Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ahmad Maslan tidak mengaku gagal isytihar RM2 juta diberi Najib

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad, 54, yang memakai sut hitam mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang telah diterima daripada Najib berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 yang mana cek itu telah ditunaikan sendiri oleh tertuduh pada hari sama.

Oleh itu, tertuduh didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014, mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pertuduhan itu membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ahmad juga dituduh telah memberi penyataan-penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai, 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol manakala peguam Hamidi Mohd Noh mewakili Ahmad.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes AMLA Hafarizam akan dibicara di Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pembela untuk memindahkan kes penasihat undang-undang Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun berhubung dakwaan pengubahan wang haram membabitkan RM15 juta, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak hari ini. Tarikh untuk perbicaraan masih belum ditetapkan.

Terdahulu ini, perbicaraan telah ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Sesyen memandangkan kes itu asalnya dari Mahkamah Sesyen.

“Mahkamah itu membenarkan permohonan pihak pembela di bawah Section 417 (1) (e) Kod Prosidur Jenayah,” kata hakim itu selepas mendengar permohonan daripada peguam Datuk Hasnal Rezua Merican, mewakili Mohd Hafarizam, 47, yang sebelum ini mewakili Najib dalam kes-kes awamnya.

Terdahulu, peguam itu berkata pihak pendakwa raya mahu kes itu didengar di Mahkamah Tinggi kerana hakim Mahkamah Sesyen mungkin tidak akan memberi pelanggannya satu perbicaraan yang adil.

“Beliau mungkin merasa dipaksa untuk setuju dan menyokong hasil penemuan oleh Mahkamah Tinggi walaupun dia tidak tertakluk kepadanya,” katanya dan menambah bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen bersandarkan elemen kes berkenaan.

Hasnal Rezua merujuk kepada kes bekas Perdana Menteri, di mana kesnya berasal dari Mahkamah Sesyen tetapi kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicara.

Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul tidak membantah kepada permohonan pihak pembela.

Pada 21 Februari tahun ini, Mohd Hafarizam mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan cek RM15 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Tun Razak yang dimasukkan dalam bank akaun firma guamannya.

Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh memasukkan dua cek berjumlah RM11.5 juta dari Najib ke dalam akaun bank firma guamannya, Messrs. Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), pada 16 April dan 4 November 2014.

Mohd Hafarizam juga dituduh melakukan kesalahan yang seumpama dengan memasukkan satu cek RM3.5 juta dari Najib dalam akaun yang sama pada 12 Februari 2015.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

– BERNAMA