Categories
AGENDA NASIONAL

Kes AMLA Hafarizam akan dibicara di Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pembela untuk memindahkan kes penasihat undang-undang Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun berhubung dakwaan pengubahan wang haram membabitkan RM15 juta, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak hari ini. Tarikh untuk perbicaraan masih belum ditetapkan.

Terdahulu ini, perbicaraan telah ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Sesyen memandangkan kes itu asalnya dari Mahkamah Sesyen.

“Mahkamah itu membenarkan permohonan pihak pembela di bawah Section 417 (1) (e) Kod Prosidur Jenayah,” kata hakim itu selepas mendengar permohonan daripada peguam Datuk Hasnal Rezua Merican, mewakili Mohd Hafarizam, 47, yang sebelum ini mewakili Najib dalam kes-kes awamnya.

Terdahulu, peguam itu berkata pihak pendakwa raya mahu kes itu didengar di Mahkamah Tinggi kerana hakim Mahkamah Sesyen mungkin tidak akan memberi pelanggannya satu perbicaraan yang adil.

“Beliau mungkin merasa dipaksa untuk setuju dan menyokong hasil penemuan oleh Mahkamah Tinggi walaupun dia tidak tertakluk kepadanya,” katanya dan menambah bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen bersandarkan elemen kes berkenaan.

Hasnal Rezua merujuk kepada kes bekas Perdana Menteri, di mana kesnya berasal dari Mahkamah Sesyen tetapi kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicara.

Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul tidak membantah kepada permohonan pihak pembela.

Pada 21 Februari tahun ini, Mohd Hafarizam mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan cek RM15 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Tun Razak yang dimasukkan dalam bank akaun firma guamannya.

Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh memasukkan dua cek berjumlah RM11.5 juta dari Najib ke dalam akaun bank firma guamannya, Messrs. Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), pada 16 April dan 4 November 2014.

Mohd Hafarizam juga dituduh melakukan kesalahan yang seumpama dengan memasukkan satu cek RM3.5 juta dari Najib dalam akaun yang sama pada 12 Februari 2015.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permohonan Hafarizam tukar penjamin dibenarkan

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang didakwa atas dua pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM15 juta, untuk menukar penjamin.

Hakim Azman Ahmad membenarkan permohonan itu selepas mendengar permohonan peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula.

Hasnal Rezua memberitahu mahkamah pihaknya memohon untuk menukar penjamin dalam kes itu atas alasan Aisha Mubarak bukan lagi rakan kongsi dalam firma berkenaan.

“Sehubungan itu, untuk mewujudkan hubungan (nexus) kami memohon mengganti penjamin Aisha kepada Noor Arlisma Zainul Ariff,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan untuk penjamin diganti dengan mengekalkan syarat dan jumlah jaminan terdahulu.

Pada masa yang sama, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff memohon mahkamah untuk tempoh sebulan bagi kedua-dua pihak mengadakan sesi sidang sebelum perbicaraan (PTC) dan membincangkan perkara berbangkit serta dipersetujui semasa sidang tersebut.

Mahkamah menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula kes setelah permohonan itu tidak dibantah oleh pihak pembelaan.

Pada 21 Februari lepas, bagi pertuduhan pertama Mohd Hafarizam, 47, didakwa melibatkan diri secara langsung dalam dua transaksi yang membabitkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu dengan menyebabkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM11,500,000 melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dimasukkan ke dalam akaun firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di CIMB Bank Berhad.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan PWTC, Menara Dato’ Onn, Jalan Tun Ismail, di sini antara 16 April 2014 dan 4 Nov 2014.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Hafarizam didakwa melakukan kesalahan sama berjumlah RM3,500,000 melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman sama di CIMB Bank Berhad di tempat sama pada 12 Feb 2015.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Hafarizam telah diikat jamin dengan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengubahan wang haram: Mohd Hafarizam mengaku tak bersalah

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Peguam yang juga Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM15 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman peguam itu.

Mohd Hafarizam, 47, yang banyak mewakili Najib dalam kes saman sivil mantan Perdana Menteri itu, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hafarizam, didakwa membabitkan diri secara langsung dalam dua transaksi yang membabitkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu dengan menyebabkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM11,500,000.00 melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib dimasukkan ke dalam akaun firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di CIMB Bank Berhad.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan PWTC, Suite 1, Level 5, Menara Dato’ Onn, Jalan Tun Ismail, di sini antara 16 April 2014 dan 4 November 2014.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Hafarizam didakwa melakukan kesalahan sama berjumlah RM3,500,00.00 melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman sama di CIMB Bank Berhad di tempat sama pada 12 Februari 2015.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P Kunyalam mencadangkan Mohd Hafarizam diikat jamin dengan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam berkata, pihaknya bersetuju dengan tawaran jaminan dan syarat menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Azman membenarkan Mohd Hafarizam diikat jamin RM500,000 dan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 25 Mac untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa kes seorang individu warga Britain iaitu bekas penasihat media Najib, Paul Stadlen telah didaftarkan di mahkamah secara in absentia, semalam, bagi mendapatkan waran tangkap terhadap lelaki itu.

“Terdapat kes Paul Stadlen didaftarkan di mahkamah berasingan di sini semalam dan waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya. Sekiranya beliau berjaya dijumpai dan dituduh secara fizikal di mahkamah, kes Mohd Hafarizam dan kes ini akan dipohon untuk dibicarakan bersama. Usaha mengesan beliau (Stadlen) telah dijalankan, pohon satu tarikh sebutan semula kes,” katanya.

Ahmad Akram ketika ditemui pemberita memberitahu langkah yang dilakukan untuk memburu Stadlen adalah mendaftarkan kes di mahkamah, mendapatkan waran tangkap dan menyerahkan waran tangkap kepada Polis Antarabangsa (Interpol).

Stadlen dikatakan telah melarikan diri dari Malaysia selepas kekalahan mantan Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Sementara itu, Mohd Hafarizam yang memakai sut hitam kelihatan tenang dan tidak lekang dengan senyuman serta dilihat bertegur sapa dengan pengamal media serta rakannya yang mengerumuninya sebaik prosiding tamat.

Ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen untuk ke kaunter jamin bagi membayar wang jaminan, Mohd Hafarizam memberitahu beliau menyerahkan kesnya kepada pasukan pembelaan.

“Saya akan menyerahkan kepada barisan peguam saya diketuai Datuk Hasnal dan Datuk M Reza Hassan untuk memberi yang terbaik. Oleh kerana kes ini telah pun disebut di mahkamah dan saya telah dituduh, maka ia telah menjadi subjudis. Jadi saya tidak boleh komen lebih, kecuali saya akan menggunakan forum mahkamah ini untuk membersihkan nama saya,” katanya.

Sebelum mahkamah bersidang bermula, Presiden UMNO yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Mahkamah Sesyen untuk bertemu Mohd Hafarizam yang ketika itu berada di bilik saksi manakala selepas prosiding berakhir, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tiba untuk bertemu Mohd Hafarizam.

SUMBER: BERNAMA