Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia perlu akta antilompat parti, elak gugat kestabilan kerajaan

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Malaysia perlu menggubal satu undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti bagi mengatasi “pandemik politik” dalam negara, kata Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia Datuk Seri Akhbar Satar.

Beliau berkata kes-kes lompat parti yang kerap berlaku dalam kalangan wakil rakyat di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak boleh lagi dibiarkan berterusan kerana ia menggugat kestabilan kerajaan.

“Selain itu perbuatan lompat parti itu juga akan membawa kepada amalan rasuah,” katanya dalam satu program wawancara di saluran berita Astroawani semalam.

“Apabila mereka melompat dari satu pati ke parti yang lain, ia juga boleh membawa kepada tumbangnya sebuah kerajaan yang memerintah, dan mereka melakukan ini kerana mereka dibayar untuk melakukannya,” katanya.

Akhbar berkata berdasarkan ‘Global Corruption Barometer 2020’ yang dijalankan oleh Transparency International (TI), ahli parlimen adalah antara kumpulan yang paling terdedah kepada rasuah.

“Sekiranya ahli politik dipandang sedemikian rupa, dan dilihat sebagai mereka yang memiliki standard serta integriti yang rendah, ini mencerminkan keadaan negara hari ini dan juga generasi masa depan,” kata Akhbar, yang merupakan bekas Presiden TI-Malaysia dalam wawancara yang diadakan sempena Hari Anti Rasuah.

Beliau seterusnya berkata undang-undang mengenai dana politik bagi ‘semak dan imbang’ risiko rasuah dalam kalangan ahli politik yang telah lama diperdebatkan, juga perlu digubal segera, tanpa bertangguh lagi.

Akhbar berkata undang-undang sedemikain akan menjadi cara yang berkesan untuk membendung penyalahgunaan kuasa dan pendanaan politik yang tidak terkawal.

“Kita mendapati ada sebahagian besar sumbangan dana politik dimasukkan ke dalam akaun peribadi. Ini adalah perbuatan keji dan pecah amanah. Kita memang amat memerlukan Akta Pembiayaan Politik ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Akhbar Satar: Projek runding terus wajar tetapi perlu integriti

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Pemberian sebarang projek secara rundingan terus (RT) adalah wajar tetapi ia perlu dilakukan dengan penuh integriti.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia (MACFE) Datuk Seri Akhbar Satar berkata ia bagi memastikan projek diberikan kepada kontraktor berwibawa dan tidak membawa kerugian kepada negara.

“…kadangkala kita memerlukan sistem yang ringkas, tetapi ‘handler’ iaitu jawatankuasa teknikal dan juga jawatankuasa kewangan dan lembaga perlu terdiri daripada orang yang mempunyai integriti.

“Ini untuk memastikan agar ia dijalankan dengan lebih telus, diberikan kepada kontraktor yang berwibawa dan bernilai untuk wang,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara bertajuk ‘Runding Terus: Wajar atau Tidak?’ terbitan Bernama TV di sini malam tadi.

Akhbar juga berkata sebarang projek RT perlu memenuhi kriteria tertentu dan bukan boleh dilakukan dengan sesuka hati.

Ia katanya termasuk sesuatu yang mungkin perlu dilakukan demi kepentingan negara, kecemasan atau jika tidak dilakukan, ia akan memudaratkan sesuatu perkhidmatan.

Beliau memberikan contoh Amerika Syarikat yang terpaksa mengeluarkan beberapa projek RT ketika kejadian bencana Taufan Katrina bagi memenuhi keperluan kecemasan ketika itu.

Akhbar berkata kelemahan RT yang biasa berlaku di negara ini dan negara membangun ialah apabila dicemari dengan krisis integriti apabila ia diberikan untuk mendapat keuntungan lebih dan diberikan kepada kroni.

“Sebenarnya jika masyarakat kita ada integriti, apa-apa sistem pun tidak apa, isunya sekarang kenapa ada tender terbuka dan rundingan terus (RT) ini, kerana ada manusia-manusia tamak, sebab ada penipu, ada orang-orang yang fraud nak pusing dan melakukan penyelewengan.

“Di Malaysia, di negara-negara membangun, kita dapati ahli-ahli politik dan pegawai kerajaan korup, mereka ini kreatif, jika ada arahan baharu, mereka akan cari jalan agar pemberian tender itu akan memberi keuntungan kepada diri sendiri,” katanya.

-BERNAMA