Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Maeps diaktifkan semula untuk ringan beban hospital

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang yang diaktifkan semula hari ini bagi meringankan beban di hospital daripada menjadi sesak dengan kes melibatkan pesakit Covid-19 bergejala ringan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ketika ini didapati banyak pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital tidak memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan rawatan intensif.

“Contohnya, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sudahpun meningkatkan perkhidmatan untuk (kes) bukan Covid-19, jadi kita tak nak nanti semua (kes Covid-19) dirujuk semula ke HKL dan akhirnya jadi sesak.

“Kedua, kita telah melihat sekarang ini banyak kes yang masuk ke hospital yang mempunyai sampingan Covid-19, dia datang sebab rawatan lain, tetapi apabila buat ujian di hospital, didapati dia positif Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian dan lawatan ke Kompleks Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Hospital Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu merumitkan sedikit pengurusan di hospital kerana pesakit tersebut terpaksa diasingkan di wad Covid-19 dan pengasingan pesakit di MAEPS akan memastikan hospital tidak sesak serta mempunyai fleksibiliti untuk mengurus katil.

Sementara itu, menerusi hantaran di laman Twitter, Khairy berkata pembukaan semula Maeps adalah satu langkah awalan sekiranya memerlukan.

Menurutnya, hal itu kerana ketika ini pesakit Covid-19 kategori satu dan dua yang berisiko tinggi turut diterima masuk ke hospital sebagai langkah awal.

“Langkah ini dibuat kerana jumlah kes tinggi dan jika keadaan mendesak, pesakit Covid-19 berisiko tinggi boleh terus diberikan intervensi awal. Hospital pula boleh fokus kepada pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima dan dalam masa yang sama tidak perlu menjejaskan operasi kes bukan Covid-19,” katanya.

Semalam, Khairy pada sidang media berkata PKRC di Maeps akan diaktifkan semula bermula hari ini bagi merawat kes berisiko rendah.

Selain itu dalam sidang media hari ini, beliau berkata hanya 10 hingga 15 peratus bekas pesakit Covid-19 mempunyai komplikasi ‘Long Covid’ atau jangka panjang dengan kebanyakannya adalah golongan berisiko.

“Kita mempunyai protokol merawat ‘Long Covid’, terutamanya melalui penjagaan rehabilitatif. Saya telah meminta supaya kita meningkatkan lagi rawatan rehabilitasi untuk Covid-19 yang berpanjangan. Jadi kita memberi perhatian kepada kes Long Covid ini terutamanya mereka yang dalam kategori berisiko tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kontak rapat pesakit Covid-19 hanya perlu menggunakan kit ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19, kerana ujian saringan tindak balas rantai polimerase masa nyata (RT-PCR) akan mengesan virus itu walaupun kadar kebolehjangkitan sangat rendah.

“Sebab itu kita tidak sarankan PCR digunakan dalam semua keadaan, RTK mencukupi kerana ia dapat kesan mereka yang mempunyai viral load yang tinggi.

“Sebab itu kita yakin dengan protokol baharu, kontrak rapat, kalau dah booster (dos pengalak), hanya perlu buat RTK sebab itu dapat saring mereka yang mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya.

Semalam, Khairy mengumumkan individu berumur 18 tahun ke atas yang menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang menerima dos penggalak dan tidak bergejala pada hari pertama, tidak perlu menjalani kuarantin bermula 1 Mac.

Dalam isu berasingan, Khairy berkata beliau telah meminta Kementerian Kesihatan (KKM) membuat analisis menyeluruh terhadap isu kekurangan jururawat di hospital.

“Saya nak selesaikan betul-betul (isu) kekurangan jururawat kita, semalam pun saya ada dialog dengan kesatuan-kesatuan, pekerja, staf kumpulan pelaksana di KKM, mereka pun cakap benda yang sama. Saya mahu mencari punca dan mungkin selepas selesai isu doktor kontrak saya nak lihat pula kepada kumpulan pelaksana,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Maeps beroperasi semula esok, sedia 100 katil

PUTRAJAYA, 24 FEB: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang akan diaktifkan semula bermula esok bagi merawat kes berisiko rendah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata buat permulaan, sebanyak 100 katil disediakan untuk pesakit di sekitar Lembah Klang dan akan ditambah mengikut keperluan.

“Maeps diaktifkan semula esok. Ini bukanlah kerana kita tidak cukup katil di hospital tetapi lebih kepada langkah awal dan beri ruang supaya hospital boleh terus beri rawatan kepada kes bukan Covid-19 tanpa gangguan berikutan kes yang disebabkan gelombang Omicron,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata pengoperasian semula PKRC itu adalah antara strategi yang diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan penularan Omicron yang menyaksikan peningkatan kes harian.

Khairy berkata KKM turut berdepan keadaan yang menyaksikan ada pesakit ke hospital untuk rawatan bagi penyakit lain namun ketika saringan dibuat, individu itu dikesan positif Covid-19.

“Walaupun mereka tidak dirawat disebabkan Covid-19, bila ada kes macam ni, kita kena gunakan katil di hospital ini dan terpaksa asingkan… Perkara ini akan merumitkan hospital berkenaan, berikutan itu kita buka kembali PKRC Maeps, kes positif kita hantar ke sana.

“Katil yang disediakan oleh PKRC itu adalah untuk pesakit berisiko rendah dan ia hanya akan digunakan dalam tempoh yang singkat berbanding ketika penularan varian Delta. Kita jangka PKRC ini akan digunakan sehingga Omicron reda,” katanya.

PKRC Bersepadu 2.0 Maeps ditutup secara rasmi pada 8 Februari lepas dan sepanjang 14 bulan beroperasi, sebanyak 166,072 pesakit Covid-19 sudah dirawat dan ia secara tidak langsung meringankan beban hospital di Semenanjung.

Maeps diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020 dengan pengambilan pesakit Covid-19 yang hanya membabitkan pesakit bukan warganegara bagi kategori satu dan dua sebelum ditutup pada 15 Julai tahun sama.

Pada 9 Disember 2020, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Maeps sebagai PKRC susulan peningkatan kes Covid-19 sebelum dinaik taraf sebagai PKRC Bersepadu Maeps 2.0 pada 24 Januari 2021 dengan menerima pesakit kategori tiga dan empat dalam skala sederhana.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 114 pelajar Seri Puteri di Maeps dalam keadaan baik

SERDANG, 5 DIS: Kesemua 114 pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sekolah Seri Puteri Cyberjaya yang sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) kerana positif Covid-19 berada dalam keadaan baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menasihatkan ibu bapa kesemua pelajar terbabit agar tidak bimbang kerana anak-anak mereka dijaga dengan baik di pusat kuarantin itu.

“Ibubapa tidak perlu bimbang kerana makanan di sini cukup. Cuma amalan (ibu bapa) menghantar makanan kepada anak-anak tiap-tiap minggu (seperti ketika anak mereka di asrama) tidak boleh di Maeps kerana takut ada unsur keracunan makanan,” katanya kepada Bernama selepas lawatan ke pusat kuarantin itu bagi melihat keadaan pelajar terbabit hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Pengarah PKRC Maeps Dr Shahabuddin Ibrahim.

Sementara itu, Abdul Latiff mengajak pelajar di pusat kuarantin berkenaan untuk menyertai pertandingan menulis esei anjuran kementeriannya dengan menceritakan pengalaman masing-masing sepanjang berada di pusat kuarantin itu.

Abdul Latiff berkata dua kategori dipertandingkan iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan hadiah wang tunai RM500 untuk juara, RM300 untuk naib juara, RM100 untuk tempat ketiga dan RM50 hadiah sagu hati.

Beliau berkata inisiatif terbabit sebagai galakan kepada pelajar untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah ketika menjalani kuarantin.

Pada 1 Disember lepas, sebanyak 65 pelajar SBP Sekolah Seri Puteri Cyberjaya dihantar ke MAEPS manakala 49 orang lagi dihantar pada keesokan harinya kerana positif Covid-19 kategori satu dan dua untuk menjalani kuarantin.

Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit yang tidak mempunyai sebarang gejala atau memiliki gejala ringan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Bantuan makanan lebih RM26,000 untuk petugas, pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 10 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang 8,000 pek makanan kepada Pusat Kuarantin Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) serta Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati.

Setiusahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan berupa roti dan air itu sebagai menghargai pengorbanan petugas selain memberi semangat kepada pesakit wabak itu.

“Sejumlah RM26,850 diperuntukkan bagi menjayakan program ini. Ia juga merupakan tanda keprihatinan Mais terhadap maslahah ummah, katanya menerusi kenyataan semalam.

Penyerahan tersebut disempurnakan Timbalan Setiausaha Mais (Operasi) Nurhani Salwa Jamaluddin dan Ketua Audit Dalam Mais, Zaharuddin Salim.

Ahmad Makhtar berkata sumbangan menggunakan peruntukan Baitumal Mais dan dilaksana dengan kerjasama anak syarikat Mais, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd.

“Mais juga menzahirkan salam takziah kepada keluarga individu yang meninggal  dunia akibat Covid-19. Semoga wabak ini berjaya ditangani segera,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sedia umum pakej baharu ekonomi jika PKP 3.0 berpanjangan

SERDANG, 15 MEI: Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan membantu rakyat menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi yang baharu jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berterusan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata situasi semasa penularan Covid-19 turut diambil kira jika berlaku peningkatan kes mendadak di negeri ini.

“Ia bergantung kepada kadar jangka masa lama atau tidak Covid-19 atau PKP dilaksanakan.

“Namun PKP kali ini tidak seperti PKP 1.0 di mana kita tutup semua aktiviti ekonomi tetapi kali ini kita masih membenarkannya walaupun sekadar 30 peratus,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, kelmarin.

Sementara itu, Amirudin mengakui terdapat desakan daripada beberapa pihak yang meminta supaya menutup terus aktiviti ekonomi di Selangor.

Beliau berkata perkara itu berikutan keadaan kritikal terutama jumlah katil di unit rawatan rapi (ICU) yang menunjukkan peningkatan mendadak.

“Kejadian di tempat kerja sejak Februari hingga Mei juga tinggi antara 40 hingga 45 peratus, namun dalam lima ke enam hari ini kes terkawal sekitar 20 peratus,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Katil pesakit kategori tiga, empat pusat kuarantin Serdang ditambah

SERDANG, 26 APRIL: Bilangan katil untuk menampung pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat akan ditambah di Dewan A Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Pengarah pusat berkenaan Dr Shahabuddin Ibrahim berkata perancangan sedang dibuat untuk menambah 800 katil bujang khusus untuk merawat kategori kritikal di dewan tersebut bagi mengurangkan kesesakan pesakit Covid-19 khususnya di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata Dewan A mampu menempatkan 2,960 katil dua tingkat untuk tingkatkan kapasiti rawatan namun untuk pesakit kritikal, hanya katil bujang akan digunakan.

“Apabila kita pakai katil bujang, kapasiti akan berkurangan tapi dapat menampung kategori pesakit yang lebih serius lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Barakah Ramadan yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek hari ini.

Kategori tiga pesakit Covid-19 adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru manakala kategori empat adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

Dr Shahabuddin berkata setakat ini, PKRC Bersepadu 2.0 merawat lebih 78,000 pesakit Covid-19 dengan 2,400 pesakit masih dirawat buat masa ini.

Katanya, sebanyak 1,200 petugas barisan hadapan telah divaksinasi di fasiliti berkenaan yang juga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) utama di kawasan Lembah Klang.

Malaysia hari ini mencatatkan 2,776 kes positif baharu Covid-19 selain 13 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 mencecah 395,718 kes.

Sementara itu, Mohammad ketika berucap pada majlis itu mengalu-alukan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan dan pihak lain agar menyalurkan sumbangan kepada PKRC Bersepadu 2.0 sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan selain menyantuni pesakit Covid-19 yang dirawat di pusat itu.

Program yang dijalankan dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Jabatan Komunikasi Komuniti itu juga menyaksikan pengagihan bubur lambuk kepada petugas dan pesakit di pusat berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Taska anak petugas kesihatan di Maeps mula operasi hari ini

SHAH ALAM, 8 FEB: Taska yang menempatkan anak petugas hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Serdang memulakan operasi hari ini.

Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Kerajaan Negeri berkata kemudahan tersebut memberi kelegaan kepada kepada ibu bapa yang memerlukan tempat jagaan anak.

“Operasi taska berjalan mengikut waktu pejabat dan setakat hari ini seramai 41 kanak-kanak mendaftar, kita jangka bilangannya akan bertambah lagi.

Taska menempatkan anak petugas hadapan di Maeps, Serdang. Foto ihsan Bahagian (Khidmat Pengurusan) Kerajaan Negeri

“Kita berharap inisiatif ini meringankan beban petugas hadapan yang banyak berkorban nyawa mengekang perebakan Covid-19,” kata Muhamad Shah Osmin kepada SelangorKini hari ini.

Pada 2 Februari, Dato’ Menteri Besar menganggar seramai 2,000 petugas hadapan atau sebahagian yang berkhidmat di PKRC akan menghantar anak ke taska.

Pakej Kita Selangor yang diumumkan pada 20 Januari memperuntuk RM1 juta melaksanakan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan untuk meringankan beban petugas.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu melibatkan pembukaan taska serta pusat jagaan sementara di hospital awam juga premis sementara yang memberi manfaat hampir 400 keluarga petugas hadapan di
seluruh negeri.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKRC Maeps masih mampu tampung pesakit gejala rendah Covid-19

SHAH ALAM, 24 JAN: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) masih mampu menampung pesakit Covid-19 bergejala rendah di Selangor, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata secara purata, penggunaan katil di PKRC itu ialah 3,000 hingga 3,500, dan setakat ini masih terdapat kira-kira 5,000 katil yang masih belum digunakan.

“Di PKRC Maeps, kita ada sebanyak 9,350 katil yang disediakan untuk pesakit bergejala rendah kategori 1 dan 2 dan sekarang kita sudah letakkan 60 ‘acute bed’ untuk merawat pesakit kategori 3 dan 4 (sekiranya berkeperluan)

“PKRC ini direka bukan sahaja untuk menerima kes-kes positif dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tetapi juga pesakit dari Melaka, Negeri Sembilan serta Johor,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, tular beberapa video menerusi media sosial menunjukkan kononnya berlaku kesesakan di PKRC Maeps akibat pertambahan jumlah pesakit yang mendadak.

Pada 9 Disember lalu, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Maeps sebagai PKRC. Kali pertama Maeps diaktifkan sebagai PKRC ialah pada 16 April tahun lalu sebelum ditutup pada 15 Julai.

Pembukaan PKRC merupakan usaha kerajaan menempatkan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala bagi memastikan kecukupan katil di hospital untuk pesakit bergejala.

Sementara itu, Dr Sha’ari mengesahkan jangkitan membabitkan seorang jururawat di Hospital Shah Alam baru-baru ini adalah daripada komuniti dan bukan berpunca di hospital.

Katanya petugas tersebut sudah disaring dan kini sedang dirawat manakala kesemua kontak rapat sudah menjalani ujian saringan dan didapati negatif.

“Keadaan di Hospital Shah Alam juga terkawal dan kes ini dikategorikan kes terpencil kerana punca jangkitan adalah bukan daripada hospital,” katanya.

Dr Sha’ari turut menasihati orang awam agar terus kekal berada di rumah dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Lima Bas Smart Selangor ke Maeps, mudahkan urusan pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 23 JAN: Lima unit Bas Smart Selangor diserahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang hari ini bagi memudahkan urusan rawatan pesakit.

Menurut Selangor State Government, bas berkenaan digunakan untuk menghantar dan mengambil pesakit dari Pusat Penilaian Covid-19 ke fasiliti kesihatan seluruh negeri.

Bas Smart Selangor yang akan digunakan untuk kemudahan pesakit Covid-19. Foto Facebook Selangor State Government

“Ini merupakan sumbangan Kerajaan Selangor melalui inisiatif Pakej Kita Selangor yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 20 Januari.

“Semoga bantuan diberikan membantu pengurusan logistik PKRC 2.0 Maeps dan memberi manfaat kepada pesakit serta petugas di sana,” tulisnya di Facebook.

Kelmarin, EXCO Pengangkutan Ng Sze Han memaklumkan sebanyak 10 Bas Smart Selangor disediakan untuk tujuan itu dan dinyahkuman dari semasa ke semasa.

Pakej Kita Selangor memperuntukkan RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Pelan itu antara lain menggiatkan usaha memerangi wabak Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis buka kertas inkuiri siasat dakwaan judi di Maeps

SEPANG, 21 JAN: Polis membuka kertas inkuiri bagi menyiasat dakwaan berlakunya aktiviti judi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kertas inkuiri itu dibuka selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang anggota yang bertugas di Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda, Sepang hari ini.

“Kertas inkuiri ini dibuka bagi membolehkan polis membuat siasatan lanjut (mengenai kejadian itu) selain untuk pemantapan pemeriksaan pesakit di Maeps,” katanya hari ini.

Tular di media sosial beberapa hari lepas kononnya wujud aktiviti judi di sebuah dewan PKRC, MAEPS di Serdang yang menempatkan pesakit Covid-19.

Menerusi beberapa video berdurasi lima hingga 10 saat, terdapat beberapa pesakit yang bermain daun terup dan warganet menyifatkan tempat itu kini umpama mini kasino.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital Bersepadu MAEPS beroperasi 24 Januari

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Hospital Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang akan mula beroperasi pada 24 Jan ini bagi merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima untuk distabilkan sebelum mereka dihantar mendapatkan rawatan rapi ke hospital.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata strategi itu bertujuan merawat kes pesakit Covid-19 dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0 kategori satu dan dua yang tiba-tiba ke kategori tiga atau empat dan lima.

Beliau berkata hospital berkenaan yang terletak di Dewan B akan menyediakan fasiliti yang sama di hospital lain seperti peralatan tekanan darah dan ‘negative pressure tent’ dengan menempatkan 30 katil bagi kategori tiga dan empat manakala di luar dewan sebuah khemah untuk transit unit rawatan rapi (ICU) dengan 10 katil.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan meningkatkan jumlah petugas di sini termasuk pakar penyakit berjangkit dan intensivis yang boleh mengendalikan kes Covid yang lebih kompleks dan melibatkan rawatan rapi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke PKRC MAEPS 2.0 hari ini.

Mengulas lanjut Dr Adham berkata PKRC MAEPS 2.0 yang beroperasi sejak 9 Dis lalu akan mula menempatkan 10,000 pesakit Covid-19 kategori satu dan dua bermula 18 Jan ini.

“Saya telah meninjau tempat baharu yang hendak diisi dan tempatnya adalah kondusif kerana persiapan begitu teliti dan rapi termasuk juga tempat khas untuk keluarga yang positif Covid-19.

“PKRC MAEPS 2.0 juga akan menerima pesakit Covid-19 kategori satu dan dua yang sembuh daripada kategori tiga, empat dan lima yang dirawat di hospital Covid-19 selain pesakit dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dan Lembah Klang,” katanya.

Sementara itu, mengenai rawatan di rumah sekiranya ada yang positif Covid-19, Dr Adham berkata, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) akan ditubuhkan di setiap daerah seluruh negeri dengan kebenaran dan penilaian daripada pegawai kesihatan daerah.

“Mereka yang asimptomatik dan mempunyai tempat untuk diasingkan di dalam rumah akan dipertimbangkan. Sekiranya datang dari rumah sempit dan sesak serta mempunyai penyakit sampingan, kami tidak benarkan dan perlu ke hospital,” katanya.

Mengenai perkembangan vaksin, Dr Adham berkata KKM telah menerima senarai nama 500,000 petugas barisan hadapan daripada kementerian itu yang akan divaksinkan bagi fasa pertama bulan depan.

Dalam perkembangan lain menjawab dakwaan Skim Perlindungan MySalam dimansuhkan, Dr Adham berkata skim tersebut masih diteruskan termasuk kaunter MySalam masih beroperasi di setiap hospital bagi membantu pesakit yang layak mendapatkan bantuan skim tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Video tular PKRC MAEPS sesak mengelirukan – Nadma

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini menjelaskan video tular yang menunjukkan kesesakan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) tidak menggambarkan situasi sebenar.

Ini kerana menurut Nadma, kandungan video itu tidak menunjukkan keseluruhan dewan penempatan pesakit Covid-19 selain tidak disertakan penerangan.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Nadma Nur Daliza Dohat berkata pada masa ini PKRC itu mempunyai 8,000 katil, namun berkapasiti sebenar 10,000 katil.

“Setakat 12 tengah malam, 8 Janauri, jumlah pesakit semasa ialah 2,863 orang. Ini bermakna daripada 8,000 katil sedia ada jumlah katil yang masih kosong ialah 5,137 buah.

“Gambaran dalam video yang sedang tular bahawa PKRC sesak adalah mengelirukan. Keadaan dalam video itu hanyalah situasi biasa ketika proses discaj harian,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Nur Daliza menjelaskan sekalipun tiada dinding sekat, penjarakan fizikal antara pesakit dilakukan mengikut tatacara operasi piawai pihak berkuasa.

Ketiadaan dinding sekat bertujuan membolehkan petugas-petugas di PKRC memantau keadaan kesemua pesakit secara efektif, jelasnya.

“Ketika ini terdapat 1,170 petugas daripada pelbagai agensi bertugas memastikan pesakit yang ditempatkan di PKRC berada dalam keadaan baik dan selesa,” katanya.

Pada 9 Disember lepas, kerajaan memutuskan mengaktifkan semula MAEPS sebagai PKRC. Kali pertama MAEPS diaktifkan sebagai PKRC ialah pada 16 April tahun lalu sebelum ditutup pada 15 Julai.

Pembukaan PKRC merupakan usaha kerajaan menempatkan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala bagi memastikan kecukupan katil di hospital untuk pesakit bergejala.

Dalam pada itu, Nur Daliza berkata jumlah kumulatif pesakit Covid-19 yang ditempatkan di PKRC sejak dibuka ialah 19,121 orang iaitu 18,362 lelaki dan 759 wanita.

Slogan ‘Kita jaga kita’ sebagai peringatan kepada masyarakat untuk sentiasa berwaspada haruslah menjadi pegangan kerana tidak mustahil keadaan sesak di PKRC boleh berlaku jika masyarakat terus leka dalam usaha membendung wabak itu, katanya.

– BERNAMA