Categories
AGENDA NASIONAL

1,696 pegawai, anggota bomba dijangkiti Covid-19 sejak pandemik

BUKIT MERTAJAM, 22 NOV: Seramai 1,696 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara dijangkiti Covid-19 dengan dua daripada mereka meninggal dunia sejak pandemik itu melanda negara bermula Mac tahun lepas.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata ketika ini seramai 68 pegawai dan anggota bomba sedang menjalani kuarantin dan menerima rawatan akibat penyakit tersebut.

“Dua yang meninggal adalah pegawai kanan yang bertugas di Sabah dan pegawai lain-lain pangkat berkhidmat di Negeri Sembilan, mereka dijangkiti daripada komuniti bukan ketika sedang bertugas.

“Mereka yang positif juga tidak melibatkan jangkitan dalaman dari balai bomba sendiri sebaliknya jangkitan daripada komuniti, dengan kebanyakannya melakukan kuarantin di rumah kerana tidak mengalami gejala yang teruk,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Pulau Pinang di sini, hari ini.

Pada majlis itu yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri Saadon Mokhtar, seramai 105 pegawai dan anggota menerima pingat, anugerah perkhidmatan cemerlang dan sijil 30 tahun perkhidmatan.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata 98 peratus daripada 14,500 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara telah lengkap divaksin dengan 26 peratus sudah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.

Katanya semua pegawai dan anggota bomba memang digalakkan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak supaya mereka dapat lebih perlindungan ketika menjalankan tugas terutama semasa membantu mangsa banjir.

“Kita turut menekankan kepentingan mengambil dos penggalak. JBPM sentiasa mengambil berat tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang menjalankan tugas termasuk pemakaian set pakaian pelindungan diri (PPE),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menubuhkan Skuad Penyelamat Bangunan Tinggi di Kuala Lumpur bagi membantu menyelamatkan mereka yang cuba membunuh diri berikutan peningkatan kes tersebut akibat krisis pandemik Covid-19.

“Skuad ini bukan sahaja dilengkapi alatan khas ketika menyelamat di bangunan, malah pegawai dan anggotanya diberi latihan pengendalian secara fizikal serta psikologi kerana kita perlu ‘berlawan’ dan memujuk mereka yang mahu membunuh diri,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba: Bandar Meru, Ipoh selamat dikunjungi

IPOH, 1 OGOS: Bandar Meru Raya di sini selamat dikunjungi kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah menjalankan proses sanitasi menyeluruh di semua kawasan awam serta premis berkaitan susulan kes “mak cik degil gelang pink”, kata Pengarahnya Azmi Osman.

Beliau berkata sanitasi dilakukan berdasarkan pergerakan wanita itu yang melibatkan beberapa kawasan dan premis.

“Jangan bimbang kerana tindakan telah dilaksanakan di semua kawasan yang dinyatakan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Korban Persatuan Suri dan Anggota Bomba Wanita Perak Bersama Nation Of Woman Perak serta Kempen Keselamatan Kebakaran di Balai Bomba Meru Raya di sini hari ini.

Pada masa sama, sebagai langkah berjaga-jaga beliau meminta mana-mana pihak yang mengetahui tentang pergerakan wanita tersebut agar melaporkan kepada JBPM Perak.

Pada 21 Julai lalu, foto seorang wanita yang dipercayai melanggar perintah pengawasan dan pemantauan di rumah, tular menerusi media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Foto wanita itu yang sedang makan di sebuah kafe di Bandar Meru Raya di sini jelas menunjukkan gelang tangan berwarna merah jambu di tangan kanannya yang menandakan dia di bawah perintah kuarantin Covid-19.

Wanita itu kini dilaporkan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Azmi berkata antara langkah awal yang akan dilaksanakan ialah khidmat nasihat mengenai keselamatan kepada pengusaha hotel dan inap desa yang dijangka menjadi tumpuan orang awam ketika PRK berkenaan.

Selain itu, JBPM Perak juga akan melaksanakan proses sanitasi di kawasan penginapan dan lokasi tumpuan seperti kedai makan bagi mengekang jangkitan Covid-19, dan kesemua langkah terbabit akan dilaksanakan selewat-lewatnya minggu depan, katanya.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandang Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh pengundian manakala 15 Ogos bagi penamaan calon dan 25 Ogos untuk pengundian awal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Operasi sanitasi guna lapan jenis bahan kimia

PUTRAJAYA, 4 MEI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan lapan jenis bahan kimia dalam operasi sanitasi awam dan disinfeksi di tempat-tempat yang dikesan mempunyai penularan tinggi wabak Covid-19.

Lapan jenis bahan kimia berkenaan yang termasuk etanol, natrium hipoklorit dan benzalkonium klorida digunakan dalam proses sanitasi awam di kawasan luar manakala disinfeksi dalam kawasan tertutup.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata sebelum menggunakan lapan bahan kimia itu, pihaknya mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan membuat rujukan terkini jurnal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai jenis bahan kimia yang sesuai digunakan.

“Sebagai contoh, kami gunakan etanol dengan kandungan alkohol 60 peratus ke atas dan natrium hipoklorit 0.5 peratus penggunaannya untuk operasi berkenaan.

“Apabila kami membuat penyelidikan bahan kimia berkenaan, kami mendapati bahawa lapan jenis bahan kimia itu terdapat di Malaysia dan boleh digunakan untuk tempat-tempat tertentu,” katanya kepada Bernama di sini.

Mohammad Hamdan berkata sebelum membuat proses campuran bahan kimia itu, pihaknya terlebih dahulu mendapat nasihat Jabatan Kimia untuk tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan sanitasi awam dan disinfeksi pada tempat awam mengikut protokol ditetapkan.

“Ini bermakna untuk melakukan penugasan nyah cemar ini bukannya boleh dibuat secara suka-suka dan ia perlu dibuat mengikut protokol kerana ia melibatkan bahan kimia.

“Setakat ini, JBPM telah membuat operasi nyah cemar di 130 zon yang dikenal pasti oleh KKM termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Ditanya sama ada kawasan zon hijau juga terlibat operasi nyah cemar, beliau berkata memang terdapat permintaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri untuk membuat disinfeksi di kawasan zon hijau mereka.

“Ya, memang terdapat permintaan daripada mereka (PBT dan Kerajaan Negeri) untuk mendisinfeksi kerana kawasan zon hijau mereka berkemungkinan pernah dimasuki oleh penduduk yang menetap di kawasan zon merah atau zon kuning.

“Oleh sebab itu, ada juga bangunan tertentu kami buat operasi nyah cemar berulang kali sebagai contoh kawasan Pasar Selayang, di sini, kerana ia merupakan zon merah Covid-19,” katanya.

Selain itu, Mohammad Hamdan berkata setakat 30 April lepas pihaknya telah membuat sebanyak 117 operasi sanitasi awam meliputi 41 zon iaitu 10 zon merah dan 31 zon kuning melibatkan pelbagai negeri tertentu.

“Antaranya ia melibatkan premis perniagaan, stesen pengangkutan awam, tempat ibadat, pasar awam, kawasan perumahan,” katanya dan menambah kata selain itu pihaknya telah melakukan 544 operasi sanitasi awam dan disinfeksi di fasiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis.

Selain fasiliti PDRM, sebanyak 316 balai bomba seluruh negara serta fasiliti Jabatan Penjara dan depoh tahanan Jabatan Imigresen di seluruh negara juga dinyah kuman sebagai langkah pencegahan wabak itu.

“Boleh dikatakan setiap operasi sanitasi awam dan disinfeksi yang dibuat JBPM memang banyak sangat kerja kerana ia memerlukan tahap ketelitian dan fokus tinggi,” katanya.

“Pemakaian pakaian perlindungan diri (PPE) ketika operasi disinfeksi juga berbeza dengan pakaian PPE sanitasi awam. Disinfeksi, tahap pakaian PPE perlu tinggi, kandungan bahan kimia digunakan juga lebih tinggi malah peralatan PPE juga lebih lengkap dan berbeza dengan pakaian PPE sanitasi awam yang nipis serta penggunaan bahan kimia dengan kekuatan sederhana,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba Malaysia siap siaga bantu kebakaran hutan Australia

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti 40 orang anggotanya untuk ditugaskan membantu memadam kebakaran hutan di Australia sekiranya diarah berbuat demikian.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata pemilihan anggota itu dibuat selepas mesyuarat penyelarasan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) semalam.

“Saya percaya kita cukup bersedia kerana pemilihan anggota yang akan pergi telah dibuat dan jenis logistik (peralatan) yang akan dibawa adalah logistik asas pemadaman kebakaran hutan yang dikenal pasti mungkin berkesan untuk (memadam) kebakaran di sana,”

Bagaimanapun, kita sedang menunggu indikasi daripada pihak Australia (sama ada) ‘boleh atau tak boleh’ untuk pergi, kalau ‘boleh’ (ia) akan melalui Jabatan Perdana Menteri dibantu Kementerian Luar untuk menghulurkan bantuan ke negara itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohammad Hamdan berkata JBPM sebelum ini pernah terlibat dalam Operasi Haze membantu memadam kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia pada tahun 1997 melibatkan kira-kira 1,200 individu yang terdiri daripada anggota bomba dan agensi lain.

Pada Ahad lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata Malaysia bersiap sedia untuk menghulur bantuan yang perlu bagi membantu Australia yang kini berhadapan dengan krisis kebakaran hutan.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan hampir 2,000 rumah musnah serta jutaan haiwan terkorban apabila kebakaran hutan itu telah memusnahkan tiga negeri di Australia melibatkan kebakaran kira-kira lima juta hektar tanah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JBPM harap kelengkapan aset, peralatan diberi perhatian

KUCHING, 30 SEPT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berharap peruntukan dalam Belanjawan 2020 kepada jabatan itu akan memberi keutamaan kepada usaha bagi melengkapkan aset serta peralatan di lebih 30 balai bomba yang akan siap dibina tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, selain aset seperti jentera, pembinaan balai-balai baharu itu pastinya memerlukan penambahan anggota.

“Jadi kita berharap kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya bagi memastikan keperluan ini dapat dipenuhi dan ditimbangkan sebaik mungkin kerana kita melihat kepada keperluan yang mendesak dari segi kecemasan yang semakin meningkat dari sehari ke sehari,” katanya kepada pemberita pada majlis pra-pelancaran Kuching Fire Fighter’s Run di sini, semalam.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober ini.

Mohammad Hamdan berkata, kesemua kelengkapan terbabit perlu bagi membolehkan operasi jabatan berkenaan berjalan lancar.

Mengenai larian anjuran JBPM negeri pada 15 Mac tahun hadapan yang bertempat di Majlis Bandaraya Kuching Selatan itu, beliau berkata, ia terbuka kepada orang ramai dengan objektif merapatkan hubungan orang awam dan jabatan berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Siap siaga hadapi banjir termasuk di luar jangka

PASIR PUTEH, 22 SEPT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meletakkan 14,000 anggotanya di seluruh negara bersiap sedia menghadapi banjir termasuk di luar jangka bermula dari sekarang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amer Yusof berkata, ini termasuk fenomena perubahan angin monsun sebagaimana dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) yang dijangka bermula Selasa ini.

“JBPM sudah mempunyai jawatankuasa khas mengenainya yang turut membabitkan peringkat kebangsaan, negeri dan daerah di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara menutup Latihan Amal Ops Mex Kijang Ke-21 di Supply Base, di sini, hari ini.

Seramai 1,000 anggota daripada pelbagai agensi yang berkaitan menyertai latihan menyelamat termasuk kapal terbakar, tumpahan minyak dan pencemaran udara.

Semalam MET Malaysia, mengeluarkan kenyataan antara lain perubahan angin Monsun dijangka bermula 24 September sehingga awal November depan yang boleh mengakibatkan angin kencang, hujan lebat yang berpotensi berlaku banjir di negeri Pantai Barat Semenanjung, Pantai Barat Sabah dan Barat dan Tengah, Sarawak.

Amer berkata, jika berlaku banjir besar di sesebuah negeri pihaknya akan mengarahkan negeri-negeri berjiran membantu termasuk dari segi logistik dan anggota.

Mengenai latihan itu, beliau berkata, ia diadakan sebagai menguji kesiapsiagaan pelbagai agensi dalam menghadapi bencana dengan lebih berkesan dan menguji keberkesanan pengurusan bencana berdasarkan mekanisme pengurusan bencana seperti Arahan MKN No 20.

Katanya, ia juga bertujuan untuk menguji koordinasi penyaluran bantuan pelbagai agensi termasuk agensi sokongan ketika berlaku bencana.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Jerebu: Bomba ambil langkah siap sedia

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memberi tumpuan pada rondaan udara di kawasan hotspot berlakunya kebakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu semakin buruk.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata pihaknya akan memberi perhatian lebih kepada kawasan paling sensitif iaitu Sepang dan Banting, Selangor serta pemantauan di beberapa negeri seperti Pahang, Perak dan Johor.

“Setakat ini kita mula mengambil langkah berjaga-jaga kepada semua anggota seluruh negara kerana tidak mahu berlaku kebakaran dalam negara terutamanya kawasan titik panas. Kita akan buat rondaan melalui udara untuk memerhati kawasan tertentu dan kawasan yang sering berlaku kebakaran terbuka.

“Untuk kawasan Sepang paling sensitif kerana ia adalah laluan penerbangan dan di situ sering berlaku kebakaran tanah gambut yang menyebabkan asap tebal,” katanya pada sidang media Majlis Apresiasi Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019, di Kompleks Kuaters JBPM di sini hari ini.

Katanya, meskipun keadaan jerebu yang melanda negara disebabkan kebakaran di Sumatera, Indonesia itu masih terkawal, langkah itu perlu dilaksanakan sebagai persediaan awal.

Mohammad Hamdan berkata orang ramai perlu menghadkan aktiviti luar supaya tidak mengalami masalah kesihatan.

“Jerebu ini kita tidak nampak ‘zarah-zarah’ kecil yang masuk ke dalam sistem penafasan kita sehingga boleh menyebabkan berlakunya masalah penafasan seperti asma dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyempurnakan penyerahan Jalur Gemilang kepada 28 anggota dan pegawai JBPM yang terlibat mewakili Malaysia ke ‘World Police and Fire Games (WPFG) 2019’ di Chengdu, China pada 8 hingga 18 Ogos ini yang turut diserati oleh 155 negara.

Beliau berkata daripada lima acara sukan yang disertai anggotanya, iaitu golf, badminton, tenpin boling, dart dan ‘bench press’ (angkat berat), pihaknya menyasarkan pingat lima emas. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Elaun kritikal bomba, KPKT tunggu kata putus PM

JASIN, 22 JUN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menunggu kata putus daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pemberian elaun kritikal sebanyak RM200 sebulan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seperti diberikan kepada anggota tentera dan polis.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata beliau akan membawa semula permintaan itu kepada Perdana Menteri.

“Saya yakin ia dapat dilaksanakan namun memerlukan sedikit masa. Saya berharap anggota bomba seluruh negara dapat bersabar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Perdana Aidilfitri anjuran Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara KPKT di Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari.

Majlis itu turut dihadiri anggota Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar Melaka Ginie Lim Siew Lin dan Pengarah JBPM Negeri Mohammad Zin Salleh.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata pemberian elaun kritikal itu dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 14,000 anggota bomba dan penyelamat di seluruh negara. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penerbangan ihsan bawa pesakit kanser Orang Asli

GUA MUSANG, 16 JUN: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan penerbangan ihsan menghantar pesakit kronik wanita Orang Asli ke Hospital Gua Musang (HGM) petang semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM, Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata penerbangan itu adalah untuk mengambil Roslin Asud, 54, di Pos Bihai di sini, yang menghidap sakit jantung dan kanser leher.

Beliau berkata penerbangan membabitkan kru MI-17-IV berlepas dari Pangkalan Subang pada 2.30 petang dan mendarat di Pos Bihai untuk mengambil pesakit tersebut pada pukul 4 petang.

Katanya, sebaik mengambil pesakit itu, penerbangan berkenaan terus ke Padang Pusat Sivik Gua Musang dan mendarat dengan selamat 4.20 petang untuk dikejar ke HGM dengan ambulans yang disediakan.

“Kita dimaklumkan, pesakit itu sudah lapan hari menderita penyakit itu di rumahnya selain mengalami demam dan muntah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohd Farhan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung pesakit kronik wanita Orang Asli itu pada 11 pagi daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gombak sebelum membuat persiapan penerbangan helikopter ke lokasi.

Katanya, masalah utama pesakit yang tinggal di Pos Bihai itu ialah perhubungan jalan darat yang rosak teruk dan sukar dilalui dengan kenderaan untuk dihantar ke hospital.

“Pesakit itu diiringi suaminya, Alut Anjang, 59, dan sepanjang penerbangan berkenaan Roslin dalam keadaan stabil sehingga dibawa ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, penerbangan ihsan itu adalah yang ke-17 bagi penyelamatan pesakit kritikal Orang Asli di kampung pedalaman daerah ini sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, sepanjang tahun lepas, sebanyak 40 penerbangan ihsan dilakukan di daerah ini yang bukan sahaja menyelamat pesakit kronik kaum itu tetapi juga mengangkut pelajar Orang Asli yang terkandas kerana jalan rosak. – BERNAMA

Categories
SELANGOR

JBPM Selangor pantau 400 premis musim perayaan

 

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 28 MEI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bakal melakukan pemeriksaan terhadap 400 premis di sekitar Selangor.

Pengarah JBPM Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, terdapat beberapa Zon menjadi tumpuan di sekitar Selangor antaranya Zon Shah Alam; Zon Petaling; Zon Klang; Zon Hulu Langat; Zon Selangor Selatan; Zon Hulu Selangor dan Zon Selangor Utara.

Beliau berkata, sebanyak 82 pemeriksaan dijalankan pada masa kini daripada kesemua jumlah yang ditetapkan dan pihaknya akan memastikan sasaran JBPM selangor tercapai.

“Kita telah melakukan pemeriksaaan bermula 15 Mei sehinggga 14 Jun dimana pemeriksaan dijalankan pada puasa minggu kedua sebelum sehingga minggu kedua perayaan.

“Pemeriksaan yang dijalankan adalah tempat tumpuan pengunjung seperti pusat membeli belah dan hotel yang menjadi tumpuan pengunjung ketika musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan 2019 di Central Plaza I-City, disini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norazam berkata, pihaknya telah mengeluarkan lapan notis ketidakpatuhan antaranya menghalang laluan kecemasan, pemasangan keselamatan kebakaran tidak berada dalam keadaan baik dan menempatkan peralatan keselamatan kebakaran terhalang atau terlindung dengan barang jualan.

Pada masa sama, JBPM turut berharap setiap premis bangunan mematuhi keperluan pemasangan keselamatan kebakaran bagi mengurangkan risiko kebakaran berlaku dan orang ramai boleh melaporkan sebarang ketidakpatuhan pada mana-mana permis kepada pihak bomba.

Justeru, JBPM Selangor menasihati orang ramai khususnya yang pulang ke kampung supaya memastikan semua sumber kuasa elektrik dimatikan bagi mengelak kejadian litar pintas berlaku dan menyebabkan kebakaran.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

10,000 anggota JPBM siap siaga sepanjang Aidilfitri

PUTRAJAYA, 25 MEI: Sebanyak 10,000 daripada jumlah keseluruhan 14,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara akan digerakkan dan bersiap-siaga sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, hanya lebih kurang 20 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota JBPM dibenarkan bercuti pada Aidilfitri.

“JBPM memainkan peranan penting pada setiap kali sambutan Aidilfitri. Untuk tahun ini satu klip video dilancarkan bagi mendidik orang awam tentang cara-cara menyelamatkan diri dan memadamkan api ketika kebakaran,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan dan Ops Raya 2019 JBPM di sini, hari ini.

Sementara itu, JBPM dalam kenyataannya yang diedarkan pada majlis berkenaan berkata, seramai 170 anggota, 17 unit jentera bomba Fire Rescue Tender dan 17 unit jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) akan ditugaskan di 17 lokasi terpilih di Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur.

“Pegawai yang terlibat perlu berada di lokasi penempatan yang ditetapkan atau membuat rondaan di sepanjang lebuhraya,” kata kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tular misi jejak acap Sabtu ini tidak libat bomba

IPOH, 4 April: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menafikan pihaknya terlibat dalam operasi ‘Misi Mencari MD Ashraf Besar Besaran’ pada Sabtu ini, seperti yang tular di media sosial.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Perak, Mohd Fadli Nik Abu berkata, orang awam atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu operasi mencari dan menyelamat peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, itu dinasihatkan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sebelum menjalankan aktiviti berkenaan.

“Ini kerana, viral tersebut boleh menyebabkan kehadiran orang awam yang ramai sehingga mengganggu keharmonian di sekitar kampung terlibat.

“Malah, ia akan mengganggu fokus pencarian oleh agensi penyelamat selain aspek-aspek keselamatan kerana terdapat punca penyebab dalam kawasan pencarian seperti contoh gambar yang dijumpai pihak bomba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Fadli menasihatkan agar sebarang pergerakan masuk perlu merujuk kepada pihak polis, bomba dan agensi keselamatan di pos kawalan pencarian di Kampung Pintu Padang, Gopeng bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Hari ini, tular di laman sosial memaparkan gambar Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap, tertera tulisan “Jom Kome!! Berkumpul di tapak perkhemahan Gua Tempurung, 8 pagi, Sabtu ini”.

Pada gambar itu, turut meminta individu yang ingin menyertai operasi tersebut membawa Radio Komunikasi VHF atau UHF sendiri selain tidak membenarkan membawa peralatan memuja atau aktiviti khurafat.

Mohammad Ashraf dari Muar, Johor bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pada pagi 23 Mac lepas dan sepatutnya berakhir pada hari berkenaan di lokasi sama.

Kehilangan mangsa disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan sebelum membuat laporan polis kira-kira 1 pagi, hari berikutnya.

– BERNAMA