Categories
AGENDA NASIONAL

Penyertaan majikan dalam program activ@work meningkat – Perkeso

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Program cabaran kecergasan activ@work yang diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2017 untuk membantu pekerja syarikat di negara ini lebih cergas dan sihat menerima sambutan menggalakkan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Katanya program yang dilaksanakan dengan kerjasama Bookdoc, platform jagaan kesihatan dalam talian, menyaksikan peningkatan penyertaan majikan dari 132 pada tahun pertama program kepada 237 majikan pada 2019, melibatkan sektor swasta dan awam.

“Kita mengalu-alukan penyertaan mereka (sektor kerajaan) dan berharap lebih banyak majikan daripada sektor kerajaan akan menyertai cabaran seterusnya,” kata Mohammed Azman ketika berucap pada Seminar Tempat Kerja 2020 – Majlis Anugerah Cabaran Activ@Work 2019 yang dilancarkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan di sini.

Cabaran Activ@Work 2019 menamatkan tahun ketiga semalam.

Turut hadir, Pengasas Bookdoc Datuk Chevy Beh.

Dalam pada itu, Beh ketika ditemui Bernama berkata cabaran activ@work itu diperkenalkan ketika penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu penyakit kencing manis, sakit jantung dan komplikasi berkaitan pernafasan di Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan.

“Pendekatan program itu ialah kita akan memeriksa tahap aktiviti di syarikat-syarikat berdasarkan kempen 10,000 langkah yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan jumlah langkah paling banyak yang direkodkan peserta ialah 30,000 langkah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso harap lebih ramai pekerja ekonomi gig dilindungi keselamatan sosial

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berharap lebih ramai pekerja ekonomi gig mendapatkan perlindungan keselamatan sosial menerusi Program Dana Padanan Caruman Ekonomi Gig Platform (PenjanaGig) yang telah dibuka bermula semalam hingga 31 Disember 2021.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam kenyataan hari ini berkata ini kerana golongan itu terdedah kepada pelbagai risiko berkaitan pekerjaan sendiri.

Beliau berkata berdasarkan anggaran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), seramai 28,425 pekerja ekonomi gig telah berdaftar dengan Perkeso sejak 1 Januari lepas dan jumlah itu merupakan tujuh peratus daripada kira-kira 400,000 individu yang terlibat dalam ekonomi gig di negara ini.

Menerusi PenjanaGig, Mohammed Azman berkata pekerja gig mendapat perlindungan keselamatan sosial melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pelan Dua dengan caruman RM232.80 secara percuma selama setahun.

“Kerajaan membiayai 70 peratus bayaran caruman manakala baki 30 peratus oleh platform penyedia perkhidmatan.

“Ini bermakna kerajaan menyumbang sebanyak RM163 daripada caruman setahun Pelan Dua SKSPS di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, sementara platform penyedia perkhidmatan menyumbang RM69.80,” jelasnya.

Katanya, antara syarat kelayakan untuk bantuan PenjanaGig adalah bekerja secara aktif di bawah platform penyedia ekonomi gig yang berdaftar dengan MDEC.

Platform penyedia perkhidmatan gig boleh mendaftar PenjanaGig melalui gig.perkeso.gov.my dan layari www.perkeso.gov.my untuk sebarang maklumat lanjut atau hubungi 1-300-22-8000 atau e-mel kepada [email protected].

Pekerja ekonomi gig merupakan golongan yang menjalankan sesuatu tugas atau kerja melalui platform penyedia perkhidmatan dalam talian atau aplikasi digital untuk mendapat upah seperti GrabCar, FoodPanda, Lalamove, BungkusIt dan sebagainya.

Antara sektor yang mewakili pekerja ekonomi gig adalah sektor pengangkutan penumpang e-hailing, pengangkutan makanan dan barangan serta perniagaan dalam talian.

Antara faedah yang disediakan SKSPS Perkeso adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan Faedah Pendidikan.

– BERNAMA