Categories
AGENDA NASIONAL

Enam anggota polis ditahan peras ugut orang awam

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Enam anggota polis ditahan kerana disyaki memeras ugut orang awam di sekitar Serdang pada Rabu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi Bernama.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut penahanan kesemua suspek, beliau berkata mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Ya, saya mengesahkan mereka ditahan semalam oleh JIPS untuk siasatan lanjut,” katanya ringkas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata pihaknya menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan pemerasan.

Beliau berkata ketika ini, siasatan secara terperinci dilakukan berhubung kes itu dan kesemua anggota yang terlibat ditempatkan di Unit Pentadbiran buat sementara waktu serta tidak dibenarkan bertugas di lapangan.

“Saya memang tidak bagi peluang kepada mana-mana anggota saya yang bertugas di bawah pentadbiran kawasan Serdang melakukan kegiatan sedemikian (peras ugut).

“Hasrat saya adalah untuk menaikkan imej polis agar masyarakat tidak pandang serong kepada kami apabila berlaku kes-kes sebegini (anggota polis terlibat kes jenayah),” katanya.

Razali berkata fokusnya adalah untuk ‘membersihkan’ imej Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang daripada stigma negatif masyarakat dan mengembalikan keyakinan mereka kepada pasukan keselamatan itu.

“Saya tidak mahu apabila anggota polis terlibat jenayah, masyarakat menganggap kami tidak mengambil tindakan kepada mereka. Sebab itulah saya tidak beri muka apabila anggota saya terlibat jenayah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Covid-19 di MAEPS Serdang dikawal rapi

SERDANG, 26 MEI: Polis memperketat kawalan dan memasang pagar kawat duri di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bagi mengelakkan pendatang tanpa izin yang ditempatkan di situ melarikan diri.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata seramai 74 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditugaskan untuk mengawal selia pusat kuarantin berkenaan.

Beliau berkata kawalan rapi oleh pihak berkuasa disokong dengan pemasangan kawat duri yang dipasang semalam di blok pusat kuarantin terlibat untuk pendatang tanpa izin positif Covid-19.

“Ia adalah bagi untuk pastikan mereka (pendatang tanpa izin) ini agar tidak melarikan diri daripada saringan Covid-19 dan kawalan berkenaan turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Setakat ini, belum ada cubaan (pendatang tanpa izin) untuk meloloskan diri dan mereka ini di dalam pusat kuarantin dijaga jururawat dan anggota Imigresen,” katanya kepada Bernama hari ini.

Noor Azam berkata adalah sukar untuk polis mengesan pendatang tanpa izin yang positif Covid-19 ini semula sekiranya mereka berjaya meloloskan diri dari pusat kuarantin.

“Sekiranya ada yang positif Covid-19 susah hendak mengesan jikalau mereka melarikan diri maka lebih baik kita ambil langkah waspada awal-awal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pendatang tanpa izin di pusat tahanan lain yang didapati positif, dibawa ke pusat kuarantin di MAEPS untuk tindakan selanjutnya.

“Sebelum ini, pusat kuarantin itu digunakan oleh rakyat tempatan yang positif Covid-19 dan mereka (rakyat tempatan) telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh kerana telah kurang kes,” katanya.

Pada 23 April lepas, pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 di MAEPS, Serdang mula menerima pesakit kategori tidak bergejala dari sekitar Lembah Klang sebelum digunakan untuk merawat pendatang tanpa izin.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pusat kuarantin berkenaan mendapati petugas media juga dilarang memasuki dan membuat liputan di situ.

Semalam, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pusat kuarantin berkenaan hanya menempatkan pendatang tanpa izin yang dikesan positif Covid-19.

Menurutnya, kawalan ketat sedemikian terpaksa dilaksanakan memandangkan terdapat kekhuatiran pendatang tanpa izin terbabit mengambil kesempatan melarikan diri ketika dikuarantin disebabkan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Selangor tekad perangi golongan cetus isu perkauman

SHAH ALAM, 8 JAN: Polis Selangor bertekad memerangi golongan yang cuba memainkan isu perkauman dan menghidupkan semula gerakan subversif  kebelakangan ini.

Ketua polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata tumpuan akan diberi bagi menangani ancaman keganasan, perkauman, agama, politik dan luar negara.

Beliau berkata pihaknya berazam mengekalkan ketenteraman awam memandangkan trend ancaman dihadapi masih berlaku dan perlu dibanteras secara optimum.

“Pelaksanaan kursus atau latihan terutama dari sudut perisikan amat dititikberatkan bagi memberi ilmu pengetahuan kepada semua pegawai dan anggota.

“Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam sudah menggerakkan semua elemen di bawah kawalannya dengan melancarkan operasi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Beliau juga mahu memastikan sempadan negara sentiasa terkawal daripada pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan, penyeludupan migran, penyeludupan barangan larangan dan barangan kawalan serta bersubsidi.

“Ini termasuk pencerobohan perairan oleh nelayan asing, aktiviti mencuri pasir di perairan negara, kawalan acara rasmi negara dan perhimpunan aman,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2020, Kerajaan Negeri serius untuk mengurangkan kadar jenayah dan bakal menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) kepada 5,000 unit terutama di kawasan panas.

Setakat Oktober tahun lalu, sebanyak 775 unit CCTV dipasang di seluruh negeri dan 4,225 akan ditambah tahun ini.

CCTV juga dilengkapi teknologi pengenal wajah (face recognition) yang diselia dari pusat arahan yang diwujudkan untuk menyelaras data bagi tujuan keselamatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

58 polis Selangor dikesan positif dadah dalam Ops Blue Devil

SHAH ALAM, 7 JAN: Polis Diraja Malaysia Selangor mengambil tindakan ke atas 58 anggotanya kerana dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah menerusi Ops Blue Devil yang dilaksanakan sejak Ogos lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya kini sedang menunggu laporan lengkap mengenai perkara itu untuk mendakwa anggota terlibat di mahkamah.

“Buat masa ini kita telah mendakwa lima anggota kami yang didapati positif dadah melalui Ops Blue Devil ini,” katanya dalam sidang media mengenai pencapaian Polis Selangor sepanjang 2019 dan Perancangan Polis Selangor bagi 2020 di sini, hari ini.

Noor Azam berkata sepanjang tahun lepas juga, seramai 62 anggota kontinjen itu dibuang kerja dan diturunkan pangkat mengikut Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, manakala 115 orang anggota di ambil tindakan di bawah Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 19,810 kes indeks jenayah dilaporkan sepanjang tahun lepas berbanding 21,338 kes pada 2018 dan 12,232 kes berjaya diselesaikan.

Katanya lagi, bagi mengekang jenayah perjudian, maksiat dan gangsterisme sepanjang tahun lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor menjalankan 4,560 serbuan menerusi Ops Dadu; 1,434 serbuan dalam Ops Noda dan 417 serbuan melalui Ops Cantas.

Seramai 439 suspek telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) sepanjang 2019, katanya.

Pada masa sama, Noor Azam memaklumkan bahawa tahun 2019 merekodkan kejayaan yang besar bagi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor apabila beberapa serbuan dijalankan membawa kepada penemuan jumlah dadah yang besar.

Katanya, antara kejayaan terbesar Jabatan Narkotik Selangor tahun lepas adalah penemuan dadah jenis kokain seberat 3.2 tan dan 500 kilogram (kg) ketamin dianggarkan bernilai RM676 juta di Shah Alam pada 19 Ogos yang membawa kepada penahanan 13 suspek.

“Selain itu, polis juga menemukan 52 kg dadah psikoaktif baharu (NPS) jenis “magic mushroom” bernilai RM2.2 Juta di Hulu Selangor pada 26 November lepas. Sembilan suspek telah ditahan dalam kes berkenaan.

“Polis juga melakukan serbuan ke atas empat makmal dadah di sekitar Selangor yang menghasilkan jumlah rampasan bernilai RM15.9 juta dengan tujuh suspek telah ditahan,” katanya.

Bagi menghadapi cabaran tahun ini, Noor Azam berkata pihaknya merangka kaedah pencegahan yang lebih holistik bagi membanteras aktiviti jenayah terutama melibatkan jenayah sindiket.

Kata beliau, pada tahun ini, pihaknya akan memperkasakan skop siasatan POCA dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap sindiket jenayah terancang.

“Pemerkasaan skop siasatan itu akan melibatkan sindiket perjudian, maksiat, curi pasir dan sindiket penyeludupan hidupan liar yang dilindungi termasuklah sindiket penjualan organ haiwan terancam di pasaran gelap disyaki didalangi penjenayah antarabangsa dan jenayah rentas sempadan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan laporan diterima di Selangor dakwaan pertemuan bekas ahli PKM

SHAH ALAM, 3 DIS: Polis Selangor menerima lapan laporan berhubung dakwaan pertemuan membabitkan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang pada Ahad lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kesemua laporan yang diterima setakat semalam diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan mengenai isu itu dijalankan oleh Bukit Aman berikutan terdapat juga laporan berhubung pertemuan itu daripada beberapa kontinjen polis lain di seluruh negara.

“Siasatan lanjut mengenai isu itu sedang dijalankan (oleh Bukit Aman) mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program ‘Neighbourhood Watch’ Polis Selangor Siri 2/2019 di Wisma Natural Health Farm (NHF) di sini, hari ini.

Ditanya sama ada penganjur pertemuan itu telah dipanggil untuk memberikan keterangan, Noor Azam berkata, ia masih dalam siasatan Bukit Aman dan tidak menolak kemungkinan orang ramai yang hadir pada majlis itu juga akan direkodkan keterangan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan polis segera menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan pertemuan membabitkan bekas ahli PKM itu kerana perkara yang dikhuatiri mengancam keamanan negara tidak boleh dibiarkan berlaku.

Pada Ahad lepas, media melaporkan, kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dipercayai melibatkan bekas ahli PKM, antara lain dikatakan bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dengan PKM pada 2 Disember 1989.

– BERNAMA