghulurkan bantuan ke negara itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohammad Hamdan berkata JBPM sebelum ini pernah terlibat dalam Operasi Haze membantu memadam kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia pada tahun 1997 melibatkan kira-kira 1,200 individu yang terdiri daripada anggota bomba dan agensi lain.

Pada Ahad lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata Malaysia bersiap sedia untuk menghulur bantuan yang perlu bagi membantu Australia yang kini berhadapan dengan krisis kebakaran hutan.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan hampir 2,000 rumah musnah serta jutaan haiwan terkorban apabila kebakaran hutan itu telah memusnahkan tiga negeri di Australia melibatkan kebakaran kira-kira lima juta hektar tanah.

– BERNAMA